KelabMama

Gubahan Mas Kahwin Yang Terkini & Keistimewaan Setiap Satunya

Kalau diimbas kembali tahun 2020 dulu, hampir semua majlis keramaian tak boleh diadakan. Termasuklah majlis perkahwinan. Sama lah dengan abang Mama Siti juga, walaupun dah rancang berbulan-bulan, tapi disebabkan COVID-19, maka terpaksa ubah rancangan.

Tahun 2022 ni, Mama Siti perasan memang banyak betul orang buat majlis perkahwinan. Prosedur operasi standard (SOP) pun dah dilonggarkan. Lagilah seronok nak panggil orang ramai datang kan. 

Alang-alang sembang pasal perkahwinan, Mama Siti berkenan betul dengan rekaan mas kahwin tahun ini. Rekaan ringkas, elegan dan kemas.  

Mas Kahwin VS Duit Hantaran

Mas kahwin atau mahar termasuk dalam syariat Islam dalam bab perkahwinan manakala duit hantaran ialah adat orang Melayu. Mas kahwin merupakan pemberian wajib dari pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. 

Kadarnya berbeza mengikut negeri-negeri di Malaysia yang telah ditetapkan oleh majlis agama Islam negeri asal pengantin perempuan. 

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara sebab mas kahwin diwajibkan adalah:

  1. Tanda pengantin lelaki menzahirkan keinginan berkahwin.
  2. Lambang kemuliaan dan penghargaan kepada pengantin perempuan.
  3. Ukuran persediaan membina rumahtangga. 

Selain wang ringgit, mas kahwin juga boleh diberikan dalam bentuk sesuatu yang bermanfaat seperti emas dan al-quran.

5 Idea Gubahan Mas Kahwin Yang Terkini 

Bingkai Gambar

Kredit gambar: Idea Hantaran by NH
Kredit gambar: Shopee

Rekaan yang pertama ini Mama Siti tujukan kepada para mempelai yang mementingkan nilai nostalgik. Berbanding rekaan mas kahwin yang lain, bingkai gambar seperti ini sesuai dijadikan hiasan di kediaman pengantin selepas majlis selesai. 

Ruangan yang sebelum ini diletakkan duit kertas dan cek tunai boleh diganti dengan gambar perkahwinan. Sekali pandai terus mengimbau kenangan menjadi raja sehari. 

Mas kahwin seperti bingkai gambar boleh disediakan sendiri ataupun ditempah dari kedai. Sekarang ini, banyak perkara sudah boleh dibuat atas talian. Senang dan jimat masa. 

Anda bebas memilih untuk terus diletakkan duit mas kahwin atau hanya perlu dibuatkan hiasan.

Peralatan yang diperlukan:

  1. Duit yang secukupnya. Kalau nak lebih padan, pilih warna yang seakan sama dengan hiasan dalam bingkai.
  2. Pelekat lutsinar.

Cara-cara: 

1. Buat gulungan seperti silinder atau kon. 

Kredit gambar: Songket Pengantin

2. Tampalkan pelekat 2 sisi (double sided tape) untuk diletakkan duit mas kahwin.

Kredit gambar: Songket Pengantin 

3. Keistimewaan rekaan ini ialah ianya simple dan mudah digubah. Kalau orang macam Mama Siti yang tak pandai nak suai letak, rekaan bingkai gambar mungkin menjadi salah satu pilihan Mama Siti.

Gubahan Kotak

Kredit gambar: The Hantaran by NJ 
Kredit gambar: The Hantaran by NJ 

Sejujurnya, Mama Siti jarang nak jumpa rekaan mas kahwin jenis kotak. Jadi, bagi Mama Siti rekaan seperti ini unik

Kalau diperhatikan, susun aturnya memang kemas. Tambahan pula, set dulang mas kahwin seperti ini boleh diletakkan bersama-sama cincin atau gelang sebagai upacara membatalkan air sembahyang.

Gubahan mas kahwin kotak sebenarnya mampu menonjolkan nilai-nilai elegan, walaupun cara letaknya kelihatan biasa.

Selain itu, mas kahwin kotak sangat sesuai untuk pasangan pengantin yang gemar sesuatu yang menjimatkan ruang dan berfungsi sepenuhnya. Kalau dalam istilah bahasa Inggeris nya, function over form iaitu fungsi mendahului bentuk.

Contohnya pada gambar diatas. Kita dapat lihat semua duit mas kahwin memenuhi keseluruhan ruang kotak. 

Rasanya tak lengkap dulang hantaran kita kalau tak disertakan sekali dengan hiasan bunga. Perkara yang perlu diperhatikan ialah pemilihan warna dan cara letak hiasan tersebut.

Anda boleh jadikan gubahan kotak sebagai pilihan untuk mas kahwin dan gelang di hari perkahwinan atau pertunangan anda. Ianya rekaan yang kemas dan mudah disiapkan. 

