KelabMama

Bacaan Doa Tahiyat Akhir: Fahami & Jangan Lupa Minta 4 Perkara Ini

Ada kata-kata dari seorang ustaz yang berbunyi begini

“Sepanjang hidup kita, berapa banyak doa yang kita minta untuk akhirat?”

Masa dengar ayat tu, Mama Siti tersentak sikit lah. Memang ada betulnya, kebanyakan doa-doa yang Mama Siti selalu minta dekat Allah ialah perkara-perkara keduniaan. 

“Salahkah berdoa untuk kesejahteraan hidup di dunia?”

Tak salah pun, lagipun doa tu kan ibadah. Allah akan bagi sesuai apa yang kita minta. Kalau kita nak kaya dunia, jika kena dengan usahanya, insya Allah dapat. 

Sama juga kalau kita berdoa nak masuk syurga, dengan rahmat Allah, Dia akan makbulkan. 

Rasulullah SAW ada berpesan supaya kita berdoa dengan empat perkara. Manakala waktu yang dikatakan baginda ialah pada tahiyat akhir sebelum memberi salam. 

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Apabila kamu selesai membaca tasyahud akhir, maka mohonlah berlindung dengan Allah daripada empat perkara: daripada seksaan kubur, seksaan neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan kematian, serta daripada kejahatan al-masih al-Dajjal” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Doa Sebelum Salam Dikhaskan Untuk Kehidupan Selepas Mati

Baginda Nabi SAW mengajarkan kita supaya meminta perlindungan yang khusus untuk kematian, perlindungan api neraka dan fitnah akhir zaman. 

Sungguh pada akhir zaman kita sangat mudah terdedah kepada cerita-cerita tidak benar tentang sesuatu perkara. Seboleh-bolehnya kita tak nak lah jadi salah satu ahli penyebaran fitnah. 

Penat-penat kita berjuang hidup di dunia. Ditambah dengan ujian dari bermacam-macam sudut. Sekali terjebak dengan penyebaran fitnah, Allah tak izin masuk syurga. 

Mana lagi kita nak pergi selepas mati, tak ada tempat lebih baik selain syurga. 

Baginda bersabda yang bermaksud:  “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” 

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bacaan Doa Tahiyat Akhir 

Kredit gambar: ahmad.faizal / Shutterstock.com

Doa Tahiyat Akhir #1

Daripada Aisyah R.anha menceritakan bahawa:

“Adapun Rasulullah SAW berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir):

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ

Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada daripada fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung denganMu daripada perbuatan dosa dan hutang” 

(Riwayat al-Bukhari)

Doa Tahiyat Akhir #2

Kredit gambar: Amino Apps

Daripada Ali bin Abi Thalib RA berkata:

“Kemudian apa yang dibaca di antara tasyahhud dan juga salam adalah:

اللهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

“Ya Allah, ampunilah (dosa) aku yang telah aku lakukan dan yang aku telah tangguhkan. Dan apa yang telah aku rahsiakan serta apa yang telah aku zahirkan. Dan apa yang telah aku bazirkan, sesungguhnya Engkau lebih mengetahuinya lebih daripadaku. Engkau yang mendahulukan serta Engkau yang mengakhirkan. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.” [Riwayat Muslim

Doa Tahiyat Akhir #3

Kredit gambar: Kumparan

Daripada Abu Bakar RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: Ajarkanlah kepadaku satu doa untuk aku membacanya di dalam solatku, lalu Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Ya Allah, Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Maka, Kau ampunilah dosa-dosaku serta rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Riwayat al-Bukhari)

Cara Membaca Doa Selepas Tahiyat Akhir

Kredit gambar: Suara.com

Setelah selesai membaca tahiyat akhir dan dalam keadaan jari telunjuk masih diangkat. Kemudian, terus bacakan doa seperti di atas dan beri salam. 

Mama tidak perlu membaca ketiga-tiga doa tersebut. Beri keutamaan pada doa yang pertama. Ini kerana maksud dari doa tersebut lengkap dengan empat perkara seperti yang Nabi Muhammad SAW sarankan.

Sekian itu sahaja doa-doa tahiyat akhir dan bagaimana cara membacanya. Mama Siti masih terngiang-ngiang kata-kata ustaz tentang kepentingan kita meminta hal-hal akhirat. 

Situasi tersebut benar-benar mengingatkan Mama Siti agar tidak hanyut dengan nikmat dunia. Jangan kita lupakan negeri abadi kita nanti iaitu di akhirat. 

Di sana hanya ada dua tempat tinggal sama ada di syurga ataupun neraka. Sesungguhnya neraka ialah seburuk-buruk tempat bagi manusia. 

Mudah-mudahan kita terus istiqamah membaca doa sebelum memberi salam ketika dalam solat. Selamat beramal dan jumpa lagi.  Jom baca zikir dan doa selepas solat fardhu pula!


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.