KelabMama

Fakta Menarik Tentang Hari Ibu Yang Masih Ramai Tak Tahu

Sebut sahaja tentang Hari Ibu, Mama Siti percaya pasti ramai tahu sambutan ini yang mana ia diraikan pada setiap hari Ahad, minggu kedua dalam bulan Mei. Malah, ada sesetengah negara turut menjadikan hari bermakna itu sebagai cuti umum sebagai menunjukkan penghargaan tinggi buat wanita bergelar ibu.

Tetapi, Mama Siti yakin, masih ramai tak mengetahui disebalik kewujudan hari bermakna ini, terdapat seorang wanita yang telah bekerja keras memperjuangkan imej seorang ibu sehinggakan hari bersejarah itu berjaya menjadi acara tahunan di seluruh dunia.

Bersempena bulan Mei ini, jom lihat beberapa fakta menarik yang Mama Siti kongsikan mengenai Hari Ibu!

Pejuang Hari Ibu tidak mempunyai anak

Menurut laporan Astro Awani, individu yang dikaitkan sebagai pejuang Hari Ibu merupakan seorang wanita bernama Anna Marie Jarvis. Fakta menarik mengenai beliau adalah, meskipun Anna berusaha memartabatkan sambutan Hari Ibu, namun dia sendiri tidak pernah bergelar ibu kerana tidak mempunyai anak.

Justeru, mengapa Anna begitu bersemangat memperjuangkan Hari Ibu? Ini kerana Anna begitu menghargai pengorbanan ibunya sehinggakan beliau berjaya mencipta hari berkenaan melalui sambutan yang julung kali diadakan pada 10 Mei 1908 iaitu pada ulangtahun ketiga kematian ibunya.

Anna Marie Jarvis. Kredit Gambar: Villagepipol

1. Mengikuti Jejak Langkah Ibunya Memperjuangkan Hak Wanita

Menurut fakta, ibu Anna dikenali sebagai Ann Reeves Jarvis merupakan seorang aktivis terkenal di kawasannya yang membawa suara wanita khususnya ibu tunggal. Malah, Ann Reeves turut menjadi pengasas Kelab Kerja Hari Ibu dimana fokus utama adalah membawa suara wanita kepada golongan masyarakat.

Oleh itu, Anna merupakan individu yang sangat dekat dengan kumpulan ibu kerana beliau turut aktif memperjuangkan kelab yang ditubuhkan ibunya itu.

2. Sambutan Hari Ibu Pertama Diraikan di Amerika Syarikat

Bagaimanapun, sebelum Hari Ibu yang diperjuangkan Anna diraikan, sambutan Hari Ibu pertama telah berjaya diperkenalkan oleh ibu Anna sendiri dimana Amerika Syarikat telah mengisytiharkan ia sebagai cuti umum.

3. Presiden Amerika Syarikat Tetapkan Tarikh Baharu

Bagaimanapun, tarikh yang diperkenalkan Anna pada ulangtahun kematian ibunya itu kemudian ditukar oleh Presiden Amerika Syarikat ke-28, Woodrow Wilson apabila memutuskan agar sambutan Hari Ibu diadakan pada setiap hari Ahad, minggu kedua dalam bulan Mei.

4. Usaha Anna Menyebarkan Hari Ibu ke Seluruh Dunia

Namun, ketika ini, sambutan itu masih belum meluas sehinggalah Anna berusaha keras menyebarkan hari keramat itu ke seluruh dunia.

Daripada kejayaan pertama sebelum ini, Anna terus-menerus meningkatkan martabat seorang ibu dengan menyebarkan pula sambutan Hari Ibu melalui perutusan surat kepada ahli-ahli politik di seluruh pelusuk negara.

Hasilnya sekarang, kita semua mengetahui kewujudan Hari Ibu dan dunia kekal meraikan sambutan itu pada tarikh serentak. Bagi tahun ini, ia akan jatuh pada 14 Mei 2023.

5. “Sambutan Hari Ibu Untuk Hargai Mereka, Bukan Ambil Kesempatan”- Anna

Bunga ros merupakan simbolik hadiah pada sambutan Hari Ibu

Selepas kejayaan Anna Jarvis menyebarkan sambutan Hari Ibu ke seluruh dunia, pernah berlaku beberapa kejadian tidak diingini antaranya peniaga bunga mula mengenakan harga tinggi setiap kali tibanya Hari Ibu.

Ini kerana, hadiah berupa kuntuman atau jambangan bunga ros menjadi pilihan utama anak-anak untuk dihadiahkan kepada si ibu. Mengetahui tentang hal ini, Anna kesal sehingga pernah mengatakan hasrat untuk membatalkan sambutan Hari Ibu dek kerana sikap peniaga yang mengambil kesempatan.

Sehingga ke hari ini, fakta memberitahu pasti ada segelintir barangan akan dikenakan harga tinggi ketika Hari Ibu berbanding pada musim Krismas.

Semua Ibu Di Dunia Hebat!

Mama Siti percaya, semua orang menganggap ibu mereka adalah yang terbaik di dunia. Begitu juga Mama Siti yang sentiasa kagum dengan ibu sendiri.

Kalau nak diceritakan antara kehebatan ibu Mama Siti adalah beliau merupakan wanita yang kuat. Ibu Mama Siti antara insan terpilih apabila pernah diduga dengan kehilangan satu-satunya anak lelaki akibat lemas.

Arwah adik meninggal dunia pada penghujung Ramadan ketika berusia 10 tahun. Ibu sangat terasa kehilangan anak bongsunya itu, namun cuba untuk kuat dan sembunyikan kesedihan beliau.

Meskipun tragedi itu telah berlalu selama 13 tahun, tetapi sehingga ke hari ini, ibu Mama Siti masih tidur bersama baju terakhir dipakai arwah adik bagi melepaskan rindunya.

Sampai sekarang, Mama Siti masih ingat dengan kata-kata ibu bahawa seorang anak boleh menghadapi kematian ibu bapanya, namun seorang ibu itu tak akan pernah kuat untuk menanggung kehilangan anak yang dilahirkannya. Semoga ibu-ibu hebat di dunia ini diganjari syurga.

Selamat Hari Ibu semua!