KelabMama

Dulu Hilang Al Fateh, Kini Allah Gantikan Adik-Adik Al Fateh Sebagai Pengubat Rindu

Al Fateh

Setiap ujian yang datang dalam hidup manusia membawa hikmah yang tidak selalu kita mengerti pada awalnya. Itulah yang dilalui oleh pasangan suami isteri, Mejar Ir. Ts Mohd Fikry Amri Abdul Halim dan Sabrina Hakiem Zaini, ibu bapa kepada arwah Muhammad Al Fateh Fikry Amri, bayi yang pernah mengundang rasa simpati seluruh negara selepas meninggal dunia di sebuah taska di Alor Gajah, Melaka pada tahun 2024.

Selepas melalui kehilangan yang begitu perit, kini Allah menghadiahkan sesuatu yang cukup bermakna dengan kelahiran tiga cahaya mata perempuan yang menjadi simbol kekuatan dan kasih sayang yang tak pernah hilang.

Kehilangan yang Menggamit Hati Seluruh Negara

Gambar: Facebook Mohd Fikry Amri

Kisah adik Al Fateh meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia. Bayi berusia lapan bulan itu merupakan zuriat pertama yang dinantikan selama 13 tahun oleh pasangan berkenaan. Namun, hanya lima hari selepas dihantar ke taska, Al Fateh meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuh.

Lebih memilukan, hasil siasatan mendapati arwah Al Fateh disumbat botol susu dan menekup muka bayi dengan bantal hingga mengakibatkan kematian oleh pengasuh di sebuah taska.

Kejadian tersebut bukan sahaja mengundang rasa pilu, tetapi turut membuka mata masyarakat tentang pentingnya keselamatan dan kelayakan pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak.

Rezeki Yang Tak Terduga Selepas Ujian Berat

Setahun selepas tragedi tersebut, pasangan ini menerima berita yang mengubah segalanya. Sabrina disahkan hamil kembar tiga hasil rawatan IVF di bawah Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) sebuah program bantuan kesuburan yang diasaskan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Gambar: Facebook Mohd Fikry Amri

“Sukacita saya ingin memaklumkan isteri saya telah selamat melahirkan anak kembar tiga (triplet perempuan) secara czer pada hari jumaat (24 Okt 2025) yang mulia ini tepat 9.40 pagi di Hospital Melaka. Isteri dan anak-anak saya semuanya dalam keadaan baik dan sihat. Alhamdulillah,” posting di Facebook nya.

Ketiga-tiga bayi perempuan itu diberi nama Maryam Al Lubna, Maryam Al Khawla dan Maryam Al Arwaa. Nama-nama tersebut melambangkan kekuatan, kelembutan dan kasih yang menjadi simbol perjalanan hidup pasangan ini selepas kehilangan anak sulung mereka.

“Arwah Al Fateh Tetap Anak Sulung Kami”

Dalam perkongsian di media sosial, Fikry dan Sabrina meluahkan rasa syukur atas kurniaan luar biasa ini. Mereka menganggap kelahiran kembar tiga ini sebagai tanda kasih dan rahmat Allah selepas melalui kehilangan besar dalam hidup mereka.

Gambar: Facebook Mohd Fikry Amri

“Terubat rindu ada, tapi masih tidak boleh gantikan arwah Al Fateh, cuma boleh mengurangkan rasa kesedihan, Al Fateh anak sulung kami,” kata Fikry dalam salah satu interview bersama Kosmo.

Kisah mereka menyentuh hati ramai bukan sekadar kerana keajaiban yang berlaku, tetapi kerana ketabahan dan keikhlasan mereka dalam menerima takdir dengan penuh redha.

Perjalanan hidup pasangan ini mengingatkan kita bahawa setiap ujian datang dengan janji Tuhan yang pasti. Kadangkala Allah mengambil sesuatu yang kita sayang, bukan untuk menghukum, tetapi untuk menggantikan dengan sesuatu yang lebih besar nilainya.

Gambar: Facebook Mohd Fikry Amri

Kehadiran tiga bayi perempuan ini menjadi bukti bahawa kasih Allah tidak pernah hilang hanya menunggu waktu yang tepat untuk dihadiahkan kembali.

Mama Siti ucapkan selamat berpantang buat Mama Sabrina. Sesungguhnya, di sebalik setiap ujian yang perit, Allah sudah aturkan bahagia yang luar biasa. Kehadiran tiga cahaya mata ini bukan sekadar pengganti, tapi tanda kasih Ilahi yang tiada batasnya.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Ada banyak lagi info menarik yang Mama Papa boleh explore, klik di SINI.