KelabMama

HADAPI SUAMI YANG MALAS MEMBANTU KERJA RUMAH. MAMA BOLEH MINTA PERTOLONGAN SECARA BIJAK

Setiap pasangan dikurniakan teman hidup yang berbeza perangai dan sifat. Ada suami terlalu rajin melakukan kerja rumah sehinggakan isteri tidak dibenarkan bekerja.Ada pula suami terlalu pemalas sehinggakan semua perkara diserahkan kepada isteri untuk melakukannya. Bagi kaum Hawa sudah pasti ia menguji kesabaran. Dalam hal ini untuk saling menyalahkan antara satu sama lain sebenarnya tidak akan membantu.Sebagai isteri apa yang boleh anda lakukan adalah mencari penyelesaian bagi mengatasinya iaitu dengan cara memberi motivasi kepada suami. Ini kerana mungkin cara dia dibesarkan sejak kecil berbeza menyebabkan dia langsung tidak tahu melakukan kerja rumah.

BERBAHAGI TUGAS MENGIKUT MINAT DAN BAKAT – Ini boleh dirancang ketika berada di dalam kereta sekiranya pulang bersama-sama atau boleh ditetapkan sejak awal lagi mengikut kepakaran dan minat masing-masing. Contohnya jika suami lebih seronok melipat kain berbanding memandikan anak, jadi serahkan tugas itu kepada suami. Ini bermakna si suami boleh duduk ‘sila panggung’ apabila sampai di rumah dengan membaca akhbar atau menonton televisyen tetapi tidak akan tidur selagi kain belum dilipat.

LAKUKAN SEMUA PERKARA BERSAMA-SAMA – Sebenarnya ia lebih seronok sekiranya dapat dilakukan contohnya si isteri memasak dan pada masa yang sama si suami membasuh pinggan mangkuk. Ini menjadikan hubungan lebih intim atau isteri memasak nasi dan si suami pula memotong bawang, selesai memasak, sama-sama boleh mengemas rumah.

MAKAN BERSAMA BOLEH MENGHILANGKAN BEBAN PEMIKIRAN – Bayangkan pasangan yang tiada pembantu rumah, jika boleh saling membantu dalam penyediaan makanan kemudiannya makan bersama-sama dengan anak yang keletah tentu menghiburkan. Selamilah tujuan berkahwin, bukankah antara lain untuk menikmati keindahan hidup dalam sebuah rumah tangga yang ceria.

JIKA BENAR-BENAR PENAT ELAKKAN MEMAKSA DIRI – Pasangan yang sama-sama penat kerana bekerja sehari suntuk, boleh mengambil langkah menangguhkan kerja rumah buat sementara waktu. Ini bermakna, apabila sampai di rumah tangguhkan dulu perkara yang boleh ditangguhkan seperti mengemas ruang tamu. Lakukan apabila anda dan pasangan tidak terlalu penat atau lebih bertenaga. Memaksa diri untuk melakukannya hanya akan menyebabkan anda berasa tidak ikhlas, sakit hati dan semakin membenci pasangan.

SUAMI MEMUJUK DENGAN KATA-KATA YANG LEMBUT – Jika sememangnya anda malas untuk membantu, jangan tunjuk ego tetapi pujuklah isteri yang sedang kepenatan itu dengan kata-kata yang menarik. Memuji boleh membuatkan isteri lega dan tidak terlalu rasa didera contohnya “Wah, ligat Aini buat kerja,” atau “Orang yang banyak bergerak bentuk badannya akan semakin mengancam, suami pun makin sayang,”

USAHAKAN PEMBANTU – Jika keadaan sudah tidak dapat dikawal, maksudnya keadaan jadi lintang pukang serta sudah tiada kesanggupan untuk mengurus sendiri, mendapatkan pembantu rumah adalah jalan terbaik. Jika tidak mampu menggaji pembantu rumah sepenuh masa, anda boleh mengupah orang datang mengemas rumah pada hujung minggu. Kosnya lebih rendah berbanding pembantu rumah sepenuh masa. Tidak mengapa berkorban wang demi keselesaan dan kebahagiaan rumah tangga, berbanding hendak melakukan semua perkara kerana hendak berjimat tetapi pada masa yang sama kasih sayang semakin terhakis.

