KelabMama

FAKTOR BAYI LAHIR BESAR

Bayi besar atau lebih dikenali sebagai makrosomia adalah bayi yang lahir dengan berat badan lebih daripada 4,000 gram (4 kilogram). Berat badan bayi yang baru lahir dengan cukup bulan dan usia kehamilan sekitar 37 hingga 42 minggu biasanya antara 2,500 hingga 4,000 gram. Kalau berat si kecil ketika dilahirkan lebih daripada itu dianggap bayi bersaiz besar dan senario bayi besar bukan baharu di negara ini. Apabila perkara ini terjadi kita pastinya tertanya-tanya apakah puncanya dan kenapa terjadi?

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini terjadi. Antara yang sering dikaitkan dengan kejadian bayi besar ketika lahir ialah faktor genetik dan si ibu menghidap penyakit kencing manis semasa hamil. Kejadian bayi yang dilahirkan besar bukan satu fenomena baharu di negara ini, malah bergantung kepada keadaan masyarakat itu sendiri. Di Malaysia berat maksimum bayi yang baru dilahirkan adalah di antara 4 kilogram (kg) hingga 4.5kg tetapi di negara Arab 5kg adalah saiz bayi yang normal.

Setiap ibu hamil perlu mendapatkan rawatan berkala untuk mengetahui tahap kesihatan sepanjang kehamilan. Ini adalah untuk mengelakkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku termasuk kemungkinan bayi bersaiz besar, yang mengundang pelbagai risiko baik kepada ibu mahu pun bayi itu sendiri.

 

JENIS KELAHIRAN BAYI BESAR

Sekiranya masalah ini terjadi, 90 peratus ibu hamil akan melahirkan anak mereka melalui pembedahan caesarean. Namun, sekiranya si ibu mahu bersalin secara normal kemungkinan besar anak yang dilahirkan secara vakum atau forsep. Keadaan ini bukan satu situasi selamat kerana bayi tersebut berisiko tinggi untuk meninggal dunia kerana tersekat di pangkal rahim dan kekurangan oksigen. Bukan itu sahaja, si ibu juga berkemungkinan mengalami koyak yang teruk pada bahagian vagina.

Lazimnya ibu hamil yang mengandungkan anak bersaiz besar, mereka akan melahirkan anak secara pembedahan untuk mengelakkan koyak teruk pada bahagian vagina. Ini juga bagi mengelakkan bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan kekal pada bahagian bahu yang kemungkinan akan tersangkut pada pangkal rahim sekiranya dilahirkan secara normal. Pada masa yang sama, bayi bersaiz besar juga berisiko tinggi mengalami masalah paru-paru yang tidak normal dan kecacatan otak kerana mereka mengalami hipoksia (kekurangan oksigen), dan hipoglisemia (paras gula darah yang rendah) semasa kelahiran.

 

ELAK KELAHIRAN BESAR

Ibu-ibu hamil mahupun ibu yang akan hamil mengambil berat mengenai kesihatan diri masing-masing sebelum dan semasa kehamilan bagi mengelakkan terjadinya kelahiran bayi bersaiz besar, serta risiko-risiko yang lain.

 

MITOS SALAH

Dalam pada itu dakwaan bahawa penggunaan beberapa jenis ubat yang dibekalkan oleh doktor seperti asid folik boleh membuatkan bayi besar di dalam kandungan adalah tidak benar. Vitamin yang diberikan hanyalah bertindak sebagai suplemen dan ia penting kerana kebanyakan ibu hamil di Malaysia tidak mempunyai zat besi yang mencukupi di dalam tubuh mereka. Oleh demikian, berbincanglah dengan doktor anda agar dapat mengetahui keadaan semasa anda sepanjang tempoh kehamilan.

 

 

 

 

 

 

Sumber: Pakar Kanak-Kanak, Hospital Columbia Asia Setapak, Dr. Khairul Zaman Omar & Utusan