KelabMama

Koleksi Doa Penenang Hati Mujarab dan Cara Kembalikan Ketenangan Jiwa

Perasaan gelisah dan takut kadang-kala hadir menerpa hidup kita. Keadaan yang tidak menyenangkan ini seboleh-bolehnya ingin diselesaikan segera.

Tetapi manakan boleh semua kegelisahan dan kekalutan hilang begitu sahaja. Semua perkara perlukan masa. Kita perlu yakin sedikit demi sedikit yang Allah akan memberikan kita ketenangan dan menjadikan kita reda dengan keadaan yang berlaku.

Bacalah doa penenang hati ketika Mama ingin menenangkan hati yang sedang gundah. Jangan bimbang dengan apa yang Allah akan lakukan, yang penting, kita berusaha menjadikan diri kita lebih baik dengan bantuan Tuhan Maha Kuasa.

7 Doa Penenang Hati Dari Al-Quran dan Hadis Sahih

#1 Surah Al-Anbiya: 87

لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ

“Laa ilaaha illa anta subhaanaka inni kuntu minaz zholimin”

Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)  Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

#2 Surah Al-Baqarah: 250

Kredit gambar: Freepik

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْراً وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

“Rabbanaa afrigh’ alainaa sobran wa tsabbit aqdaamanaa wansurna ‘alal qoumil kaafiriin”

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran atas diri kami, serta teguhkanlah pendirian kami serta tolonglah kami terhadap orang kafir”.

#3 Doa Penenang Hati (Sahih Bukhari)

اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّ جَالِ

“Allahumma inni a’uuzubika minal hammi wal hazan. wa a’udzubika minal ajzi wal kasali, wa a’udzubika minal jubni wal bukhli, wa a’udzubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal”

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung pada-Mu daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.”

#4 Surah Insyirah: 6

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا , إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Fainna ma’al ‘usri yusra, inna ma’al ‘usri yusra”

Maksudnya: “Maka sesungguhnya setelah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”.

#5 Doa Tenang Hati (Sahih Hibban)

Kredit gambar: Freepik

اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا

Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla wa anta taj’alul hazna iza syi’ta sahla

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah, Engkau boleh jadikan ia mudah apabila Engkau mengkehendakinya.”

#6 Doa Ditolak Bala (Sahih Bukhari)

 اَللّٰهُمَّ اِنِّىْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِالْبَلَاءِ وَدَرْكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاءِ و شَمَاتَةِ الْاَعْدَاءِ

Allahumma inni a’uuzubika min jahdil bala’. Wa darkish shaqa’. Wa suu il qadhaa’. Wa shamaamatil a’daa’

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bencana dan penderitaan, dari takdir yang buruk dan daripada kegembiraan musuh.

#7 Doa Agar Hati Tenang (Hadis Imam Thabrani)

Kredit gambar: Freepik

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ نَفْسًا بِكَ مُطْمَئِنَّةً، تُؤْمِنُ بِلِقَائِكَ، وَتَرْضَى بِقَضَائِكَ، وَتَقْنَعُ بِعَطَائِكَ

Allahumma inni as-aluka nafsan bika muthma-innah, tu’minu biliqo-ika wa tardho bi qodho-ika wataqna’u bi ’atho ika

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepadaMu jiwa yang merasa tenang kepadaMu, yang yakin akan bertemu denganMu, yang reda dengan ketetapanMu, dan yang merasa cukup dengan pemberianMu.”

Punca Hati Gelisah dan Cara Merawatnya

Kredit gambar: Freepik

#1 Sumber Rezeki Yang Syubhah

Tidak sanggup rasanya memberikan anak dan isteri serta ibu bapa kita makan, minum, belajar dan tinggal dari hasil pekerjaan syubhah dan haram.

Oleh itu, sebelum menerima apa-apa pekerjaan, selidiklah terlebih dahulu latar belakang pekerjaan tersebut. Rezeki yang diragukan juga boleh datang ketika kita tidak mematuhi masa bekerja. Sentiasa disiplin terhadap masa semasa menjalankan tugas.

Nota: Maksud syubhah ialah tidak jelas hukumnya antara halal dan haram. Makna lainnya ialah sesuatu yang meragukan.

#2 Penyakit Wahan (Terlalu Cinta Dunia dan Takut Mati)

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu.” Sahabat bertanya: “Apakah penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu itu?” 

Nabi SAW menjawab: Penyakit-penyakit itu ialah,

  1. Terlalu banyak bersukaria
  2. Terlalu mewah
  3. Mengumpulkan harta sebanyak mungkin
  4. Penipuan dalam merebut harta benda dunia
  5. Saling memarahi
  6. Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain

(Hadis Riwayat Hakim)

Cara merawatnya adalah dengan berpada-pada mengumpulkan harta dan menjaga hati dari sifat dengki dan zalim.

#3 Mengabaikan Solat

Akibat meninggalkan solat, sedar atau tidak akan selalu ada perkara yang membuatkan hati kita marah, sedih atau kecewa.

Sesungguhnya solat itu melindungi manusia dan Allah akan membantu orang-orang yang menunaikan kewajipannya terlebih dahulu.

Mulai saat ini, ayuh kita solat diawal waktu dan solat berjemaah. Jangan solat terburu-buru, ambil masa menunaikan solat dengan tertib dan sempurna. akhir sekali sentiasa berdoa agar Allah permudahkan ibadah kita semua.

#4 Hanyut Dalam Maksiat

Daripada Abi Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ

Maksudnya:

“Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam” (Hadis Riwayat al-Nasa’ie)

Hari demi hari hati kita menjadi gelap dek kerana titik hitam yang menompok dalam hati. Jadi, kita sucikan hati dengan perbanyakkan zikir dan amal soleh. Segera tinggalkan perbuatan mengumpat, mencuri dan memperdayakan orang lain.

#5 Jarang Membaca Al-Quran

Al-Quran itu diturunkan kepada manusia untuk manusia. Mukjizat al-quran mampu menenteramkan kegelisahan hati seseorang.

Dengan menjadikan tilawah al-quran sebagai rutin, insya allah ia boleh menjadi pedoman untuk kehidupan yang lebih sempurna sebagai umat Islam.

Setiap manusia yang dilanda perasaan sedih, sakit hati dan gelisah boleh pulih sedikit demi sedikit. Salah satu caranya adalah dengan berdoa.

Doa-doa penenang jiwa yang Mama Siti kongsikan mudah-mudahan membantu kembalikan ketenangan di jiwa. Yakin dengan doa yang dipanjatkan, Allah ada cara tersendiri menyembuhkannya.

Semoga bermanfaat dan ingatlah Mama Siti selalu ada untuk Mama. Terus kuat ya.


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.