KelabMama

Doa Selepas Mengaji Bukan Sunnah Tapi Ikutan Masyarakat (3 Doa Selepas Baca Al-Quran)

Berdoa selepas membaca al-quran atau doa selepas mengaji ialah cara untuk kita menutup majlis dengan cara yang sebaiknya.

Dalam lafaz doa selepas mengaji tersebut terdapat makna-makna yang sangat kita perlukan supaya bacaan kita tadi memberikan manfaat di dunia dan di akhirat. 

Kebiasaannya pada halaman terakhir naskah al-quran ada doa khatam al quran. Kali ini, Mama Siti nak kongsikan doa-doa lain yang boleh kita bacakan selepas membaca al-quran.

Kenapa ada lebih dari satu doa?

Kredit gambar: Phoderstock / Shutterstock.com

Ini kerana doa selepas membaca al-quran bukanlah dari sunnah baginda Nabi SAW. Sebaliknya, ia diamalkan oleh masyarakat Islam pada hari ini kerana dianggap waktu yang sesuai untuk berdoa oleh kerana makna doanya yang baik. 

Imam Al-Nawawi menyatakan “dan tersangatlah disukai (oleh syarak) akan perbuatan berdoa selepas mengkhatamkan al-quran sebagaimana yang telah kami sebutkan sebelum ini”

Antara hikmah membaca al-quran ialah agar ia menyinari hati orang yang membaca al- quran. Rasulullah SAW ada bersabda;

عَنِ ابن عُمَرَ رَضَيِ اللٌهُ عَنهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللٌهِ صَلَيِ عَلَيهِ وَسَلٌمَ اِنٌ هذِهِ القُلُوبَ تَصدَأ الحَدِيدُ اِذَا أصَابَهُ المَاءُ، قِيلَ يَارَسُولَ اللٌهِ وَمَا جِلآوُهَا ؟ قَالَ كَثُرَةُ ذِكرِ الَموتِ وَتلآوَةُ القُرانِ 

Dari Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya hati ini dapat berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air.” Beliau ditanya “Wahai Rasulullah , bagaimana cara membersihkannya?” Rasulullah bersabda, “Memperbanyak mengingat mati dan membaca Al-Qur’an” 

(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Maksud hati yang bersinar disini ialah seseorang itu akan terserlah sifat-sifat baiknya. Dia juga akan dilindungi dari hawa nafsu yang jelik serta tipu daya syaitan.

Koleksi Doa Yang Boleh Dibaca Selepas Mengaji

Kredit gambar: Freepik

Doa Selepas Mengaji #1

الّلَهُمَ ارْحَمْنَا بِالْقُرْآن، واجْعَلْهُ لَنَا إمَامَاً وَنُوْرَاً وَهُدَىً ورحمةً الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نسيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار واجْعَلهُ لَنَا حُجَّةٌ يَا ربَّ الْعَالَمِيْن

‘Allahummar hamnaa bilquran. Waj’al hulanaa imaaman wa nuuran wahudan warahmah. Allahumma zak-kirnaa minhumaa nas-siinaa wa ‘allimnaa minhumaa jahilnaa warzuqnaa tilaawatahu.Aanaa allayli wa athroofan-naharr waj’alhu lanaa hujjatan. Ya rabbal ‘alamiin’

Maksudnya: 

“Ya Allah rahmatilah kami dengan Al-Quran, dan jadikanlah ia sebagai imam, cahaya, petunjuk, serta rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami daripadanya apa yang telah kami lupa, dan ajarkan kami darinya apa yang kami jahil serta rezekikanlah kami untuk membacanya siang dan malam, dan jadikanlah ia sebagai hujjah kepada kami wahai Tuhan sekalian alam”

Doa Selepas Mengaji #2

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

‘Subhanakallah humma wabihamdika asyhadu anla ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaik’

Maksudnya:

“Maha suci Engkau ya Allah dengan memuji-Mu. Tiada yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu”

(Hadis riwayat al-Imam an-Nasa’i)

Doa Selepas Mengaji #3

الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا

‘Allahumma zak-kirnaa minhumaa nas siinaa’

Maksudnya: 

“Ya Allah ingatkanlah kami dari Al-Quran apa yang kami telah dilupakan akannya”

Kelebihan Membaca/Mengaji Al-Quran

Mama pernah tak dengar orang cakap ‘kita hidup untuk mati’. Pada definisi Mama Siti frasa ini bermaksud segala perbuatan kita didunia adalah sebagai bekalan di akhirat nanti. 

Salah satu cara mencari bekalan akhirat adalah dengan membaca al-quran. 

Daripada Abu Umamah R.A melaporkan; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: bacalah al-quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya

(Hadis Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)

Syafaat ialah pertolongan. Boleh jadi, bacaan al-quran itu nantilah yang memberatkan timbangan kebaikan kita di akhirat. Boleh jadi juga ia mempermudahkan perjalanan kita di titian sirat.

Selain itu, membaca dan mengajarkan al-quran diiktiraf sebagai amalan terbaik disisi Allah. Dalil dibawah sebagai bukti bahawa orang yang belajar dan mengajar al quran ialah antara golongan manusia yang baik. 

Daripada Uthman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Kredit gambar: yebemoto / Shutterstock.com

Di samping itu, kelebihan membaca al-quran semasa seseorang masih hidup ialah mendapatkan ketenangan dalam urusan di dunia. 

Keadaan hari ini yang merekodkan banyak kes kesihatan mental merunsingkan banyak pihak. Mudah-mudahan, dengan membaca al-quran Allah menganugerahkan rahmatnya dalam bentuk ketenangan jiwa.

Daripada Barra’ bin ‘Azib r.a. telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran” 

(Hadith Riwayat Barra’ r.a. bin ‘Azib R.A dan direkodkan oleh Imam Bukhari)

Membaca al-quran juga dikira sebagai salah satu majlis. Cara terbaik menutup sesebuah majlis adalah dengan membaca doa selepas membaca al-quran.

Meskipun ia bukan sunnah dari Rasulullah SAW, kita masih boleh mengamalkannya kerana makna doanya yang baik. Oleh itu, Mama Siti telah pun senaraikan tiga doa selepas membaca al-quran. 

Segala amalan di dunia akan dinilai disisi Allah SWT. Jadi, di akhirat nanti al-quran akan memberikan syafaat kepada sesiapa yang membacanya. Selain itu, ia diiktiraf sebagai amalan yang terbaik disisi agama dan akhir sekali, Allah akan memberikan ketenangan kepada sesiapa yang membaca al-quran.

Semoga artikel kali ini, membuatkan kita lebih tertib semasa membaca al-quran dan semakin bermotivasi mendekatkan diri dengan kalam suci itu. Jom baca doa selepas solat fardhu pula!


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.