KelabMama

Panduan Zikir dan Doa Selepas Solat Fardhu Yang Boleh Diikuti

Selesai menunaikan solat fardhu dan sunat, kita digalakkan untuk berdoa memohon segala kebaikan dan dijauhi segala keburukan di dunia dan akhirat.

Berdasarkan Pejabat Wilayah Mufti Persekutuan, daripada Abu Umamah, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

جَوْفَ اللَّيْلِ الْآخِرِ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya : “(Doa yang paling didengari ialah) ketika satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardu. – Riwayat al-Tirmizi ( 3499)

Kredit gambar: web.facebook.com/jomsolah?_rdc=1&_rdr

Adab Ketika Berdoa Menurut Rasulullah S.A.W.

Terdapat banyak zikir dan doa selepas solat fardhu yang baik untuk diamalkan. Namun sebaiknya, kita hendaklah beradab dalam berdoa memohon kepada Ilahi.

Berikut merupakan antara adab-adab berdoa daripada Koleksi Doa & Zikir ini:

1. Berdoa ikhlas dari hati kerana Allah S.W.T.

Dalam Surah al-Baiyyinah, ayat 5, Allah S.W.T. telah berfirman:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

2. Mentauhidkan Allah S.W.T. pada nama dan sifatNya

Kita hendaklah mentaati segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya:

“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.” – Surah Al-Baqarah, ayat 186

3. Berdoa dengan menyebut nama-nama Allah Yang Mulia

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka serulah kepada-Nya dengan nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” – Surah al-A’raf, ayat 180

4. Memuji Allah dan selawat kepada Rasulullah

Daripada hadis riwayat At-Tirmizi, Fudhalah bin ‘Ubaid telah berkata:

Ketika kami duduk bersama Rasulullah S.A.W., tiba-tiba masuk seorang lelaki lalu solat dan kemudiannya dia berdoa: Ya Allah, ampunkanlah dosaku dan rahmatilah diriku. Lantas Nabi S.A.W. bersabda: “Kamu tergesa-gesa wahai orang yang berdoa. Apabila kamu selesai solat duduklah dan pujilah Allah dengan pujian yang selayaknya untuk-Nya. Kemudian berselawatlah kepada-Ku. Selepas itu, barulah kamu berdoa.”

Kredit gambar: web.facebook.com/jomsolah?_rdc=1&_rdr

5. Mengadap kiblat

Saidina Umar bin al-Khattab R.A. telah berkata:

Ketika hari Peperangan Badar, Rasulullah S.A.W. melihat kepada orang musyrikin yang berjumlah 1000 orang, sedangkan tentera Baginda hanya 319 orang sahaja. Lalu Rasulullah S.A.W. menghadap ke arah kiblat, kemudian Baginda menadah tangan berdoa dan memohon kepada tuhannya: “Ya Allah, kurniakanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika musnah kumpulan ini di kalangan orang-orang Islam, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di bumi.” Baginda berterusan bermunajat kepada tuhannya dalam keadaan mengangkat tangan dan menghadap kiblat sehingga jatuh kain dari atas kedua bahunya.

6. Angkat kedua-dua belah tangan

Daripada Salman al-Farisi, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Sesungguhnya tuhanmu yang Maha Pemalu dan Maha Mulia malu dengan hamba-Nya apabila hamba-Nya itu mengangkat kedua belah tangannya berdoa tetapi tiada apa-apa yang diberikan Allah kepadanya.”

7. Berdoa dari hati dan yakin akan dimakbulkan

Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian benar-benar yakin bahawa Allah akan memustajabkan doa tersebut. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memustajabkan doa daripada hati yang lalai dan tidak khusyu’.”

