KelabMama

Tanda Awal Anda Mungkin Hamil. Semak Ini!

Gejala Awal Anda Mungkin Hamil. Semak Ini!

Lewat haid atau ‘missed period’ adalah satu tanda awal kehamilan yang paling signifikan. Tapi tu saja ke tanda anda hamil? Untuk pasangan yang dah berkahwin, mestilah suami dan isteri teruja nak dapatkan cahaya mata kan? Bukan teruja yang biasa-biasa saja tau. Teruja sangat! Lagi best kalau dapat kesan kehamilan awal-awal supaya dapat dielakkan aktiviti yang boleh jejaskan kandungan serta-merta.

Bukan tu saja tau, kalau ada yang dulu pernah keguguran, boleh start ambil vitamin atau apa-apa suplemen tambahan. Yalah, nak menimang anak la katakan. Tapi, macam manaa nak tau anda hamil ke tak? Dibawah Mama Siti ada listkan beberapa tanda awal kehamilan ini supaya anda lebih bersedia!

Tanda Awal Kehamilan

Berikut adalah tanda awal kehamilan yang boleh diperhatikan sebelum menjelang tarikh jangkaan haid anda.

Salah satu tanda yang biasanya di alami di awal kehamilan ialah mengalami kekejangan di bahagian abdomen.

#1 Pendarahan/Kekejangan Akibat Implantasi

Kira-kira 8 hari selepas ovulasi, anda mungkin mengalami pendarahan implantasi, iaitu terdapat tompok-tompok darah berwarna merah jambu atau coklat, serta sedikit kejang di bahagian perut. Ianya disebabkan oleh telur yang membenam masuk ke dalam lapisan endometrium. Bila nak datang haid pun anda mungkin mengalami keadaan yang sama.

Perkara yang sama berlaku dalam masa 1 atau 2 minggu sebelum tarikh haid anda, pendarahan implantasi juga boleh berlaku. Ketika proses ini, sedikit pendarahan adalah normal dan tak merbahaya. Jadi, anda tak perlu risau!

#2 Kenaikan Suhu Tubuh

Kalau anda nak hamil, rekodkan suhu tubuh badan (basal body temperature) setiap hari. Sebab dalam tempoh ovulasi, akan ada perubahan suhu yang boleh meningkatkan peluang mama untuk berjaya dapatkan zuriat.

Selesai saja tempoh ovulasi, mama akan dapati suhu tubuh anda akan terus meningkat berbanding biasa bila telur berjaya disenyawakan.

#3 Payudara Terasa Berat & Nyeri

Sebelum kedatangan haid, payudara anda mungkin sedikit sensitif terhadap sentuhan. Tapi bila anda hamil, perkara yang sama akan berlaku, cuma anda jadi lebih sensitif. Apabila badan dah terbiasa dengan peningkatan hormon ni, kesakitan akan hilang.

Bila anda hamil, hormon akan terus hantar isyarat kepada tubuh anda untuk bersedia dalam masa 40 minggu. Ketika ni, saluran darah dalam payudara akan menegang dan mula membesar. Inilah sebabnya payudara semakin membesar apabila usia kehamilan semakin meningkat.

Kadang-kadang, ada yang mengalami simptom ini dalam masa beberapa hari sebelum haid tapi ramai wanita yang berpendapat bahawa ketidakselesaannya lebih teruk bila hamil.

#4 Keletihan Yang Melampau

Tahap hormon progesteron yang tinggi boleh membuatkan bakal ibu rasa seperti baru selesai berlari maraton sedangkan anda hanya bekerja seharian di pejabat. Keletihan adalah tanda penting awal kehamilan, walaupun ia mungkin bukanlah simptom yang pasti tanpa kehadiran simptom-simptom lain.

Keletihan yang bukan berpunca daripada kerja berat mungkin menandakan tubuh anda sedang bekerja dua kali ganda untuk menyokong pertumbuhan fetus. Bukan tu saja, peningkatan hormon progesteron di awal kehamilan boleh menyebabkan anda penat dan mengantuk sepanjang masa.

Kira-kira 50% wanita akan muntah dan loya semasa trimester pertama kehamilan mereka.

#5 Loya

Anda loya? Ketahuilah bahawa inilah tanda kehamilan awal yang paling klasik dan selalunya benar! Sebab 75% daripada wanita mengaku akan berasa loya di awal kehamilan, lebih-lebih lagi pada awal pagi.

Kalau anda bernasib baik, anda takkanalami morning sickness ni sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan. Kalau yang bertuah tu, takkan alami langsung.

Tapi seawal 2 hari selepas persenyawaan, anda mungkin mula berasa loya dan tak sedap perut. Dan ini bukan saja berlaku pada waktu pagi tau. Loya akibat kehamilan boleh berlaku pada waktu pagi, petang atau malam.

#6 Ketidakselesaan Perut

Ada yang akan berasa kembung, senak, dan sembelit apabila mulai hamil akibat perubahan hormon yang menjejaskan sistem pencernaan. Tanda ini juga biasanya diikuti dengan kerap terkentut, dan asyik sendawa.

