KelabMama

Gigi Anak Berlubang? Ini Gejala Dan Cara Mencegah Gigi Berlubang Yang Perlu Mama Tahu!

gigi berlubang

Kredit gambar: childrensdentaldallas.com

Gigi berlubang merupakan antara kerosakan gigi yang sering berlaku kepada kanak-kanak yang paling biasa. Malah, menurut CDC semua kanak-kanak berisiko untuk mengalami masalah gigi berlubang ini jika tidak melakukan penjagaan pergigian secara berkala iaitu pemeriksaan gigi di mana-mana klinik gigi setiap 6 bulan sekali.

Bagi mengetahui apakah punca gigi berlubang dan cara pencegahan gigi berlubang, Mama dan Papa boleh ikuti perkongsian di bawah ini!

Punca Gigi Berlubang

Kredit gambar: wearebitesize.com

Terdapat banyak faktor atau punca gigi berlubang. Gigi akan mula berlubang apabila enamel pada gigi berlaku kerosakan yang dipanggil sebagai kaviti.

Ia disebabkan oleh bakteria dalam mulut mengubah semua makanan yang dimakan menjadi asid yang mengurangkan pH dalam rongga mulut.

Kemudian, hasil gabungan bakteria, makanan, asid, dan air liur tersebut akan mula membentuk bahan melekit yang dipanggil sebagai plak.

Plak ini pula kemudiannya akan memakan enamel gigi dan menyebabkan berlakunya kaviti.

Oleh sebab semua kanak-kanak mempunyai bakteria dalam mulut mereka, jadi mereka berisiko untuk mempunyai gigi yang rosak dan tidak mengendahkan kebersihan mulut merupakan salah satu risiko yang meningkatkan risiko mereka mengalami kerosakan gigi ini.

Selain dari kurangnya penjagaan kebersihan mulut, terdapat beberapa perkara lain yang boleh meningkatkan risiko anak anda untuk mengalami masalah gigi berlubang atau kerosakan gigi iaitu:

  1. Mempunyai bakteria pada tahap tinggi yang menyebabkan rongga berlaku.
  2. Pengambilan gula dan kanji yang tinggi.
  3. Tidak minum air dengan mencukupi yang menyebabkan pengeluaran air liur yang kurang untuk melawan asid yang dihasilkan oleh bakteria di dalam mulut.
  4. Mempunyai tabiat minum susu botol semasa bayi sehingga tertidur.
  5. Tidak memberus gigi dengan bersih dan betul.
  6. Fluorida tidak mencukupi di mana ia merupakan mineral semula jadi yang dapat membantu mencegah kaviti serta membaiki kerosakan gigi.

Gejala Gigi Berlubang Pada Anak

Kredit gambar: parenting.firstcry.com

Di bawah ini merupakan gejala biasa gigi yang mengalami kerosakan serta kaviti. Namun perlu diketahui bahawa pereputan gigi mungkin sedikit berbeza bagi setiap kanak-kanak.

  1. Tompok-tompok putih akan mula terbentuk pada permukaan gigi di kawasan yang telah terjejas yang menandakan bahawa enamel mula rosak dan menyebabkan sensitiviti awal pada gigi.
  2. Rongga yang berwarna coklat muda akan awal muncul pada gigi.
  3. Rongga kemudiannya akan menjadi lebih dalam dan bertukar warna daripada coklat yang lebih gelap kepada warna hitam.
  4. Namun begitu, gejala kerosakan gigi dan kaviti adalah berbeza bagi setiap kanak-kanak di mana munculnya rongga ini tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga anda membawa mereka berjumpa doktor gigi.
  5. Rasa sakit di kawasan sekitar gigi.
  6. Kepekaan yang tinggi terhadap makanan tertentu contohnya seperti gula-gula dan minuman panas ataupun sejuk.

Cara Mudah Jaga Kebersihan Gigi Elak Kaviti

Kredit gambar: whitewingdental.com

Terdapat beberapa langkah atau cara pencegahan gigi berlubang. Antara langkah yang boleh Mama dan Papa buat untuk membantu mencegah kerosakan gigi berlubang pada anak-anak adalah seperti berikut:

  1. Terus mulakan langkah memberus gigi anak anda sebaik sahaja Mama dan Papa melihat gigi pertama mereka mula muncul.
  2. Mama dan Papa perlu berus gigi, lidah, dan gusi sebanyak dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida.
  3. Bagi kanak-kanak yang berumur di bawah usia 3 tahun, Mama dan Papa perlu gunakan hanya sedikit sahaja ubat gigi, iaitu kira-kira sebesar saiz sebutir beras.
  4. Manakala bagi kanak-kanak yang berusia 3 tahun ke atas, Mama dan Papa boleh menggunakan ubat gigi berfluorida yang saiznya adalah sebesar kacang.
  5. Selain memberus gigi, Mama dan Papa juga perlu flos gigi anak anda pada setiap hari selepas mereka berumur 2 tahun.
  6. Ambil makanan yang seimbang dan hadkan semua makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti gula-gula, biskut dan kek.
  7. Selain itu, elakkan penyebaran bakteria dari mulut ke mulut melalui perkongsian alatan makanan.
  8. Elak bersihkan puting bayi anda menggunakan air liur anda sendiri.
  9. Sekiranya mereka menggunakan botol semasa tidur, elak letakkan sebarang minuman yang mengandungi gula dan gantikannya dengan air kosong sahaja.
  10. Mama dan Papa juga perlu lakukan pemeriksaan rutin secara berkala setiap 6 bulan serta jadual pembersihan untuk anak anda.
  11. Dapatkan pemeriksaan doktor gigi secara kerap. Hal ini bagi memastikan kesihatan gigi dan gusi anak anda berada pada tahap yang terbaik.

Oleh itu, bagi mengekalkan gigi anak yang sihat dan cantik, Mama dan Papa perlu sentiasa memantau kebersihan gigi mereka dan kerap melakukan pemeriksaan doktor gigi serta amalkan semua langkah pencegahan yang Mama Siti kongsikan ini.

Dapatkan juga pelbagai tips dan panduan kesihatan yang lain di SINI!