KelabMama

Saat Hati Menyesal, Inilah Doa Solat Taubat untuk Kembali Pada-Nya

doa untuk solat taubat

Pernah tak kita rasa sesak dalam hati? Rasa bersalah yang menghantui. Rasa jauh dari Allah. Kadang-kadang, air mata mengalir dalam diam kerana menyesali dosa-dosa lalu. Tapi ketahuilah, Allah itu Maha Pengampun. Pintu taubat-Nya sentiasa terbuka seluas-luasnya, menanti hamba-Nya kembali.

Dan salah satu cara untuk memohon ampun ialah melalui doa solat taubat yang dilakukan khusus untuk menunjukkan penyesalan dan memohon keampunan atas kesilapan yang telah dilakukan.

Tak kira sebesar mana dosa kita, jika kita benar-benar ikhlas, Allah pasti akan menerima taubat itu.

Maksud Solat Taubat

Solat Taubat ni adalah solat sunat dua rakaat yang kita buat bila kita rasa betul-betul menyesal dengan dosa-dosa yang pernah kita buat—tak kira dosa kecil atau besar. Ia tanda kita nak minta ampun dari Allah dan kita betul-betul nak berubah jadi lebih baik. Dalam solat ni, kita luahkan rasa bersalah kita kepada Allah dan mohon supaya Dia ampunkan kita.

Kadang-kadang kita rasa macam kita ni banyak sangat dosa, tak layak pun nak minta ampun. Tapi sebenarnya, Allah sangat sayang pada hamba-Nya yang datang kepada-Nya dengan hati yang menyesal.

Allah tak kisah berapa banyak dosa kita, yang penting kita ikhlas nak berubah dan tak ulang lagi kesilapan yang sama. Kalau hati kita mula rasa bersalah, itu tandanya Allah tengah bagi kita peluang untuk kembali kepada-Nya.

Cara Solat Sunat Taubat (2 Rakaat)

Solat Sunat Taubat dilakukan sebanyak dua rakaat dan boleh dikerjakan pada bila-bila masa kecuali waktu yang dilarang untuk bersolat seperti selepas Subuh hingga matahari terbit, waktu tengah hari matahari tegak di atas kepala dan selepas Asar hingga terbenam matahari.

Untuk memulakan solat, niatlah di dalam hati dengan lafaz:

‎أُصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلّهَِ تَعالىَ

“Ushalli sunnata at-taubati rak‘ataini lillahi ta‘ala” yang bermaksud “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala”.

Pada rakaat pertama, selepas membaca Surah Al-Fatihah, boleh diteruskan dengan membaca mana-mana surah seperti Surah Al-Ikhlas atau Az-Zalzalah.

Kemudian, rukuk dan sujud seperti biasa. Masuk ke rakaat kedua, ulangi bacaan Al-Fatihah dan ikuti dengan surah pilihan, kemudian selesaikan solat seperti biasa dengan tahiyat akhir dan memberi salam.

Selesai solat, ambillah sedikit masa untuk berdoa kepada Allah dengan penuh keinsafan dan rendah hati, memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan, sama ada secara sengaja atau tidak.

Boleh baca doa solat taubat seperti doa Nabi Yunus, atau apa sahaja luahan ikhlas dari hati sendiri. Yang penting, hati kita benar-benar ingin berubah dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama lagi.

Doa Solat Taubat yang Menyentuh Jiwa

Selepas solat, Mama Papa boleh baca doa Nabi Yunus dan doa pengampunan umum seperti berikut:

1. Doa Nabi Yunus a.s

لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Laa ilaaha illa anta, subhaanaka inni kuntu minaz-zhaalimiin.
Maksud: Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang yang zalim (menzalimi diri sendiri).

2. Doa Taubat dan Keampunan

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ، دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعَلَانِيَتَهُ وَسِرَّهُ

Allahummaghfirlii dzambii kullahu, diqqahu wa jillahu, wa awwalahu wa aakhirahu, wa ‘alaaniyatahu wa sirrahu.
Maksud: Ya Allah, ampunilah dosaku semuanya, yang kecil dan yang besar, yang pertama dan yang terakhir, yang terang dan yang tersembunyi.

3. Doa Taubat

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْلِي مِنْ عِندِكَ مَغْفِرَةً، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Allahumma inni zhalamtu nafsi zulman katsīran, wa lā yaghfirudz-dzunūba illā anta, faghfir lī min ‘indika maghfirah, innaka anta al-Ghafūru ar-Rahīm.
Maksud: Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

4. Sayyidul Istighfar

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَىٰ عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.

Allahumma anta rabbī, Lā ilāha illā anta, Khalaqtanī wa anā ‘abduka, Wa anā ‘alā ‘ahdika wa wa‘dika mā istaṭa‘tu, A‘ūzu bika min sharri mā ṣana‘tu, Abū’u laka bini‘matika ‘alayya, Wa abū’u bidzanbī, Faghfir lī, Fa innahu lā yaghfirudz-dzunūba illā Anta.
Maksud: Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.

Kalau Mama Papa nak luahkan dengan bahasa sendiri pun boleh. Allah faham segalanya, tak perlu gunakan ayat indah pun apa yang penting, hati ikhlas dan benar-benar menyesal.

Tidak ada manusia yang sempurna. Setiap kita pernah tersasar, namun jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah. Selagi jantung masih berdegup, selagi nafas masih ada kita masih ada peluang untuk kembali.

Solat Taubat bukan hanya sekadar ritual, tapi ia adalah lambang cinta kita kepada Allah tanda kita mahu berubah, mahu menjadi hamba yang lebih baik. Mulakan sekarang, Allah sedang menanti kita kembali kepada-Nya.


Bagaimana cara untuk Mama Papa kira kadar bayaran fidyah? Klik di SINI.