KelabMama

Doa Selepas Makan Yang Sahih & Perlu Diamalkan Tanda Kesyukuran Kepada Allah SWT

Sebelum mula makan, kita akan membacakan kalimat ‘Bismillah’. Lalu, apabila telah selesai makan, kita juga akan membacakan sebaris doa sebagai tanda syukur kepada Allah. 

Doa selepas makan sangat ringkas dan sangat senang untuk dihafal. Jadi, dalam artikel kali ini, Mama Siti nak kongsikan doa selepas makan dalam bahasa Arab. 

Macam biasa, tak lengkap artikel doa-doa kita tanpa doa selepas makan dalam rumi. Paling penting, Mama Siti sertakan sekali makna doa yang dibaca. Tak ada lah kita terpinga-pinga kan apa yang kita baca tu.

Dua Doa Selepas Makan Yang Sahih Dari Rasulullah SAW

Doa Selepas Makan #1

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنِيْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنّيِ و َلاَ قُوَّةٍ

‘Alhamdullilahil lazhi ath’amani ha-dzha warozaqniihi min ghairi haulin minni wala quwwah ‘

Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang memberi makan ini kepadaku dan yang memberi rezeki kepadaku tanpa daya dan kekuatanku.

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Doa Selepas Makan #2

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا وَأَرْوَانَا ، غَيْرَ مَكْفِيٍ وَلاَ مَكْفُور

‘Alhamdullilahil lazhi kafaana waarwaana , ghaira makfiyyin wala makfur’

Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang mencukupkan kami dan melegakan dahaga kami tanpa kami berasa cukup (iaitu kami sentiasa perlukan nikmat-nikmat Allah) dan tidak juga kufur nikmat.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Kenapa Tak Sama Macam Yang Kita Belajar Masa Kecil Dulu? 

Kredit gambar: Orami

Baiklah, begini ya Mama. Mama Siti pun pernah amalkan doa makan yang diajarkan kita masa kecil dahulu. Suatu hari, Mama Siti terfikir “kenapa ada lebih dari satu doa makan? Yang mana satu yang sahih”

Oleh itu, Mama Siti buat rujukan dari individu yang terpercaya untuk mendapatkan jawapan. Prof Madya Dr Rozaimi Ramlee, seorang pakar hadis di Malaysia menjelaskan tentang status hadis doa selepas makan.  

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْنَ اَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

“Alhamdu lillahhil-ladzi ath-amanaa wa saqaana waja’alanaa minal muslimiin”

Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang memberi kami makan dan minum serta menjadikan kami muslim.

(Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Hadis diatas dianggap lemah ataupun dhaif oleh ramai pakar hadis. Sebabnya terdapat banyak kelemahan dari segi sanadnya dan perawi hadis ini. 

Daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apabila sesuatu hadis itu dhaif ada ulama’ yang membenarkan ianya diamalkan dan ada juga yang menegah. 

Namun, dengan syarat-syarat tertentu maka sesuatu hadis dhaif itu dibolehkan. 

Doa Selepas Makan Yang Mana Harus Kita Baca? 

Alangkah baiknya kalau kita amalkan sesuatu yang datang dari sumber yang dipercayai. Lagipula, bab hadis ni kita tak boleh buat-buat pandai, kena rujuk daripada yang pakar. 

Bukan kita tak tahu akibat mengamalkan hadis yang palsu, dhaif dan diragui. 

Kredit gambar: Zulsegamat

Oleh itu, apa kata kita amalkan doa selepas makan yang sahih dari Rasulullah SAW iaitu;

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنِيْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنّيِ و َلاَ قُوَّةٍ

Dan satu lagi doa selepas makan ialah;

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا وَأَرْوَانَا ، غَيْرَ مَكْفِيٍ وَلاَ مَكْفُور

Syukur, terjawab juga kan kemusykilan doa-doa selepas makan kita kali ini. Ayuh kita baca dan mula hafal sedikit demi sedikit doa tersebut. 

Mama Siti sertakan sekali bacaan rumi dan makna doa selepas makan tadi. Harap dapat membantu Mama dan anak-anak. 

Cuma, Mama Siti nak bagitahu sikit ni. Mama jangan kecil hati pulak ya. Sebenarnya dalam perkara bacaan doa dari sumber Al-Quran dan hadis, lebih elok kalau kita baca dengan bacaan bahasa Arab. 

Sebabnya, terdapat mahraj atau tempat keluar bunyi yang unik dalam lahjah bahasa Arab berbanding bacaan rumi. Kalau belum pandai, tak apa tetapi jangan putus asa berusaha ya.  Jom baca doa sebelum tidur pula!


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.


Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mama mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mama di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!