ZIkir dan Doa Selepas Solat Fardhu

Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah S.A.W., di sini kami sertakan susunan zikir dan doa selepas solat fardhu yang baik untuk diamalkan:

1. Mulakan dengan ummul kitab Surah Al-Fatihah

2. Selawat kepada Rasulullah S.A.W.

ٱللَّٰهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ

3. Istighfar memohon keampunan

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا وَقَالَ  اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

Maksudnya: “Rasulullah S.A.W. apabila selesai menunaikan solat baginda beristighfar sebanyak 3 kali seraya menyebut: اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَام – Riwayat Muslim (1362)

4. Doa untuk ibu bapa

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

5. Doa selepas solat

Kredit gambar: akuislam.com

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dengan puji yang sebanding dengan nikmatNya dan menjamin tambahanNya. Wahai Tuhan kami, bagiMu segala pujian yang selayaknya bagi keagungan zatMu dan kebesaran kekuasaanMu. Ya Allah, cucurilah kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad mencakupi orang-orang terdahulu dan terkemudian, dan anugerahkanlah keselamatan kepadanya. Restu Allah mudah-mudahan dikurniakan kepada pemimpin-pemimpin kami dari kalangan para sahabat Rasulullah sekalian. Ya Allah, hidupkanlah kami dengan iman, kumpulkan kami dengan iman dan masukkan kami ke dalam syurga bersama iman, dengan berkat rahmatMu, wahai Yang Paling Pengasih di antara yang mengasihani. Ya Allah, tolonglah kami untuk mengingati Mu, bersyukur kepada Mu dan melakukan ibadah yang sebaiknya untuk Mu. Ya Allah, kami pohon kepadaMu petunjuk, ketaqwaan, kehormatan diri dan kecukupan. Ya Allah, terimalah solat kami sepenuhnya, dan ampunkanlah segala dosa kami semuanya. Janganlah Engkau seksa kami biar pun sampai ke hari kiamat nanti. Sesungguhnya engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami dan ibu bapa kami. Rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka mendidik kami dengan baik sejak kecil. Ya Allah, hidupkan kami seperti kehidupan para ulama. Matikan kami seperti  kematian para syuhada. Kumpulkan kami ke dalam kumpulan para wali. Masukkan kami ke dalam syurga bersama nabi. Wahai Tuhan kami, janganlah engkau pesongkan hati kami  setelah mana Engkau berikan petunjuk kepada kami. Berikan kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Maha Pemberi. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan keterlanjuran kami dalam segala urusan kami. Serta teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami, hapuskan kejahatan kami dan matikan kami bersama-sama orang yang baik. Ya Allah, berikan kepada kami di dunia ini kebaikan dan di akhirat juga kebaikan. Selamatkan kami daripada api neraka. Ya Allah, sudahi ajal kami dengan kesudahan yang baik. Janganlah Engkau sudahi terhadap kami, ya Allah, dengan kesudahan yang buruk. Selawat dan salam sejahtera Allah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabatnya. Maha Suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan. Salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.

6. Zikir

اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Aku wasiatkan kepada kamu wahai Mu’adz, janganlah engkau tinggalkan pada setiap kali selesai solat untuk membaca (berdoa) : “Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu.”

7. Zikir

اَللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada azab neraka.”

8. Zikir

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepadaMu keampunan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat .”

9. Ayat Kursi

اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Sesiapa membacanya setiap selesai solat, tidak yang menghalanginya masuk Syurga selain mati.” 

10. Surah Al-Baqarah, ayat 201

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kepada Kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah Kami dari siksa neraka.”

11. Doa penutup selepas solat

Abu Bakrah berkata, “Rasulullah S.A.W. berdoa di akhir solatnya (dengan doa berikut):

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kekufuran dan kefakiran. Aku berlindung kepada-Mu dari seksa kubur.” – Hadis Riwayat Ahmad, 34/52, no. 20409. 

Kredit gambar: web.facebook.com/jomsolah?_rdc=1&_rdr

InsyaAllah…moga-moga dengan amalan zikir dan doa selepas solat fardhu ini, darjat kita sebagai hambaNya akan ditingkatkan dan kita mendapat kebaikan di dunia dan syafaat Rasulullah S.A.W. di akhirat, berkat daripada mengikuti sunnahnya. Ayuh belajar cara membaca doa selepas azan dan hukum amalannya sekali!