KelabMama

Hampir Setiap Malam Dia Muntah, Pakar Sahkan Anak Hidap Tonsil Tahap 3!

Ramai yang menganggap masalah tonsil ni perkara biasa. Bila mana mama atau anak mama demam, mesti ada yang mengalami masalah tonsil. Orang pandang ringan dengan tonsilitis sebab biasanya ia akan sembuh dengan sendiri. Tinggal minum antibiotik saja kan?

Tapi mama tahu tak, dalam kes tertentu, tonsil boleh membengkak dan pembedahan tonsilektomi perlu dilakukan. Sampai kena jalani pembedahan, teruk sangat ke tonsilitis ni?

Perkongsian dari saudari Atiyah Salleh tentang masalah tonsil yang dihidap oleh anaknya yang berusia 2 tahun 5 bulan ni bakal membuka mata mama tentang isu tonsilitis yang selalu dipandang ringan oleh ibu bapa. Semoga kita semua mendapat manfaat dari perkongsian ini.

Pengalaman Bawa Anak Jalani Pembedahan Tonsil

Assalamualaikum semua.

Saya sekadar ingin berkongsi tentang pengalaman hero kedua saya yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang tonsil pada usia yang terlalu muda iaitu 2 tahun 5 bulan.

Keadaan anak Puan Atiyah selepas menjalani pembedahan tonsilectomi.

Anak Sering Batuk & Selesema

Episod duka bermula apabila dia seringkali batuk dan selesema hampir setiap hari setiap bulan sejak dari bulan Mac hingga September.

Dan sejak itu juga hampir setiap malam dia akan muntah. Bayangkan dari bulan Mac sampai September hampir setiap hari setiap malam dia akan muntah.

Dah Ikhtiar Pelbagai Cara

Klinik? hospital? Berubat kampung? Semua dah ikhtiar buat, tapi masih juga tak sembuh.

Sebenarnya masalah tonsil anak saya telah dirujuk ke pakar ENT dan memang doktor pakar ENT sahkan tonsil anak saya telah membengkak dengan agak teruk.

Cuma pada waktu tu doktor tak galakkan untuk dibuang atas faktor anak saya masih kecil.

Kebanyakan kes tonsil bengkak disebabkan oleh jangkitan kuman.

Jadi doktor hanya sarankan pengambilan antibiotik supaya bengkak tonsil mengecut dan kembali normal seperti biasa.

Malangnya walaupun beberapa kali ubat diberikan anak saya masih juga tak sembuh.

Saya ada juga cuba ikhtiar dari segi perubatan Islam serta tradisional namun tetap tidak menampakkan perubahan.

Demam Panas Seminggu Tak Kebah

Bengkak masih tak surut dan akhirnya anak saya mengalami demam panas on off tak kebah selama seminggu dan suhunya mencecah 42°C.

Anak saya dimasukkan ke hospital dan sekali lagi dirujuk ke pakar ENT.

Tonsil Dah Sampai Tahap 3

Doktor maklumkan masalah tonsil anak saya dah sampai tahap 3 dan jika dibiarkan mungkin akan berlarutan menjadi tahap 4.

Ubat-ubat yang diberikan sebelum ni memang tak memberikan kesan kepada anak saya.

Pakar ENT memaklumkan anak saya perlu dibedah. Sekiranya ia tidak dibuang, kesihatan anak saya akan kerap terganggu malah akan menjadi lebih buruk.

Terpaksa Bersetuju Buat Pembedahan Tonsil Demi Kesihatan Anak

Saya dan suami terpaksa bersetuju demi kesihatan hero kami.

Hati ibu mana yang sanggup tengok keadaan kesihatan anak begitu.

Dan memikirkan ini mungkin juga salah satu ikhtiar dan jalan yang Allah berikan demi kesembuhan anak kami.

Maka pada 12/9/2019 yang lalu, pembedahan telah dijalankan.

Dan Alhamdulillah semuanya selesai dengan selamat. Anak saya dibius sepenuhnya dan proses mengambil masa hampir 2 jam.

Tonsil yang dibuang hasil pembedahan tonsilectomi.

Pembedahan Berjalan Lancar

Syukur sangat sebab Allah mudahkan segala urusan.

Selepas beberapa hari, anak saya pun dah berselera makan dan minum seperti biasa

Cuma masih perlu dijaga pemakanan sebaiknya, susu pun kena bancuh sejuk.

Harapnya selepas ini berakhirlah episod duka anak saya.

Kuman yang menyebabkan virus tonsilitis dan bakteria menular.

Jangan Ambil Mudah Masalah Tonsil Anak

Kepada ibu bapa di luar sana, jangan ambil mudah masalah tonsil anak.

Sebabnya setiap orang tak sama ketahanan badan mereka.

Jadi kena pantau dan dapatkan nasihat doktor, terutamanya kalau anak masih kecil dan kerap demam selesema.

Semoga sedikit info ini memberi manfaat kepada yang membacanya.

Sumber: Atiyah Salleh via Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM)

BACA JUGA JANGKITAN PADA TONSIL SERING MENYERANG SI MANJA

Pesan Mama Siti:

Ramai yang pandang remeh tentang tonsilitis padahal kalau dibiarkan ia boleh berjangkit. Siapa yang dah terkena jangkitan dan tonsil pun rasa sakit, memang kena ambil mc. Kalau tak pun , kena tutup mulut bila bersin atau batuk. Jangan berkongsi makanan atau minuman. Cuci tangan. Jangan cium anak. Semua ni punca jangkitan. Sekarang dah tahu kan? Jadi, siapa yang tengah sakit tonsil tu, elakkan jumpa orang lain. Sampai la betul-betul sembuh.