KelabMama

HASILKAN HOMEMADE DOH SELAMAT & JIMAT

Doh ataupun selalu disebut  tanah liat adalah sejenis bahan permainan yang biasa digunakan oleh kanak-kanak untuk membuat bentuk dan sebagainya. Sekarang ini dipasaran selain daripada tanah liat, sudah banyak jenama lain yang seumpama dijual di pasaran. Selalunya tanah  liat yang dijual dalam kotak itu, harganya sangat murah manakala yang berjenama sikit seperti agak mahal harganya. Sungguhpun begitu kedua-duanya mengandungi bahan kimia yang boleh merbahayakan kanak-kanak jika termakan. Jadi, apa kata anda buat doh sendiri di rumah yang lebih selamat  digunakan dan boleh jadikan ia sebagai satu  aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak. Beri peluang anak anda buat doh mereka sendiri.  Tugas anda cuma sediakan bahan, bantu  dan bimbing anak-anak. Kalau nak tahu aktiviti ini juga bagus untuk merangsang rasa ingin tahu anak, menggalakkan moto halus dan seterusnya boleh menggalakkan kreativiti mereka melalui imiginasi.

 

 

Bahan-bahan yang diperlukan:

1 mangkuk atau bekas untuk membancuh dan menguli

1 gelas air

1 cawan garam

2 sudu kecil minyak masak

Sedikit pewarna makanan(beberapa warna berlainan

3 cawan tepung gandum

2 sudu makan tepung jagung

 

Langkah-langkah:

1.   Pakaikan anak dengan apron atau pengalas baju untuk mengelak kekotoran.

2.   Semua bahan dimasukkan dalam sebuah mangkuk besar satu per satu.

3.  Gaulkan dan uli menggunakan tangan menjadi sebati. Anda boleh bantu jika anak anda berumur 1-2 tahun dan beri bimbingan jika anak berumur 3-4 tahun. Yang paling penting anda tetap beri mereka peluang mencuba buat doh sendiri.

4. Setelah selaikan, keluarkan doh yang sudah siap. Hasilkan satu lagi campuran dan gunakan warna yang berlainan pula.

5. Biarkan anak buat kreativiti dan cipta  imiginasi mereka sendiri. Anda mungkin boleh buat satu contoh dan kemudian biarkan anak bermain dengan imiginasi mereka sendiri.

6. Akhir sekali, jangan lupa minta anak cuci tangan. Tip untuk simpan doh ini untuk tahan lama, boleh masukkan ke dalam peti sejuk dan keluarkan bila anak nak main.