Bagi kebanyakan individu, diagnosis kanser seolah-olah merampas segala kawalan terhadap kehidupan dalam sekelip mata – masa depan yang seakan dipenuhi rawatan hospital, rawatan agresif, dan kehidupan yang seakan terhenti. Namun begitu, landskap penjagaan kanser masa kini sedang melalui perubahan besar.
Seiring dengan kemajuan sains, rawatan kanser tidak lagi menggunakan pendekatan yang sama untuk semua pesakit. Sebaliknya, ia kini lebih tepat, diperibadikan, dan bermatlamat untuk membantu pesakit menjalani kehidupan yang bermakna, bukan sekadar untuk kelangsungan hidup.
Bersempena dengan Hari Kanser Sedunia yang bertemakan “United by Unique”, perkembangan ini menegaskan satu hakikat penting: walaupun berkongsi diagnosis yang sama, pengalaman setiap pesakit kanser adalah unik. Biologi setiap individu adalah berbeza, begitu juga dengan latar belakang kehidupan, aspirasi, kebimbangan, serta keutamaan yang membentuk perjalanan mereka.
Di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), pendekatan rawatan diperibadikan yang berpusatkan pesakit membentuk cara pesakit menjalani rawatan kanser hari ini.
Berdasarkan pandangan Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Marfu’ah Nik Eezamuddeen dan Kaunselor Berdaftar, Cik Kuah Rui Ning, gabungan inovasi perubatan serta sokongan emosi dan psikologi membantu pesakit hidup lebih lama dengan kualiti hidup yang lebih baik.
Melihat Individu di Sebalik Diagnosis
“Apabila saya berhadapan dengan pesakit, saya bukan sekadar melihat satu diagnosis. Saya melihat sebuah kehidupan, sebuah keluarga, dan masa depan yang mereka bimbang akan hilang,” ujar Dr Marfu’ah.
Dalam tempoh sedekad yang lalu, pendekatan rawatan kanser telah berubah dengan ketara. Dahulu, keputusan rawatan banyak ditentukan berdasarkan lokasi asal kanser, seperti payudara atau paru-paru, dan dipandu oleh piawaian protokol.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal
di Subang Jaya Medical Centre
Kini, doktor dapat meneliti dengan lebih mendalam. Melalui ujian patologi molekul, pakar dapat menganalisis biologi serta profil unik setiap kanser. Ini membolehkan pelan rawatan disesuaikan mengikut ciri genetik kanser individu dan tidak lagi bergantung sepenuhnya pada kaedah konvensional.
“Dua pesakit mungkin didiagnosis dengan kanser payudara atau paru-paru yang sama, namun sifat biologi kanser dan konteks kehidupan mereka mungkin berbeza,” jelas beliau. “Penjagaan yang diperibadikan memahami perbezaan ini.”
Di Malaysia, akses yang semakin meluas terhadap ujian molekul telah merevolusikan penyampaian penjagaan kanser. Ujian ini membantu pakar onkologi membuat keputusan klinikal lebih pantas dan tepat, mengenal pasti terapi yang lebih efektif dengan kesan sampingan yang lebih terkawal.
Bagi para pesakit, kemajuan ini memberikan kejelasan yang amat diperlukan.
“Daripada terus berada dalam ketidakpastian, pesakit kini dapat memahami rasional di sebalik setiap saranan rawatan,” kata Dr Marfu’ah. “Pemahaman ini membina keyakinan dan dapat mengembalikan kawalan kepada mereka.”
Megubah Persepsi Terhadap Rawatan Kanser
Ramai rakyat Malaysia masih mengaitkan persepsi bahawa rawatan kanser sinonim dengan kemoterapi yang membebankan serta kesan sampingan yang ekstrem. Walaupun kemoterapi dan radioterapi masih merupakan rawatan utama, kemajuan dalam rawatan moden telah banyak mengubah pengalaman pesakit.
Kemajuan seperti imunoterapi dan terapi sasaran oral membolehkan rawatan memusnahkan sel kanser dengan lebih spesifik. Dalam kebanyakan kes, terapi ini lebih mudah diterima oleh tubuh dan membolehkan pesakit mengekalkan rutin harian mereka.
“Rawatan kanser hari ini selalunya lebih mudah diurus berbanding jangkaan umum,” kata Dr Marfu’ah. “Ramai pesakit tetap mampu bekerja, menguruskan keluarga, dan mengekalkan kebebasan sepanjang tempoh rawatan.”
Impak perubahan ini sangat ketara dalam rawatan kanser paru-paru dan payudara, di mana kadar kelangsungan hidup telah meningkat secara drastik. “Saya telah menyaksikan pesakit hidup bertahun-tahun lebih lama daripada jangkaan sebelum ini,” kongsinya. “Namun, apa yang lebih utama bukanlah sekadar tempoh hayat, tetapi bagaimana mereka mengisi kehidupan tersebut.”
