Pernah tak Mama risau bila cikgu kata anak susah nak fokus dalam kelas besar? Mulai tahun 2027, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal memperkenalkan pendekatan Co-Teaching, di mana dua orang guru akan mengajar dalam satu kelas untuk satu subjek yang sama.
Kaedah baharu ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Ia bukan sekadar percubaan sementara, tetapi antara langkah besar KPM untuk menjadikan suasana pembelajaran anak-anak lebih inklusif, menyeronokkan dan berkesan.
Apa Itu Co-Teaching?
Co-teaching bermaksud dua guru sama-sama mengajar satu subjek dalam masa yang sama bukan seorang guru dibantu pembantu pengajar.
Dua-dua guru ni setara, saling berkongsi peranan, dan bekerjasama merancang cara terbaik untuk bantu murid faham sesuatu topik.
Contohnya, dalam satu kelas Bahasa Melayu:
- Guru A mungkin menerangkan struktur karangan,
- Sementara Guru B akan bantu murid buat latihan, betulkan kesalahan dan beri bimbingan peribadi.
KPM perkenalkan kaedah co-teaching ni sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan meningkatkan penguasaan murid dalam subjek teras.
Ramai guru di lapangan akui, kelas yang besar dan murid dengan tahap kefahaman berbeza memang mencabar nak dikawal jadi pendekatan dua guru ni bantu seimbangkan keadaan.
Selain tu, ia juga bagi peluang kepada guru-guru untuk saling belajar dan berkongsi kepakaran. Contohnya, guru baru boleh belajar teknik mengajar daripada guru berpengalaman dan sebaliknya.
Pendekatan ini juga dapat mengurangkan keciciran pembelajaran, sebab murid yang perlahan atau perlukan perhatian khas tak lagi tertinggal di belakang.
Macam Mana Dua Guru Mengajar Satu Kelas?
Menariknya, kaedah co-teaching ni ada beberapa model pelaksanaan bergantung pada keperluan murid dan strategi sekolah, antaranya:
- Team teaching – Dua guru mengajar bersama-sama dalam satu masa, saling melengkapkan.
- Station teaching – Murid dibahagi kepada kumpulan kecil, dan guru bertugas di setiap stesen pembelajaran.
- Parallel teaching – Dua guru ajar kandungan sama, tapi dalam dua kumpulan berbeza (lebih fokus).
- Alternative teaching – Seorang guru ajar kumpulan besar, seorang lagi bantu murid yang memerlukan perhatian khas.
Kaedah ni bukan saja membantu murid, tapi juga kurangkan beban guru, sebab mereka boleh saling menyokong dan berkongsi idea.
Lebih Seronok, Lebih Berkesan
Bayangkan kalau anak Mama belajar Matematik, tapi kali ni ada dua guru dalam kelas, satu terangkan teori, satu lagi bantu anak kira dengan betul dan faham langkah demi langkah. Tak mustahil, anak-anak jadi lebih fokus, lebih faham, dan tak cepat putus asa bila buat latihan.
Selain tu, suasana kelas pun jadi lebih aktif dan menyeronokkan sebab ada interaksi dua hala antara guru dan murid yang lebih hidup.
Langkah KPM memperkenalkan co-teaching ni menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa memperbaharui sistem pendidikan negara. Ia bukan saja bantu murid, tapi juga beri ruang kepada guru untuk berkembang dan bekerjasama secara profesional.
Kalau dilaksanakan dengan betul, kaedah ni mungkin jadi titik perubahan besar dalam cara anak-anak kita belajar di sekolah lebih seronok, lebih efektif, dan lebih inklusif.
Kalau selama ni Mama risau anak tak sempat tanya soalan dalam kelas besar, mungkin inilah masa depan pendidikan yang Mama tunggu-tunggu. Dua guru, satu misi untuk melahirkan generasi yang lebih bijak dan berkeyakinan tinggi.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.