 

HADAPI SUAMI MALAS SECARA BIJAK

  1. JANGAN MARAH Walaupun anda kecewa dengan suami kerana tidak mahu membantu kerja di rumah, membentak atau marah bukan cara terbaik untuk mengatasinya. Apa yang boleh anda lakukan adalah minta secara perlahan-lahan dengan diplomasi.
  1. DENGAR ALASANNYA Suami yang malas tentu mempunyai pelbagai alasan untuk mengelak daripada melakukan kerja di rumah. Jangan berdebat dengan alasan yang diberikannya kerana itu hanya sia-sia. Sebaik-baiknya dengar dulu semua alasan yang diberikan suami.
  1. MOTIVASI SUAMI Jika suami tidak suka melakukan tugas yang diminta, tawarkan kerja lain yang boleh dilakukan. Jika dia boleh melakukan sesuatu yang membuatkannya selesa lama-kelamaan dia pasti melakukannya dengan sendiri.
  1. JELASKAN Jika sifat malas membuatkan keadaan rumah kotor jelaskan kepadanya ia tidak baik untuk kesihatan. Jelaskan apa saja yang anda rasakan dan apa yang akan terjadi dalam rumah tangga disebabkan sifat malasnya itu. Semoga dengan cara ini suami faham dan mahu berubah.
  1. BIAR SUAMI PILIH APA YANG INGIN DILAKUKANNYA Sifat lelaki biasanya tidak suka disuruh atau dipaksa. Jadi jika kemalasannya berkaitan dengan tugas dalam rumah, anda boleh memberinya peluang memilih tugas sendiri, supaya anda tidak kelihatan seperti bos.Jelaskan padanya urusan mengemas rumah bukan tanggungjawab isteri saja. Semua orang yang tinggal di rumah anda mempunyai peranan yang sama untuk menjaga rumah supaya bersih dan selesa.
  1. BUAT JADUAL TUGAS Apa yang boleh dilakukan adalah buat daftar tugas di rumah dan apa yang perlu suami lakukan. Tunjukkan pada suami dan bawa berbincang. Minta bantuan suami menyelesaikan beberapa pekerjaan berat yang memang hanya mampu dilakukan lelaki.
  1. JANGAN MALU MINTA BANTUAN Umumnya, wanita malu meminta bantuan suami, padahal ketika itu dia terlalu penat. Hapuskan perasaan ini supaya anda tidak terbeban dengan tugasan di rumah yang lama kelamaan boleh menyebabkan anda berasa tertekan. Oleh itu minta bantuan suami dengan cara paling lembut.
  1. UCAPKAN TERIMA KASIH Kebiasaannya lelaki enggan melakukan kerja rumah kerana malu dan berasa harga dirinya berkurang dengan melakukan pekerjaan itu. Mereka tidak sedar semua isteri akan berasa bangga dan gembira apabila suami sudi meringankan tangan membantu mereka.Justeru, anda perlu ucapkan ayat manis menyatakan betapa beruntungnya anda mempunyai suami yang rajin. Jangan lupa ucapkan terima kasih selepas suami selesai melakukan kerja rumah. Bahkan tidak salah mengucapkan terima kasih sebelum dan ketika dia melakukan satu-satu tugas yang diminta.
  1. FLEKSIBEL DAN SABAR Jangan menilai pekerjaan suami. Terima seadanya dan jangan dikritik. Walaupun kurang sempurna tetap ucapkan terima kasih dengan senyuman manis.
  1. BERI HADIAH Berikan hadiah sama ada berbentuk barangan atau makan malam bersama di luar. Ini bagi memastikan suami merasa dirinya dihargai.

 

 

 

Sumber: Pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskanda & Harian Metro