Beliau mengimbau kisah ibu-ibu muda yang berpeluang melihat anak-anak mereka membesar serta individu yang meneruskan kerjaya sepanjang rawatan. “Pencapaian ini mengingatkan kita bahawa penjagaan kanser bukan lagi sekadar memanjangkan usia, tetapi tentang memelihara tujuan, identiti, dan makna kehidupan.”
Rawatan Berpandukan Kehidupan Sebenar
Walaupun data perubatan memacu keputusan klinikal, penjagaan yang diperibadikan melangkaui keputusan makmal.
“Latar belakang, gaya hidup, kepercayaan, serta tanggungjawab keluarga pesakit adalah elemen yang penting,” jelas Dr Marfu’ah. “Ada yang mementingkan jangka hayat, manakala ada yang lebih mengutamakan kebebasan atau kualiti masa bersama anak-anak.”
Dengan menyelami keutamaan ini, pelan rawatan dapat diselaraskan dengan apa yang paling bermakna bagi setiap individu. “Tugas saya bukan sekadar merawat penyakit,” katanya. “Saya membimbing pesakit melalui rawatan ini dengan pemahaman jelas, bermaruah, dan dengan keresahan yang minimum.” Pendekatan ini menjadi penting terutamanya apabila pesakit berdepan dengan ketakutan pasca-diagnosis.
“Rasa takut merupakan respon yang biasa,” tambah beliau. “Saya sering menegaskan kepada pesakit bahawa perasaan itu adalah normal. Kita akan menempuhinya langkah demi langkah, bersama-sama.”
Apabila pelan rawatan diterangkan dengan jelas serta disokong secara berterusan, ramai pesakit mula menyedari bahawa diagnosis kanser bukanlah pengakhiran segalanya. “Penjagaan kanser moden merupakan satu kolaborasi erat antara pasukan perubatan, pesakit, dan sistem sokongan mereka,” katanya.
“Rasa takut merupakan respon yang biasa,” tambah beliau. “Saya sering menegaskan kepada pesakit bahawa perasaan itu adalah normal. Kita akan menempuhinya langkah demi langkah, bersama-sama.”
Apabila pelan rawatan diterangkan dengan jelas serta disokong secara berterusan, ramai pesakit mula menyedari bahawa diagnosis kanser bukanlah pengakhiran segalanya.
“Penjagaan kanser moden merupakan satu kolaborasi erat antara pasukan perubatan, pesakit, dan sistem sokongan mereka,” katanya.
Kaunselor Berdaftar,
di Subang Jaya Medical Centre
Perjalanan Emosional Para Pesakit
Di sebalik kemajuan dalam dunia perubatan, impak kanser turut menyentuh aspek rohani dan mental yang kompleks. Perjalanan emosi pesakit sering kali mencabar dan berlapis.
Dari perspektif kaunseling, Cik Kuah Rui Ning melihat kanser sebagai pengalaman yang sangat subjektif. “Saat diagnosis diterima, ia seumpama ribut yang melanda tanpa amaran,” katanya.
“Dilanda kejutan, penafian, ketakutan, dan rasa tidak berdaya. Ramai yang merasakan dunia mereka terhenti seketika.”
Apabila fasa rawatan bermula, dinamik emosi turut berubah. “Saya selalu kata ia ibarat satu maraton,” jelas beliau. “Permulaannya dikuasai kebimbangan dan keazaman, namun apabila kesan fizikal mula terasa, pesakit akan memasuki fasa pertengahan yang amat mencabar.”
Keletihan mental dan kehilangan motivasi adalah lumrah dalam fasa ini. Namun, beliau turut menyaksikan ketabahan yang luar biasa dalam kalangan pesakit.
“Ramai pesakit menyedari bahawa mereka sebenarnya jauh lebih kuat daripada yang mereka sangkakan. Mereka menemui kekuatan dalaman yang sebelum ini tidak pernah disedari.”
Fasa pasca-rawatan juga mempunyai kerumitannya yang tersendiri. “Walaupun ada kelegaan, sering kali wujud trauma terhadap kemungkinan kanser berulang serta cabaran untuk membina semula kepercayaan terhadap tubuh mereka sendiri. Memulihkan rasa normal memerlukan keberanian yang mendalam.”
Dalam setiap peringkat ini, ada satu keperluan yang konsisten. “Pesakit mahu didengari,” katanya. “Mereka memerlukan pengesahan emosi, mahu perasaan mereka diiktiraf dan difahami.”
Membantu Pesakit Meluahkan Perasaan yang Sukar Diungkapkan
Memahami cara pesakit menguruskan emosi adalah komponen integral dalam proses rawatan dan penjagaan. Cik Kuah menjelaskan penggunaan alat penilaian seperti “termometer tekanan” untuk membolehkan pesakit mengukur tahap tekanan emosi atau fizikal mereka secara visual.
