KelabMama

Galak Ibu Bapa Pasang CRS, Tiada Saman Untuk Tempoh 6 Bulan Pertama!

Insentif Kerajaan Galak Ibu Bapa Pasang CRS, Tiada Saman Untuk Tempoh 6 Bulan Pertama!

Seperti yang kita tahu, bermula 1 Januari tahun depan, kerajaan akan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan bagi menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pun dah umumkan perkara yang sama. Katanya, langkah baru itu diambil susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

Kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuat kuasa 1 Jan tahun hadapan dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.

Mama dan papa mesti risaukan? Ada yang fikir, banyak nya kena beli tahun depan. Nak siapkan anak sekolah lagi, beli beg baru, baju baru, pencil box baru, buku teks dan sebagainya. Mahu lari bajet macam ni. Tapi tak apa. Mama Siti ada berita baik untuk mama dan papa.

Hah? Apa berita baiknya?

Tiada Saman Bagi Tempoh 6 Bulan Pertama

Berita baiknya ialah, tiada sebarang saman akan dikeluarkan sekiranya ibu bapa gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan, iaitu bermula pada 1 Januari 2020, seperti yang dilaporkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi BERNAMA.

Kerajaan juga akan memastikan pendekatan pendidikan digunakan untuk memberi mesej kepada pengguna sebelum penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut beliau, kementeriannya mengambil pendekatan mendidik dahulu sebelum langkah penguatkuasaan diambil sepenuhnya.

“Saya faham mentaliti rakyat Malaysia… Kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati hanya 30 peratus sahaja pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak. “

“Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat… Kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Selasa. 

0% Duti Import & 5% Cukai Jualan Bagi Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

Loke berkata pihaknya juga telah mendapat kelulusan untuk mengenakan sifar peratus duti import CRS selain pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 10% kepada 5% daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kementerian berharap dapat menetapkan kadar sifar SST, namun ia memerlukan kelulusan daripada pihak MOF,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak terutama pengeluar kenderaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu usaha kerajaan dalam mewajibkan penggunaan CRS.

Pentingnya untuk ibu bapa memahami undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan demi keselamatan anak-anak.

Katanya, terdapat juga pihak swasta yang telah memberikan subsidi pembelian CRS kepada golongan kurang berkemampuan.

Tujuan Pelaksanaan CRS Bukan Untuk Bagi Beban Kepada Ibu Bapa

Beliau berkata lagi bahawa pelaksanaan pemasangan CRS itu bukanlah keputusan tergesa-gesa, tetapi ianya telah disarankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak 2-3 tahun yang lalu.

Peraturan itu sepatutnya dilaksanakan Januari 2019, tetapi ditangguhkan untuk memberi masa kepada orang ramai, selain memastikan lebih banyak kesedaran ditingkatkan sebelum pelaksanaannya. 

Pelaksanaan CRS ni akan bermula 1 Januari 2020 bukan bertujuan untuk membebankan ibu bapa, sebaliknya memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak terjamin sekiranya berlaku kemalangan.

Sumber: astroawani

BACA JUGA KETAHUI JENIS-JENIS CAR SEAT UNTUK BAYI & KANAK-KANAK SEBELUM BELI

Pesan Mama Siti:

Kerajaan dah bagi insentif, kurangkan cukai, duti import pun 0%, tak ada saman untuk 6 bulan pertama. Jadi, mama dan papa ambil masa ni untuk kumpul duit beli kerusi keselamatan ni. Tak susah kalau sama-sama melabur duit kan? Yang penting anak kita selamat!