Sekarang ni, ramai anak-anak suka main game Roblox. Ye, sekali pandang, game ni nampak comel dan selamat. Watak dia kecil, berwarna-warni, dan banyak aktiviti yang nampak macam main masak-masak atau bina rumah.
Ramai anak-anak boleh habiskan berjam-jam dalam Roblox, sampai kadang tak perasan masa makan pun dah lewat.
Ada yang kata Roblox bagus sebab boleh asah kreativiti, tapi ada juga yang beri amaran sebab dalam dunia comel ni, tersembunyi risiko besar yang kita kena tahu.
Apa Sebenarnya Game Roblox Ni?
Roblox bukan macam game lain yang ada satu jalan cerita atau misi tetap. Ia sebenarnya platform permainan dalam talian (online game platform) yang membenarkan sesiapa sahaja untuk mencipta, berkongsi, dan bermain game mereka sendiri.
Bahasa mudahnya, Roblox ni macam YouTube untuk game. Kalau di YouTube orang cipta dan tonton video, dalam Roblox pula, orang cipta dan main game.
Setiap pengguna boleh jadi pemain dan juga pembangun (developer). Mereka guna sistem yang dipanggil Roblox Studio untuk reka dunia mereka sendiri macam boleh bina bandar, sekolah, dunia fantasi, malah simulasi kehidupan macam “Brookhaven” atau “Adopt Me!” yang sangat popular di kalangan budak-budak.
Selain tu, Roblox juga ada sistem sosial macam media sosial mini pemain boleh berkawan, berbual, dan ikut akaun orang lain.
Kalau Mama Papa tak pantau, anak boleh berinteraksi dengan orang tak dikenali dari seluruh dunia tanpa sedar siapa mereka sebenarnya.
Jadi, walaupun Roblox nampak macam mainan kreatif, hakikatnya ia sebuah dunia maya terbuka yang boleh jadi tempat pembelajaran atau tempat bahaya, bergantung pada cara penggunaannya.
Bahaya Tersembunyi dalam Roblox kepada Anak-anak
1. Kandungan Tidak Sesuai
Walaupun ada sistem penarafan umur, realitinya banyak game yang lepas tanpa penapisan ketat. Sesetengah pembangun buat game dengan tema yang nampak comel tapi terselit unsur keganasan, seram, atau seksual.
Ada juga roleplay games yang kononnya macam simulasi kehidupan, tapi membenarkan aksi pelukan, perkahwinan, malah drama bercinta yang langsung tak sesuai untuk kanak-kanak pun ada.
Masalahnya, anak-anak ni mudah terpengaruh. Mereka belum faham batasan antara dunia maya dan dunia sebenar. Bila mereka nampak tingkah laku atau aksi tertentu dalam game, mereka mudah anggap benda tu normal.
Lama-lama boleh jejaskan cara mereka berfikir tentang perhubungan, emosi dan perlakuan sebenar dalam kehidupan seharian.
2. Interaksi dengan Orang Tak Dikenali
Salah satu fungsi paling bahaya dalam Roblox ialah ruangan chat terbuka. Melalui chat ni, anak boleh bercakap dengan pemain lain tanpa tahu umur sebenar atau niat mereka.
Ada kes yang menunjukkan individu dewasa menyamar sebagai kanak-kanak untuk mendekati dan memanipulasi anak kecil, dikenali sebagai online grooming.
Grooming ni biasanya bermula dengan cara lembut. Contohnya puji avatar anak, ajak main sama, beri hadiah dalam game, dan perlahan-lahan buat anak rasa selesa dan percaya.
Dari situ, mereka boleh minta gambar, maklumat peribadi, atau pindah perbualan ke platform lain seperti WhatsApp atau Discord.
Sebab tu, ruang chat ni nampak remeh tapi sebenarnya berisiko tinggi. Anak-anak tak sedar mereka sedang berinteraksi dengan orang dewasa yang berniat jahat.
3. Bahasa Kasar dan Budaya Persaingan
Roblox nampak macam dunia fantasi, tapi banyak juga game di dalamnya ajar anak tentang “siapa paling kaya”, “siapa paling hebat”, atau “siapa kalah kena ejek”. Lama-kelamaan, ini boleh tanam budaya persaingan toksik dalam diri anak.
Tambahan pula, bahasa yang digunakan dalam chat kadang sangat kasar, ada maki hamun, ejekan, dan sindiran.
Anak yang masih kecil mungkin belum faham maksudnya, tapi tetap terbiasa dengan komunikasi negatif tu. Lama-lama, mereka boleh mula tiru cara bercakap yang sama tanpa sedar.
Kesan jangka panjang? Anak jadi cepat marah, mudah rendah diri, atau susah kawal emosi bila kalah. Semua ni boleh menjejaskan perkembangan sosial dan mental mereka.
4. Pembelian dalam Game (In-App Purchase)
Roblox gunakan mata wang maya yang dipanggil Robux. Melalui Robux ni, pemain boleh beli pakaian, aksesori, atau naik taraf rumah dalam game.
Nampak kecil, tapi bila anak dah terikut-ikut nak nampak hebat macam pemain lain, di sinilah mula perbelanjaan luar kawalan.
Ada juga Mama Papa yang terkejut bila nampak bil kad kredit meningkat sebab anak buat pembelian tanpa izin. Tambah pula, banyak game dalam Roblox sengaja direka untuk galakkan anak berbelanja. Contohnya, “nak menang, kena beli kuasa khas”.
Masalahnya, anak-anak tak faham konsep duit sebenar. Bagi mereka, klik beli = seronok. Tapi hakikatnya, mereka sedang belanja duit Mama Papa dalam dunia maya.
5. Ketagihan dan Gangguan Tidur
Disebabkan Roblox tak ada pengakhiran macam game lain, anak boleh main tanpa had masa. Mereka asyik nak siapkan rumah, kumpul barang, atau terus bermain dengan kawan dalam dunia maya.
Ini buat mereka susah nak berhenti, malah ada yang sanggup skip makan atau tidur sebab nak main lagi.
Ketagihan ni bukan saja ganggu rutin harian, tapi juga boleh buat anak jadi murung, cepat marah, dan kurang fokus dalam pelajaran.
Tak kisah sama ada roblox atau game lain Mama Papa perlu tanya apa dia main, siapa dia kawan, dan apa dia belajar dari game tu. Kadang, anak main bukan sebab game tu tapi sebab nak rasa diterima dalam komuniti atau nak bersosial.
Mama Papa perlu bimbing mereka cara guna internet dan pantau aktiviti digital mereka. Anak zaman sekarang hidup dalam dunia digital, tapi Mama Papa tetap ‘sistem keselamatan’ pertama mereka
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.
