KelabMama

‘Formula’ Rahsia Bagi Ubat Cacing Dekat Anak

'Formula' Rahsia Bagi Ubat Cacing Dekat Anak

Bila nak dijangkiti cacing, kita pun cepat-cepat belek almari untuk cari ubat cacing. Perkara biasa yang selalu berlaku untuk ibu bapa yang ada anak kecil. Anak mama pun mesti pernah kena kan? Kalau tak ada, berlari lah kita ke hospital nak dapatkan ubat cacing. Anak mengadu sakit ni!

Tapi masalahnya, masih ada ibu bapa yang tak pasti tentang kepentingan ubat cacing ni dan ada juga yang tak tahu bila waktu yang sesuai untuk bagi ubat dekat anak.

Mama tahu tak yang kalau masalah cacing ni tak dirawat dengan segera, anak mama boleh mengalami masalah usus tersumbat, anemia yang teruk atau kegagalan jantung untuk berfungsi!

Jadi, ini penjelasan dari Dr. Zubaidi mengenai kepentingan mengambil ubat cacing supaya anak mama tak mengadu sakit perut lagi!

Perlukah Ubat Cacing Untuk Anak?

Penulisan saya kali ini akan memberitahu kepentingan memberikan ubat cacing pada kanak-kanak. Kadang kala ibu bapa ‘terlepas pandang’ mengenai hal ini. Jangkitan cacing adalah jangkitan parasit yang boleh hidup dalam darah, usus atau organ tubuh.

Cacing akan masuk ke tubuh kanak-kanak bila mereka termakan telur cacing yang berada dalam makanan. Ini dilakukan secara tak sengaja apabila mereka beli makanan-makanan yang dimasak secara tak sempurna di gerai-gerai di luar. Telur cacing ini akan menetas dalam usus kecil dan membesar dengan mendapat zat pemakanan di usus ketika proses penghadaman. Cacing yang dewasa mengawan dan bunting akan bergerak ke usus besar dan rektum. Telur cacing ni akan dikeluarkan melalui najis.

Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak makan atau minum air yang tercemar dengan telur cacing.

Kanak-kanak yang mengabaikan kebersihan tangan sebelum makan adalah golongan utama yang menjadi mangsa jangkitan parasit cacing. Selain itu cacing juga boleh memasuki tubuh melalui kulit kaki yang terdedah. Terdapat pelbagai jenis cacing yang menjadikan tubuh kita sebagai tempat untuk mereka membesar dan membiak. Antaranya:

Sebab tu mama kena berhati-hati ketika makan makanan yang dikhuatiri tak dimasak dengan sempurna. Kalau guna tandas awam, pastikan mama bersihkan dulu mangkuk tandas sebelum duduk di atasnya.

Simptom Menandakan Nutrien Si Manja Dah Dicuri!

Antara simptom-simptom yang disebabkan cacing dalam tubuh ialah:

Jangkitan cacing jarang berakhir dengan kematian tetapi ia boleh memberi kesan negatif untuk jangka panjang terhadap pertumbuhan fizikal, perkembangan minda dan pendidikan.

Cacing-cacing ni akan ambil nutrien makanan yang diserap ketika kita makan dan menyebabkan tubuh mengalami kekurangan zat makanan. Inilah yang menyebabkan kanak-kanak jadi cepat penat dan perkembangan fizikal mereka mudah terganggu.

Selain itu, jangkitan cacing yang kronik memberikan kesan yang merbahaya. Ini bermakna cacing tu dah ada dalam tubuh bertahun-tahun tanpa kita sedari. Sebagai contoh, cacing pita boleh menyebabkan kerosakan pada otak, cacing kerambit boleh menyebabkan luka pada usus walhal cacing gelang pula boleh menyebabkan usus tersumbat, sembelit dan kembung abdomen.

Soalan yang biasa ditanyakan kepada saya ialah:

“Berapa kerap kanak-kanak perlu diberikan ubat cacing?”

Tak banyak doktor yang nak jawab soalan ni, malah pakar paediatrician juga seolah-olah merahsiakan ‘formula’ ni.

Bila Perlu Beri Ubat Cacing Kepada Anak?

Biasanya ubat cacing (deworming) diberikan dalam jarak antara 6 bulan hingga setahun sekali. Jarang sekali kanak-kanak mengalami kesan sampingan yang merbahaya dari ubat yang dimakan. Selalunya cacing mati yang dikeluarkan akan menyebabkan kulit kanak-kanak menjadi ruam dan gatal. Deworming secara berkala juga akan membantu mengeluarkan cacing serta telurnya dari usus kanak-kanak yang dijangkiti.

Saya mengambil satu contoh produk ubat cacing yang boleh dibeli dari farmasi. Vemizol, adalah ubat cacing berbentuk suspension cecair yang mengandungi 200mg albendazole dalam setiap 5 ml. Dos yang diberikan bergantung kepada umur kanak-kanak itu. Bagi kanak-kanak antara 1-2 tahun, 5 ml diberikan sebagai dos tunggal. Sementara bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas, 10ml diberikan sebagai dos tunggal.

Ubat cacing boleh diberi dengan sukatan dos 200 mg untuk kanak-kanak di bawah dua tahun, manakala 400 mg untuk kanak-kanak berusia melebihi dua tahun.

Tapi kalau mama dapati masih ada cacing pada najis si manja, maka dos ubat cacing ini seelok-eloknya diteruskan selama tiga hari. Kalau masih banyak lagi cacing dalam najis pada hari ke-4 atau ada bukti yang si manja dijangkiti parasit cacing yang kronik, bawalah dia berjumpa dengan pakar paediatrik. Pemeriksaan najis melalui mikroskop akan memberitahu jika anak mama telah bebas dijangkiti parasit cacing.

Cacing Mudah Tersebar Melalui Haiwan Peliharaan

Jika keluarga mama ada pelihara haiwan peliharaan seperti kucing, seeloknya setahun sekali bawa ia berjumpa doktor haiwan untuk diperiksa. Sebab dalam kehidupan di bandar, cacing senang tersebar melalui haiwan peliharaan. Haiwan peliharaan ni pun perlu diberi ubat cacing, bukan setakat anak mama saja tau!

Haiwan peliharaan perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih terutama di bahagian tapak kaki dan badan serta turut diberi ubat cacing.

Di negara dunia ketiga, jangkitan parasit cacing memberikan masalah besar pada kanak-kanak. Ia memberi kesan kepada mereka dari segi kehadiran ke sekolah. Laporan UNICEF membuktikan kanak-kanak yang diberikan ubat cacing mempunyai berat dan perkembangan fizikal yang sempurna berbanding mereka yang tak diberi ubat cacing.

Secara amnya, sudah memadai kalau mama beri ubat cacing kepada anak mama setiap enam bulan, terutama kalau mama ada bela haiwan peliharaan atau mempunyai risiko-risiko yang saya nyatakan tadi. Kalau tak, bagi ubat cacing setahun sekali pun boleh!

Sumber: Dr. Zubaidi Hj. Ahmad 

BACA JUGA KESAN JANGKITAN CACING PADA SI MANJA

Pesan Mama Siti:

Banyak lagi kaedah pencegahan yang boleh diamalkan bagi mengelak jangkitan cacing ni pada kanak-kanak. Contohnya, pakai kasut kalau bermain di luar, pastikan kuku dipotong pendek dan makanan mestilah dimasak dengan baik. Paling penting ajar si manja untuk amalkan kebersihan sejak kecil.