#7 Kerap Kencing

Apabila anda hamil, lebih banyak darah akan dihasilkan. Pada masa yang sama, buah pinggang juga akan bekerja lebih keras untuk menapis darah ini dan menyebabkan pundi kencing anda sentiasa penuh. Jadi, anda akan kerap ke tandas, terutamanya pada waktu malam. Bersedialah!

#8 Alah Terhadap Makanan

Kira-kira 85% wanita akan berasa alah terhadap beberapa jenis makanan dalam tempoh awal kehamilan atau trimester pertama. Biasanya, keadaan akan kembali normal dalam trimester kedua atau ketiga. Tapi, ada yang akan merasa begini sehingga bayi lahir.

Anda mungkin perasan perubahan pada deria rasa anda. Sesetengah wanita mengatakan mereka rasa sedikit payau di mulut, dan sesetengah yang lain mengatakan mereka tak dapat tahan rasa kopi, teh atau makanan yang mereka suka.

#9 ‘Mood Swing’

Perubahan hormon bukan saja akan menjejaskan fizikal anda, tetapi juga mental. Ini kerana paras hormon ini turut menjejaskan bahagian neurotransmitter pada bahagian otak sehingga menyebabkan emosi anda jadi tak stabil.

Ibu yang hamil akan mudah mendapat sakit kepala kerana hormon estrogen dan progesteron yang dihasilkan badan.

#10 Sakit Kepala

Paras gula yang rendah boleh menyebabkan sakit kepala apabila sel otak tidak mendapat keperluan yang diperlukannya. Sakit kepala yang kerap juga adalah tanda awal kehamilan akibat hormon estrogen dan progesteron untuk menyokong pertumbuhan rahim bagi bayi dalam kandungan.

#11 Mengidam

Ya, bunyinya sangatlah klise, tetapi mengidam pun boleh jadi satu tanda kehamilan. Tapi janganlah pula bergantung kepadanya sebagai simptom yang pasti (ia mungkin hanya di kepala anda, atau mungkin juga tanda bahawa badan anda kekurangan nutrien tertentu). Tapi kalau mengidam tu diikuti dengan beberapa simptom lain seperti dalam senarai ini, anda boleh mula mengira hari daripada hari pertama haid terakhir anda.

#12 Warna Areola Menjadi Gelap

Jika kulit di sekeliling puting payudara anda menjadi lebih gelap, ini mungkin bermakna proses persenyawaan telah berjaya. Walau bagaimanapun, ini mungkin juga tanda ketidakseimbangan hormon yang tak berkaitan dengan kehamilan, ataupun bekas daripada kesan kehamilan terdahulu.

#13 Tak Datang Haid

Dulu haid elok saja, kenapa sekarang lambat betul datang? Pergilah buat ujian kehamilan. Tak datang haid ialah tanda kehamilan yang paling pasti bagi seorang wanita yang telah baligh dan mempunyai kitaran haid yang teratur.

#14 Ujian Kehamilan Positif

Garisan biru kelihatan dalam kotak alat penguji? Tahniah, anda bakal jadi seorang ibu! Buatlah temu janji dengan doktor anda untuk memastikan berita baik ini. Jangan lupa bagitahu suami dan ibu bapa.

Bila Waktu Terbaik Untuk Periksa Kehamilan?

Waktu terbaik untuk anda menjalani ujian air kencing ialah 7 hari selepas anda missed period anda dan dilakukan sebaik saja anda bangun dari tidur iaitu ketika hormon hCG sedang tinggi.

Kadar sensitiviti alat pengesan kehamilan adalah berbeza mengikut jenama dan jenisnya. Secara umumnya, alat ni akan mengesan kehadiran hormon hCG dalam air kencing anda.

Bila membeli alat pengesan kehamilan, periksa dulu sensitiviti alat tersebut di bahagian paketnya. Ada yang mengesan daripada 10mIU/ml hingga 40 mlU/ml. Tips: Lebih rendah nilainya, lebih sensitiflah alat tu.

Ia juga boleh digunakan lebih awal untuk mengesan kehamilan. Harga pun lebih mahal sikit lah. Tapi, waktu terbaik untuk guna alat pengesan kehamilan atau ‘pregnancy test’ adalah sekitar 2-3 hari selepas lewat haid.

Sumber:  babycenter, SirapLimau

BACA JUGA BAKAL IBU, INI MERUPAKAN 4 JENIS MAKANAN YANG PENTING KETIKA MENGANDUNG

Pesan Mama Siti:

Tanda-tanda ini adalah subjektif dan tak semua wanita mengalaminya. Tapi, inilah yang biasa terjadi pada permulaan kehamilan. Kalau keputusan masih negatif, jangan stress! Tarik nafas dalam-dalam dan bertenang. InshaAllah rezeki anda akan sampai juga nanti. Teruskan berusaha ya!