Ala Sirih Junjung

Kredit gambar: Dellanfr Hantaran
Kredit gambar: Duchess Darla

Rekaan seperti ini sesuai untuk bakal pengantin yang inginkan sesuatu yang moden tapi dalam masa yang sama mahukan sentuhan tradisional. Pandangan peribadi Mama Siti, rekaan ala sirih junjung mempunyai keseimbangan dari elemen tradisional kontemporari. 

Macam mana ya, nak susun atur daun sirih dan mas kahwin? Pening juga kan kalau tak pandai. 

Peralatan yang diperlukan:

  1. Duit kertas dan daun sirih
  2. Bunga hiasan 
  3. Lidi 
  4. Dulang hantaran 
  5. Gam panas (hot glue gun) dan pelekat

Baik, Mama Siti bagi contoh. Gulungan berbentuk kon boleh di pelbagaikan sama ada menggunakan daun sirih sahaja atau duit kertas. Satu lagi idea, anda boleh satukan daun sirih dan duit kertas bersama-sama. 

Untuk bunga pula, ada 2 pilihan disini. Satu, gunakan bunga palsu untuk menaikkan seri dulang mas kahwin. Kedua, anda boleh gunakan wang kertas dan lipat menjadi bunga. 

Kalau nak lebih ringkas dan bebas tunai (cashless), Mama Siti cadangkan untuk gunakan plak cek tunai. Anda boleh dapatkan di laman e-dagang dan tempah mengikut nilai dan nama pengantin. 

Keistimewaan mas kahwin ala sirih junjung ini ialah ia membantu gambar perkahwinan menjadi lebih klasik. Walaupun begitu, tema perkahwinan anda masih kelihatan moden dan tidak ketinggalan zaman. 

Ukiran Akrilik 

Kredit gambar: Eleanor Designs
Kredit gambar: Twenty Degree

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mama Siti perasan tema estetik selalu menjadi pilihan warga nusantara. Bukan hanya pada majlis perkahwinan tetapi untuk majlis-majlis yang lain juga. Bahkan ada yang memilih tema ini sebagai rekaan rumah.

Tambahan pula, rasanya tak lengkap ukiran akrilik kita tanpa daun pampas. Daun pampas ialah elemen penting kalau anda memilih tema estetik. Nak tambah seri lagi, anda boleh sertakan daun pampas di pelamin juga supaya padan dengan rekaan mas kahwin.

Sama seperti rekaan mas kahwin dalam bingkai gambar. Tetapi yang istimewanya, ianya sesuai untuk dijadikan hiasan di dalam rumah. Contohnya, anda boleh letakkan di meja televisyen di rumah anda. 

Apa yang Mama Siti boleh kata, ukiran akrilik ini bersifat kreatif dan tahan lama. 

Jambangan (bouquet) Mas Kahwin

Kredit gambar: Lyn Hantaran Creation
Kredit gambar: Lyn Hantaran Creation

Jambangan mas kahwin masih menjadi pilihan bagi para raja sehari sehingga ke hari ini. Bouquet duit atau bunga duit sesuai untuk para mempelai yang ingin mengekalkan nilai romantik.

Pada dasarnya, pemberian jambangan bunga adalah simbolik untuk menzahirkan emosi terutamanya bagi peristiwa bersejarah dalam hidup seseorang. 

Untuk mendapatkan hasil yang cantik anda perlu kreatif menghiaskan bunga duit ini. Dua contoh diatas ialah rekaan paling kreatif buat Mama Siti. pertama, duit dibentuk menjadi bunga. Kedua, selain ada mas kahwin, pengantin perempuan pun dapat bunga juga. 

Apa yang perlu diambil berat ialah semasa anda membentuk duit menjadi bunga. Memandangkan ianya duit sebenar yang bernilai, maka pengendaliannya perlu dilakukan secara berhati-hati. 

Dapatkan perkhidmatan pakar kalau anda mahukan hasil yang lebih kemas dan kreatif. Walaupun begitu, ianya masih tidak menghalang jika anda ingin membuat dengan hasil tangan sendiri. Kata orang, lebih sentimental kalau buat sendiri kan. 

Jadi sekarang, bunga duit ini nampaknya dah boleh ditambah ke dalam senarai semak hari perkahwinan anda. Dapat serikan gambar terutamanya kalau anda bukan seorang yang fotogenik seperti Mama Siti. 

Walau bagaimanapun, semuanya terpulang kepada anda untuk memilih gubahan mas kahwin yang mana satu yang sesuai untuk hari pertunangan atau pernikahan anda. Yang paling penting, pastikan anda gembira dengan rekaan mas kahwin yang dipilih. Semoga perkongsian kali ini membantu pengantin di luar sana melengkapkan hari bahagia mereka.