KelabMama

Adab-adab Bacaan dan Doa Yang Boleh Dibacakan Ketika Ziarah Kubur

doa ketika ziarah kubur

Banyak persoalan yang berkisar tentang apakah doa yang sepatutnya dibaca ketika menziarahi kubur sama ada itu ahli keluarga atau bukan.

Mama Siti ada sertakan jawapannya dalam artikel ini dengan senarai bacaan, amalan dan senarai doa ziarah kubur yang boleh dibacakan.

Apa Kata Nabi Muhammad SAW Berkaitan Ziarah Kubur?

Kredit gambar: detikNews- Detikcom

Mufti Wilayah Persekutuan ke-7, Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada menjawab persoalan ini dalam laman sesawang beliau.

Merujuk kepada tiga hadis Nabi SAW, para ulama menyimpulkan bahawa ziarah kubur hukumnya sunat untuk keinsafan dan mengingatkan akhirat.

Salah satu dalil yang dirujuk;

Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat”

(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Menziarahi kubur ialah sunnah baginda yang seharusnya menjadi nasihat buat kita yang masih hidup agar selalu bermuhasabah diri.

Bacaan dan Doa Yang Boleh Dibaca Ketika Ziarah Kubur

#1 Memberi Salam

Kredit gambar: UtusanTV

#1 Ucapan Salam (i)

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ, يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ, أَنْتُمْ سَلَفُنَا وَنَحْنُ بِالْأَثَرِ

‘Assalamualaikum ya ahlal qubur, yaghfirullahu lana walakum, an’tum salafuna wanahnu bil athsar’

Maksudnya: “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur. Semoga Allah mengampunkan kami dan kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikuti kamu”

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Secara ringkas boleh juga dibacakan dengan lafaz;

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ

‘Assalamu’alaikum ya ahlal qubur’

Maksudnya: “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur”

#2 Ucapan Salam (ii)

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﺩَﺍﺭَ ﻗَﻮْﻡٍ ﻣُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ، ﻭَﺃَﺗَﺎﻛُﻢْ ﻣَﺎ ﺗُﻮْﻋَﺪُﻭْﻥَ ، ﻏَﺪًﺍ ﻣُﺆَﺟَّﻠُﻮْﻥَ ، ﻭَﺇِﻧَّﺎ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ

‘Assalamu’alaìkum dara qaumìn mu’mìnîn wa atakum ma tu’adun ghadan mu’ajjalun, wa ìnna ìnsya-Allahu bìkum lahìqun’

Maksudnya: “Selamat sejahtera ke atas kamu semua penduduk negeri orang beriman. Dan telah datang akan kamu apa yang telah dijanjikan akan kamu. Dan hari esok akan tertunai. Dan kami semua insyaAllah akan bertemu dengan kamu sekalian”

(Hadis riwayat Imam Muslim)

#3 Ucapan Salam (iii)

ﺍَﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠﻰَ ﺃَﻫْﻞِ ﺍﻟﺪِّﻳَﺎﺭِ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﻤُﺆْﻣِﻨِﻴْﻦَ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﻠِﻤِﻴْﻦَ، ﻭَﻳَﺮْﺣَﻢُ ﺍﻟﻠﻪُ ﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﻘْﺪِﻣِﻴْﻦَ ﻣِﻨْﻜُﻢْ ﻭَﻣِﻨَّﺎ ﻭَﺍﻟْﻤُﺴْﺘَﺄْﺧِﺮِﻳْﻦَ، ﻭَﺇِﻧﺎَّ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻜُﻢْ ﻻَﺣِﻘُﻮْﻥَ

‘Assalaamu ‘alaikum a’la ahliddiyaari, minal mu’miniina wal muslimiin, wayarhamullahul mustaqdimiina minkum wa minnaa wal musta’khiriin, wa innaa insyaa allahu bikum laahiquun’

Maksudnya: “Selamat sejahtera atas penghuni kubur dari mukminin dan muslimin. Semoga Allah merahmati yang terdahulu dari kamu semua dan dari kami yang terkemudian. Dan kami insyaAllah akan bersama kamu”

(Hadis riwayat Imam Muslim)

#4 Membaca Surah Yasin

Kredit gambar: Detik Sumsel

Sebenarnya tiada dalil yang jelas menyatakan untuk membaca Yasin kepada orang mati di tanah perkuburan namun begitu tiada juga larangan untuk membacanya. 

