KelabMama

E-Wallet Untuk Anak-anak. 5 Sebab Hebat Mengapa Anak Mama Perlu ‘Go Cashless’

Dalam dunia digital sekarang, kalau boleh semua nak online transfer, QR pay dan bayar melalui E-Wallet je. Dompet fizikal pun dah tak perlu bawa kemana-mana.

Satu perkara yang Mama perlu tahu ialah, penggunaan E-Wallet atau dompet digital ini adalah untuk memudahkan transaksi jual beli pengguna dengan lancar di kedai-kedai yang Mama kunjungi.

Mama Siti nak bagitahu, sekarang sekolah pun dah ada E-Wallet untuk memudahkan lagi urusan murid-murid di kantin sekolah. Lepas ni takde dah hilang dompet dekat sekolah, duit dalam dompet hilang dan macam-macam lagi.

Jom kita tengok kenapa anak-anak kita seawal sekolah rendah memerlukan kemudahan E-Wallet ni.

5 Sebab Kenapa Anak Pun Perlukan E-Wallet

#1 Mudah dan Selamat

Setiap kali sebelum keluar rumah, kita mesti akan periksa dahulu segala barang keperluan seperti telefon, dompet, kunci rumah dan juga kunci kereta – ada ke tak.

Mama Siti selalu lupa dompet, telefon mestilah tak pernah tinggal! Mama pun mesti pernah macam ni kan? Ni sebab sekarang pun kita pakai telefon je kalau nak bayar apa-apa. Kantin sekolah pun boleh bayar dengan E-Wallet tau Mama.

Penggunaan dompet digital ni memang memberikan pelbagai kemudahan dalam kehidupan seharian kita. Kita boleh bayar dengan jumlah yang tepat, dan tak perlu pegang duit banyak-banyak di tangan lagi.

Kadang-kadang anak kita pun jenis pelupa dan sibuk nak main dengan kawan-kawan sampai lupa simpan duit betul-betul dalam dompet. Dengan E-Wallet, semuanya senang!

Mungkin Mama ragu-ragu dengan keselamatan semasa menggunakan pembayaran ni tetapi data dalam dompet digital kita dirahsiakan dan sesetengah pembekal juga sediakan ciri jaminan duit akan dikembalikan untuk memastikan keselamatan menggunakan perkhidmatan mereka.

E-Wallet ni bantu kurangkan kes kecurian, yang biasa berlaku dengan duit kertas!

#2 Promosi Dan Ganjaran

Mama Siti faham, mungkin banyak-banyak jenis E-Wallet ni boleh kelirukan Mama dan anak-anak. Sesetengah dompet digital ada menyediakan beberapa ganjaran yang tersendiri atau promosi khas mengikut pembelian para pengguna.

Ianya hanya terpulang kepada anak Mama bagaimana untuk memanfaatkannya.

Semua pengguna E-Wallet bekerjasama dengan pelbagai peniaga untuk memberikan promosi menarik kepada pengguna dalam usaha meningkatkan marketing mereka.

Oleh itu, lihat di mana anda boleh berjimat dan memperoleh cashback melalui aktiviti biasa seperti membeli barang di kedai atau memuatkan semula kredit mudah alih Mama.

Tetapi tolong jangan gunakan promosi ini sebagai alasan untuk berbelanja lebih daripada yang diperlukan tau!

#3 “Pembantu Peribadi” Anda

Nak kirimkan duit untuk belanja anak sekolah tapi tiada wang kertas fizikal? Gunakan E-Wallet!

Terdapat pelbagai ganjaran dan manfaat yang boleh diperolehi melalui penggunaan E-Wallet dari hari ke hari, selain daripada sebagai salah satu saluran untuk menghantar atau menerima duit.

Banyak faedahnya seperti boleh bayar tempat letak kereta, beli insurans, menjelaskan bil utiliti dan banyak lagi! Pasti lebih banyak lagi yang boleh dilakukan oleh E-Wallet dalam masa terdekat.

Malah anak-anak pun boleh bayar yuran-yuran kem sekolah, yuran hari sukan dan macam-macam lagi dengan E-Wallet. Hanya perlu amanah dan didikan yang betul tentang cara penggunaannya daripada ibu bapa dan guru-guru sahaja.

#4 Jejak Perbelanjaan Dengan Mudah

Ibu bapa yang bertanggungjawab perlu memantau perbelanjaan anak-anak, tetapi ia mungkin agak sukar untuk micromanage mereka.

Dengan E-Wallet, Mama boleh menyemak EWallet anak-anak dengan mudah di mana semua transaksi yang dibuat direkodkan. Menjejak perbelanjaan harian anak-anak adalah penting untuk memupuk tabiat kewangan yang baik pada masa akan datang.

Dengan ini juga, ia dapat memberikan gambaran besar tentang corak perbelanjaan anak-anak dan macam mana nak memperbaikinya. Bila mereka besar nanti, boleh la mereka belajar berjimat cermat!

#5 Mengurangkan Kos Pemindahan Duit

E-Wallet bantu kurangkan kos pemindahan duit dari akaun ke akaun. Sebab terdapat sesetengah bank yang mempunyai caj apabila kita memindahkan duit ke akaun-akaun lain.

Ini adalah solusi yang bagus untuk Mama dan Papa yang perlu menghantar duit ke anak-anak dan keluarga lain dengan mudah.

Dengan cara ini juga dapatlah ibu bapa jimat kos tambahan yang lain kerana anda boleh memindahkan wang ke akaun lain tanpa caj.

Dengan artikel ini, dapatlah Mama dan Papa faham serba sedikit, kenapa anak-anak kita perlukan E-Wallet untuk kegunaan masa depan. Adakah Mama akan sediakan E-Wallet untuk anak-anak anda selepas ini? Semoga info-info ni bermanfaat!


Dapatkan tips-tips kewangan di SINI!