KelabMama

Elak Menjerit & Kerap Marah Anak Agresif

Sebenarnya, pada usia satu hingga enam tahun adalah usia di mana anak-anak mula agresif untuk mengekpresikan diri mereka. Mereka mahu memberitahu apa yang mereka rasa dan mahu.

Namun, disebabkan belum pandai bercakap terutama anak yang baru berusia satu hingga dua tahun, maka mereka melakukannya melalui pergerakan dan aksi. Sebelum ini mereka hanya mampu menangis saja untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Sebab tu lah, ibu bapa perlu perhatikan apa maksud pergerakan mereka dan bukannya cepat saja memarahi mereka!

Faham Anak Agresif, Jangan Sangka Buruk

Anak biasanya tak faham perbezaan di antara baik dan buruk dan apa yang boleh dan tak boleh mereka lakukan.

Jika ada anak satu hingga dua tahun yang kelihatan mahu memukul anak lain, jangan cepat bersangka buruk kepadanya. Selalunya dia mahu memegang dan mengusap anak kecil itu kerana melihat orang lain melakukan perkara seperti itu. Namun, pada usia sebegini mereka belum pandai mengawal kekuatan tangan, maka adakalanya jadi terlebih kasar.

Apa yang Mama Siti boleh cadangkan untuk kanak-kanak sebegini ialah mama boleh tolong pegang tangan mereka dan tolong anak itu kawal tangannya supaya dia boleh mengusap bayi yang lebih kecil. Alang-alang mama boleh ajar dia dengan mengatakan;  ‘Perlahan-perlahan…’

Kalau mama cepat marah dengannya, hilanglah keyakinan diri dia dan mesti dia rasa kecewa kan?  Sebab itulah bila kehendak mereka ditangani dengan kurang bijak dan berhemah, ia menyebabkan mereka memberontak. Sekiranya ini terus-menerus berlaku, anak akan membesar dengan semangatnya patah atau menjadi agresif yang tidak menentu.

Bila perkara ni berteruskan, keadaan boleh jadi bertambah kritikal bila anak itu membesar menjadi remaja. Dia jadi suka melawan cakap ibubapa dan sukar untuk dibentuk.

Atasi Anak Agresif Dengan Baik

Untuk mengatasi anak-anak menjadi agresif, mama perlu cari ruang untuk anak-anak keluarkan tenaga yang berlebihan dan juga tenaga negatif disebabkan kehampaan.

1. Bawa Anak Keluar Bermain

Perkembangan anak yang sihat melibatkan interaksi sosial, aktiviti kreatif dan imaginatif dan juga penerokaan alam sekitar.

Cara paling mudah, bawa saja anak-anak bermain dengan aktif,tak kiralah aktiviti indoor atau pun outdoor. Lebih baik outdoor. Apabila mereka bermain, mereka dapat mengekpresikan diri mereka. Mereka boleh menjerit-jerit, melompat, berpeluh dan sebagainya. Ini membolehkan tenaga negatif yang tersimpan dikeluarkan dengan cara yang sihat.

2. Kurangkan Screen Time

Gajet ‘ membunuh ‘ perkembangan anak.

Kurangkan masa menonton televisyen, bermain permainan video di komputer atau iPad atau TV. Bila anak-anak bermain permainan video, mereka akan mengalami pengaliran adrenalin dan bila mereka tak diberi bermain lasak di luar terutamanya, maka aliran adrenalin itu tiada jalan keluar dan menyebabkan anak-anak kecil itu menjadi tak keruan dengan perlakuan mereka.

3. Katakan Tak Nak Pada Gula!

Jika gula diambil melebihi paras yang normal ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu aktif.

Kurangkan pengambilan gula secara nampak atau tidak nampak. Nampak, maksudnya kita sendiri yang memasukkan gula itu. Tak nampak contohnya minuman soda, makanan segera dan sebagainya. Dalam penyediaan makanan, sediakanlah dengan penuh kasih sayang dan tenang. Makanan itu masuk ke dalam badan mereka dan menjadi darah daging.

4. Jangan Jerit & Marah

Elakkan menjerit-jerit dan terlalu kerap marah. Boleh marah, tapi simpan marah itu untuk sesuatu isu yang sangat memerlukan. Contohnya, sesuatu yang berbahaya baginya, seperti bermain di tengah jalan dan sebagainya. Apabila terlalu suka memarahi, marah kita itu sudah tak ada maknanya. Malah ia menjadi cara hidup yang anak-anak kecil itu akan ikut.

Marah yang tak dikawal dengan baik akan menyalurkan tenaga negatif yang akan diserap oleh anak-anak. Jadi, bila mereka dah besar, kita akan lihat mereka pula mempunyai karakter suka marah-marah. Mama Siti tahu para ibu bapa semua adakalanya tak boleh mengawal diri dan terus marah.

Kalau sekali sekala, tak apa. Kita manusia, kita buat silap. Apa yang kita tak mahu terjadi ialah kita menjadikan itu karakter kita iaitu suka marah-marah dan berleter.

Sumber: Dr. Rozieta Shaary

BACA JUGA KAWAL KEMARAHAN ANDA KEPADA ANAK

Pesan Mama Siti:

Sebagai ibu bapa, kita memang boleh hilang sabar dengan anak agresif. Jadi, Mama Siti sarankan cuba bawa bertenang dan kalau mama marah, pastikan suara mama dalam nada yang rendah tapi tegas. Tarik nafas dalam-dalam sebelum bercakap dengan anak. Kalau mama rasa tak boleh bercakap elok-elok dengan anak, suruh pasangan ambil alih.