“Bagi sesetengah pesakit, emosi seperti ketakutan atau rasa cemas sukar diluahkan dengan kata-kata,” katanya. “Alat ini membantu pesakit meluahkan emosi tersebut, sekali gus membuka ruang perbincangan tentang beban sebenar yang mereka tanggung.”
Selain sesi kaunseling konvensional, beliau turut mengintegrasikan terapi seni ekspresif. Melalui medium lukisan dan warna, pesakit dapat menyalurkan emosi yang mungkin terlalu berat untuk diluahkan dengan kata-kata.
“Proses ini mewujudkan ruang selamat untuk refleksi diri,” jelasnya. “Ia membantu pesakit mengekspresikan pengalaman mereka dengan cara yang lebih lembut, membantu mereka berhubung dengan diri sendiri di saat segalanya terasa asing.”
Menjaga Keseluruhan Individu
Penjagaan kanser yang berpusatkan pesakit melangkaui sempadan rawatan klinikal. Ia menuntut integrasi antara kesejahteraan emosi, mental, dan sosial yang bergerak seiring dengan pemulihan fizikal.
Keletihan mental dan kehilangan motivasi adalah lumrah dalam fasa ini. Namun, beliau turut menyaksikan ketabahan yang luar biasa dalam kalangan pesakit. “Ramai pesakit menyedari bahawa mereka sebenarnya jauh lebih kuat daripada yang mereka sangkakan. Mereka menemui kekuatan dalaman yang sebelum ini tidak pernah disedari.”
“Bagi saya, ini bukan sekadar tentang merawat penyakit,” jelas Cik Kuah. “Ia adalah tentang memelihara keseluruhan jati diri individu tersebut.” Ahli keluarga dan penjaga memegang peranan yang amat penting. Perkhidmatan kaunseling berfungsi untuk memperkukuh sistem sokongan ini menerusi wadah pendidikan, bimbingan emosi, serta panduan komunikasi yang berkesan.
Kajian membuktikan bahawa penjaga yang menerima sokongan emosi yang stabil mempamerkan daya tahan yang lebih tinggi, keyakinan dalam menggalas tanggungjawab, serta pengurangan tahap keresahan. Malah, sokongan ini turut mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan perkahwinan.
Langkah sedemikian memastikan penjaga lebih bersedia dan tenang, yang secara tidak langsung menyumbang kepada perjalanan pemulihan yang lebih positif bagi pesakit.
Hidup Lebih Baik dengan Kanser
Gabungan antara rawatan perubatan dan sokongan psikologi tidak boleh dipisahkan. Sokongan emosi yang kukuh terbukti memberi impak signifikan terhadap toleransi pesakit terhadap rawatan, tahap motivasi, serta kesejahteraan holistik mereka.
“Apabila pesakit berasa didengari dan disokong, kita dapat melihat peningkatan nyata dari segi kualiti rehat, selera makan, dan keyakinan diri,” kongsi Cik Kuah. “Ini membantu tubuh untuk lebih kental dalam mengharungi fasa rawatan.”
Dalam keadaan yang lebih mencabar, seperti pesakit yang menjalani terapi intensif bagi kanser nasofarinks, sokongan psikologi menjadi sangat penting dalam membantu mereka menghadapi kesan sampingan yang sukar. “Apabila pesakit mampu mengurus emosi dan mengamalkan strategi menghadapi cabaran, mereka tidak lagi melihat diri sebagai penerima rawatan yang pasif, sebaliknya menjadi individu yang lebih berdaya tahan dan mampu mengawal perjalanan rawatan mereka.”
Perjalanan United by Unique – Disatukan Keunikan
Hari Kanser Sedunia mengingatkan kita semua bahawa walaupun kanser mungkin kelihatan serupa pada paparan imbasan atau laporan makmal, setiap perjalanan ini adalah berbeza. Semangat “United by Unique” menuntut kita untuk mengiktiraf bahawa kecemerlangan sains dan ketulusan empati perlu berjalan seiringan. Ia adalah tentang merawat penyakit tanpa sesekali meminggirkan maruah insan di sebaliknya.
Dengan kemajuan dalam perubatan diperibadikan serta penekanan terhadap sokongan emosi pada hari ini, penjagaan kanser bukan lagi sekadar perjuangan untuk kelangsungan hidup. Ia membantu pesakit meneruskan kehidupan dengan bermakna, bermaruah, dan penuh harapan. Untuk maklumat lanjut mengenai SJMC dan rangkaian perkhidmatan yang ditawarkan, sila layari https://subangjayamedicalcentre.com/.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ketahui lebih banyak acara dan berita trending sekarang untuk Mama Papa DI SINI!
