KelabMama

Proses Pertumbuhan dan Penjagaan Gigi Susu Bayi Yang Mama Harus Tahu

gigi susu bayi

Kredit: parenting.com

Umum mengetahui yang semua bayi lahir tanpa gigi. Sebenarnya, bukanlah gigi itu tiada, ia cuma belum kelihatan sahaja. Pada gusi bayi, ada 20 batang gigi primer atau lebih dikenali sebagai gigi susu. 

Gigi susu pertama bayi selalunya akan mula kelihatan dan tumbuh ketika bayi berusia sekitar usianya 6 bulan dan ke atas. Bayi yang baru hendak mula tumbuh gigi pertamanya akan menunjukkan tanda-tanda seperti gelisah, air liur meleleh atau ‘gatal’ gusi. Proses pertumbuhan gigi ini akan berlanjutan sehingga bayi berusia 2.5 hingga 3 tahun di mana keseluruh 20 batang gigi susunya tumbuh sepenuhnya. 

Proses Pertumbuhan Gigi Susu 

Kebiasaannya, gigi susu tumbuh peringkat demi peringkat. Mungkin ia jarang diberi perhatian, tetapi, trend pertumbuhan gigi bermula  dengan empat gigi hadapan.  

Kredit: Teeth Talk Girl

Empat gigi hadapan yang terawal tumbuh ialah dua batang gigi kacip di atas dan dua batang di bawah. Gigi kacip ini selalunya tumbuh seawal bayi berusia enam bulan.

Ia diikuti pula dengan 4 batang gigi kacip sisi di atas (2 batang) dan bawah (2 batang) gusi, bersebelahan 4 batang gigi kacip depan.  Apabila bayi berusia 15 bulan, bayi sudah pun mempunyai 8 batang gigi kacip yang lengkap untuk menggigit atau memotong makanan yang dimakan. 

Pada usia di dalam lingkungan 20 bulan, gigi geraham bayi akan mula tumbuh. Gigi geraham ini akan membantu untuk memecah dan melumatkan makanan. Akan ada ruang antara gigi kacip dan gigi geraham yang tumbuh, untuk memberi ruang gigi taring yang akan tumbuh kemudiannya. 

Gigi taring akan tumbuh ketika bayi di dalam usia 23 bulan. Gigi taring digunakan untuk mengoyakkan makanan bagi memudahkan bayi memakan makanan yang lebih bertekstur. 

Akhir sekali, akan tumbuh 2 batang geraham lagi di atas dan 2 batang di bawah, melengkapkan set gigi susu sebanyak 20 batang. Ia boleh mengambil masa antara 2.5 tahun hingga ke 3 tahun, mengikut pertumbuhan individu. 

Kredit: centralcoastorthodontics.com.au

Sifat Gigi Susu

Secara amnya, gigi bayi akan mula setiap 6 bulan, dan sekurang-kurangnya 4 batang gigi, berpasang-pasangan kiri & kanan, akan tumbuh dalam suatu masa. Gigi bayi perempuan akan tumbuh terlebih dahulu berbanding bayi lelaki

Gigi susu bersifat tidak kekal, dan lebih kecil berbanding dengan gigi kekal. Setelah semua gigi susu tumbuh, lebih kurang pada usia 4 tahun, tulang gusi dan muka akan membesar dan memberi lebih ruang untuk proses pertumbuhan gigi kekal. Maka, dalam usia 6 hingga 12 tahun, anak-anak akan mula mengalami proses pertukaran gigi susu kepada gigi kekal satu persatu. 

Kepentingan Menjaga Gigi Susu Anak

Walaupun gigi susu bersifat tidak kekal, bukanlah bermakna ibu ayah boleh ambil sambil-lewa perihal penjagaannya. Gigi susu perlu dijaga rapi kerana ia akan membentuk pertumbuhan gigi kekal yang cantik apabila bayi menjadi dewasa. 

Jika gigi susu mereput dengan dahsyatnya, ia mungkin akan mengganggu kesihatan gigi kekal yang ada di bawah gusi sehingga boleh menyebabkan infeksi atau kerosakan pada gigi kekal tersebut. 

Kredit: Niagara Region

Jika gigi yang rosak terpaksa dicabut, ia gigi lain yang tumbuh akan mengganggu pertumbuhan gigi kekal hingga boleh menyebabkan kondisi gigi berlapis.Gigi kekal akan menghadapi masalah untuk tersusun rapi pada tempat dan ruang sepatutnya. 

Jadi, adalah penting untuk ibu ayah menjaga gigi susu bayi. 

Cara Penjagaan Gigi Susu Anak

Kredit: smartparenting.com.ph

Menurut pakar kesihatan gigi, penjagaan gigi harus bermula seawal anak di usia bayi lagi. Amalan menjaga kebersihan susu perlu bagi memastikan pertumbuhan gigi yang sihat dan tidak berkaviti. 

Sewaktu masa bayi lagi, sentiasa bersihkan gusi bayi dengan kain basah setiap kali selepas menyusu. Apabila gigi sudah mula tumbuh, dinasihatkan ibu ayah mengurangkan pengambilan air atau susu dalam botol ketika waktu hendak tidur malam.

Gunakan berus lembut yang sesuai untuk bayi untuk memberus gigi. Kanak-kanak yang mempunyai gigi susu mungkin masih belum memberus gigi mereka dengan betul sehinggalah mereka berusia 7 tahun dan ke atas. Kanak-kanak boleh menggunakan ubat gigi berflorida dan berperisa yang diiktiraf Kementerian Kesihatan

Kredit: orami.co.id

Ibu ayah juga dinasihatkan untuk membawa anak berjumpa doktor gigi untuk rawatan seawal bayi berusia satu tahun. Kebanyakan ibu ayah sering terlepas pandang temujanji dengan doktor gigi. Temujanji dengan doktor gigi membolehkan kita mengetahui atau mengesan apa-apa masalah yang mungkin dapat dielakkan sebelum gigi kekal tumbuh. Doktor gigi juga boleh memberi nasihat jika anak perlu mengambil sebarang suplemen atau ubatan untuk kesihatan gigi anak-anak. 

Gigi adalah mahkota setiap insan. Senyum yang manis datangnya daripada penjagaan gigi yang baik, sejak dari kecil lagi. Jadi, ibu ayah haruslah cakna akan kesihatan gigi bayi, walaupun hanya gigi susu sahaja.