KelabMama

“Saya Bukan Halimah Jongang! ” Faktor Anak Ada Gigi Jongang dan 3 Kaedah Rawatan Berkesan

gigi jongang

Gigi atas yang kehadapan dan tidak selari dengan gigi pada rahang bawah ialah deskripsi gigi jongang. 

Rawatan peringkat awal boleh mula dilakukan seawal usia tujuh tahun berdasarkan kesesuaian keadaan. Banyak faedah yang diperolehi apabila menerima rawatan tersebut. 

Bagi anak remaja, ada kaedah rawatan khusus buat mereka mengikut tahap kritikal gigi itu. Mama Siti nak kongsikan lebih lagi dengan Mama dalam artikel ini. 

Faktor-faktor Gigi Kanak-kanak Jongang

“Mama Siti, anak saya ni tak ada pun hisap jari atau hisap puting. Tapi kenapa jongang juga?”

Mama nak kena tahu, sebab-sebab berlakunya gigi jongang tidak terhad kepada tabiat memasukkan jari ke dalam mulut sahaja. Faktor genetik, kepadatan gusi dan cara pertumbuhan gigi pun memainkan peranan juga. 

#1 Struktur Rangka Muka

Masalah gigi jongang juga boleh berpunca daripada struktur rangka muka yang diwarisi secara genetik. Pengaruh genetik itu menyebabkan sama ada rahang atas lebih panjang atau rahang bawah lebih pendek. 

Secara saintifiknya, ia berlaku kerana nisbah pembentukan rahang yang tidak sesuai dengan saiz muka. 

#2 Tisu Gusi Lembut

Kredit gambar: Kidz Dental Care

Ada kejadian, tisu gusi atas anak-anak menjadi lembut. Apabila keadaan ini berlaku, ia mengakibatkan gigi bawah yang lebih kuat menolak gigi atas ke depan. Hasilnya, gigi jongang. 

#3 Tabiat Hisap Jari atau Puting

Kredit gambar: Blueberry Pediatrics

Menjadi kebiasaan untuk bayi dan kanak-kanak menghisap jari sebelum tidur. Orang cakap nak ambil mood. 

Ketika anak-anak masih kecil, kita menganggap itu perkara biasa dan tidak berbahaya. Tapi sebenarnya, lama-kelamaan kalau dibiarkan tabiat itu akan mengganggu struktur gigi.  

#4 Gigi Bertindih

Bagi kanak-kanak, gigi bertindih berlaku apabila gigi kekal tumbuh di belakang gigi susu. Oleh itu, Mama Siti nasihatkan jika terdapat tanda-tanda gigi kekal mulai tumbuh, segera bawa ke klinik pergigian

5 Faedah Rawat Gigi Jongang Anak-Anak

Ada ibu bapa hari ini yang memakaikan anak mereka gigi palsu walaupun mereka masih kecil. Kata mereka, “saya tak nak anak saya malu kena ejek”’

Itu juga salah satu dari faedah membuat rawatan gigi jongang untuk kanak-kanak dan remaja. Ada lima kelebihan yang diperoleh apabila menjalankan rawatan gigi jongang. 

#1 Gigi Sihat dan Kuat

Rawatan ortodontik yang dilakukan kepada kanak-kanak dalam lingkungan umur tujuh hingga 11 tahun dapat mengurangkan kejadian kerosakan empat batang gigi atas. 

Tambahan pula, rawatan awal gigi jongang mendorong kepada pemeriksaan gigi lebih terperinci oleh doktor gigi. Kesannya, anak Mama mendapat gigi yang sihat dan kuat. 

#2 Menikmati Makanan

Kredit gambar: Freepik

Kedudukan gigi memainkan peranan besar untuk menggigit dan mengunyah makanan. Apabila bahagian gigi atas dan gigi bawah bertemu dengan betul, ia memudahkan proses memecahkan zat makanan menjadi lebih kecil. 

Kelebihannya, anak-anak Mama tidak lagi terdedah kepada masalah pencernaan makanan untuk jangka masa panjang.  

#3 Alunan Suara Lebih Baik

Semakin normal susun letak gigi anak-anak, semakin mudah mereka mengeluarkan bunyi. Tiada lagi kelainan bunyi huruf dan lantunan suara yang kurang jelas. 

Hal ini kerana apabila gigi sudah tidak terkeluar lagi dan itu membantu lidah berada di kedudukan yang betul dalam mulut, 

#4 Melindungi Bibir dan Mulut

Kredit gambar: University Of The Pacific

Gigi jongang yang diabaikan mempunyai kebarangkalian yang tinggi mencederakan bibir dan bahagian mulut yang lain. 

Kesemua keadaan itu akhirnya menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan kepada anak-anak. 

Rawatan gigi jongang mengelakkan mereka daripada terluka, sumbing, keretakan rahang atau patah.

#5 Tingkatkan Keyakinan Diri

Kalau dulu ketika Mama Siti masih kecil, kanak-kanak yang jongang dikatakan seperti watak drama ‘Halimah Jongang’ yang popular ketika itu.

Keadaan ini sangatlah mengganggu proses perkembangan diri kerana mereka malu sering dijadikan bahan gurauan. 

Apa yang kita bimbangkan ialah jika anak kita cenderung mendapat sakit mental seperti fobia sosial (social anxiety).  

Rawatan Gigi Jongang Anak Remaja

Rawatan jongang di usia remaja menjadikan keadaan jongang kurang menonjol berbanding remaja yang tidak melakukan sebarang rawatan. 

Kepada anak-anak remaja yang ingin membetulkan struktur gigi mereka ada tiga rawatan yang disediakan. Rawatan-rawatan ini diberikan oleh doktor gigi mengikut tahap keseriusan. 

Bagi kes ringan, pesakit akan dipakaikan aplians tetap dan memerlukan beberapa cabutan gigi sebelum memakainya.

Kes sederhana pula memadai dengan menggunakan aplians fungsi diikuti oleh aplians tetap.

Namun begitu untuk kes serius, perlu membuat pembedahan rahang serta menggunakan aplians tetap sepanjang proses rawatan gigi jongang berlaku.

Nota: Aplians tetap ialah pendakap gigi yang tidak boleh ditanggalkan oleh pesakit. Manakala aplians fungsi pula menggalakkan perkembangan tulang rahang dan membaiki gigitan.

Kredit gambar: Freepik

Masalah jongang anak-anak boleh terjadi disebabkan empat faktor dan salah satunya ialah tabiat menghisap jari. 

Banyak kebaikan yang diperolehi jika Mama segera mendapatkan rawatan gigi jongang untuk anak yang masih kecil atau yang sudah dewasa. 

Mama Siti harap perkongsian ini menjawab persoalan Mama berkaitan gigi jongang dalam kalangan kanak-kanak. 


Dapatkan lebih banyak infografik menarik di SINI!