Dari Safwan RA:

Maksudnya: “Menceritakan kepadaku para syeikh (guru) bahawa mereka menghadiri Ghudhaif bin Harith ats-Thumali ketika beliau sedang menghadapi sakitnya maut, maka dia berkata : “Apakah ada di antara kalian yang mahu membacakan Yasin?”. Dia (Safwan) berkata, maka Salih bin Syuraih al-Sakuniy membacanya (Yasin), tatkala sampai pada ayat ke 40 lalu Ghudhaif wafat. Dia (Safwan) juga berkata : “Para syeikh (guru) mereka berkata :“Apabila dibacakan samping orang yang hendak meninggal nescaya Allah akan meringankan baginya disebabkan dengan bacaan tersebut”. 

(Hadis Riwayat Ahmad)

Memandangkan bahasa Arab ialah bahasa yang kaya makna maka terdapat perbezaan pandangan dari para ulama pada perkataan ‘عَلَى مَوْتَاكُمْ’

Sebahagian berpendapat membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak atau yang dimaksudkan adalah membaca Yasin kepada orang yang telah meninggal dunia.

#5 Membaca Surah Al-Ikhlas

Surah pendek dan mudah dihafal seperti surah Al-Ikhlas juga boleh diamalkan ketika menziarahi kubur. 

#6 Surah Al-Baqarah (Ayat Awal dan Akhir)

Sesiapa yang membaca surah Al-Baqarah insya Allah akan dimakbulkan hajatnya. Lebih tepat lagi, ayat yang dikhususkan ialah lima ayat pertama dan tiga ayat terakhir.

Oleh itu, apabila dibaca ketika menziarahi kubur, mudah-mudahan Allah mendengar permintaan kita agar si mati diberikan keringanan di dalam kubur. 

#7 Ayat Kursi

‘Allahu laa ilaaha illaa huw al-hayyul qayyuum. Laa ta’ khuzuhu sinatuw wa laa na’um, lahuu maa fisamaawaati wa maa fil-ard, man zallazi yasyfa’u ‘indahuu illaa bi iznih, ya’lamu maa baina aidiihim wa maa khalfahum, wa laa yuhiituna bisyai im min ‘ilmihii illaa bimaa syaa wasi’a kursiyyuhus samaawaati wal-ard, wa laa ya ‘uduhu hifzuhumaa wa huwal-‘aliyyul-‘aziim’

Maksudnya: “Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur. MilikNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar”

Bacaan ayat diambil dari surah Al-Baqarah ayat 255. Mana-mana ayat dari Al-Quran yang dibacakan ketika ziarah ke kubur, maka itu dibolehkan.

Apa Kata Ilmuwan Islam? 

Kredit gambar: Bincang Syariah

Menurut Almarhum Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, seorang profesor perundangan Islam di Syria;

Beliau menggalakkan penziarah kubur untuk membaca surah Yasin, al-Ikhlas dan ayat-ayat seperti awal dan akhir al-Baqarah serta ayat Kursi. 

Tambahnya lagi, ianya adalah sebagai panduan supaya umat Islam tidak melakukan perbuatan yang mendatangkan syirik atau khurafat.

Mati Itu Nasihat Buat Yang Masih Hidup

Kredit gambar: Uwe Aranas / Shutterstock.com

Maka disini kita telah pun jelas tentang kata-kata Nabi SAW tentang menziarahi kubur serta doa-doa yang boleh dibacakan.

Sesungguhnya benarlah, menziarahi kubur itu menjadikan kita menilai semula amalan yang dilakukan semasa di dunia.

Semakin hari, kita semakin hampir dengan hari akhir di dunia, maka dengan itu ayuhlah kita sentiasa ‘mengambil’ nasihat dari orang yang telah meninggal dunia ini.


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.