KelabMama

HATI-HATI! PENGECAS TELEFON BIMBIT RAGUT NYAWA BAYI & ORANG DEWASA

Semakin canggih telefon bimbit yang digunakan, semakin banyak aplikasi dapat digunakan dan tentunya memerlukan ianya dicas dengan kerap. Pengguna sering dinasihatkan untuk tidak menggunakan telefon yang sedang dicas bagi mengelakkan sebarang letupan atau kecederaan. Letupan telefon bimbit sering dikaitkan dengan masalah pada bateri, dicas terlalu lama atau penggunaan alat pengecas yang tidak mendapat kelulusan.

 

                Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihati pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit semasa ia sedang dicas kerana ia mengundang bahaya termasuk berlakunya renjatan elektrik. Kebocoran arus elektrik akan berlaku sekiranya ada kerosakan pada alat pengecas. Jauhkan daripada kanak-kanak. Nampak  remeh, tetapi kemungkinan besar si kecil akan menggigit wayar pengecas tersebut dan mengakibatkan kebocoran arus elektrik sekaligus menyebabkan kemalangan.

 

                Menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas, lebih-lebih lagi dengan alat pengecas tidak tulen juga boleh membahayakan pengguna ekoran renjatan yang terhasil daripada kebocoran elektrik pengecas tersebut.

 

KES 1

 

Media sebelum ini melaporkan seorang suri rumah maut di kediamannnya di Cheras, Kuala Lumpur ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dengan alat pengecas tidak tulen akibat renjatan daripada kebocoran elektrik pengecas itu. Mengikut mengikut statistik Suruhanjaya Tenaga, sebanyak 853 kes kemalangan elektrik disiasat dari 2002 sehingga 30 September 2016 dengan 425 kes daripadanya melibatkan kes maut.

 

 

KES 2

 

Seorang bayi perempuan di Aktau, Khazakstan maut selepas terkena renjatan elektrik, ketika ibu bapanya meninggalkan dia untuk bermain telefon pintar yang sedang dicas. Gambar sebahagian anggota badan mangsa yang hangus itu kini tersebar di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang jururawat sebagai amaran akan bahaya mengecas telefon bimbit berhampiran kanak-kanak. Ibu mangsa yang tidak ingin didedahkan nama berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia tertidur berdekatan dengan mangsa yang sedang bermain dengan kabel pengecas telefon bimbit. Dia hanya mula curiga bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya selepas beberapa ketika terbangun dan mendapati anaknya tidak bising seperti kebiasaannya. Apabila diperiksa, alangkah terkejutnya dia mendapati anaknya itu sudah tidak bernafas, malah denyutan nadinya juga tiada. Panik dengan keadaan itu, wanita berkenaan terus membalut anaknya dalam selimut sebelum bergegas ke hospital. Malangnya, apabila tiba di hospital, sudah terlambat untuk doktor berbuat apa-apa kerana mangsa telah meninggal dunia. Doktor mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik, berdasarkan kesan terbakar yang boleh dilihat dengan jelas di tangan dan lengan mangsa.

 

 

KES 3

 

Kejadian serupa berlaku di China, apabila seorang bayi maut, akibat menggigit wayar pengecas telefon bimbit.                 Menurut ibu bayi malang tersebut, kejadian berlaku dengan sangat pantas. Tiba-tiba sahaja, bayinya telah renting akibat menggigit wayar yang mengecas telefonnya.

 

 

KES 4

 

Seorang pelajar di Malaysia melecur teruk di bahagian tapak dan jari tangan kanan apabila telefon bimbit yang sedang dicas tiba-tiba meletup dan terbakar di rumahnya. Telefon bimbit yang diletakkan di bawah bantal itu kemudiannya mengeluarkan api dan menyambar tilam. Mangsa mengakui telefon bimbit tersebut mungkin meletup akibat dicas terlalu lama.

 

 

KES 5

 

Ma Ailun, seorang pramugari China Southern Airlines terbunuh akibat renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit jenama iPhone 5 yang sedang dicas di rumahnya.

 

 

KES 6

 

Sheryl Aldeguer, seorang jururawat kelahiran Filipina yang telah berhijrah ke Australia turut mengalami nasib yang sama. Dia menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas juga pada masa sama menggunakan laptop. Dia ditemui mati di bilik dengan tubuh yang telah dijilat api sehingga bahagian dada daripada laptop juga kesan lecuran di bahagian telinga akibat penggunaan headphone.

 

 

KES 7

 

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Rusia mengalami renjatan elektrik apabila telefon bimbit yang dicas di bilik mandi terjatuh ke atas air ketika dia sedang mandi.

 

 

 

KES 8

 

Gabbie Fedro daripada Chicago mengalami renjatan elektrik akibat penggunaan telefon bimbit yang sedang dicas. Dia langsung tidak menyangka pemakaian rantai besi di leher menjadi punca aliran elektrik ke tubuhnya. Akibatnya, dia mengalami parut kekal di sekitar kawasan leher.