KelabMama

Ketika Rasa Teraniaya, Mintalah Pada Allah Melalui Doa Untuk Orang Teraniaya Ini

sedih teraniaya

Perasaan disakiti oleh orang lain benar-benar membuatkan kita menjadi lemah. Ada orang yang dianiaya dalam pekerjaannya, ada pula yang difitnah dengan cerita ciptaan orang lain terhadap diri mereka. 

Mama pernah dianiaya?

Atau mungkin Mama ada pengalaman difitnah? 

Bagaimana keadaan Mama ketika itu? Semestinya sedih, marah dan kecewa bukan. Ketahuilah siapa pun diri Mama dan apa pun keadaan Mama saat itu, tuhan kita, Allah maha adil atas segala sesuatu. 

Kredit gambar: Pinterest 

Al-Adl ialah salah satu dari 99 nama Allah yang bermaksud Maha Adil. Di samping itu, Allah juga melarang keras hambanya berbuat zalim kepada orang lain samada mereka beragama Islam atau seorang kafir.

Firman Allah;

أَلاَ لَعْنَةُ اللّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ

“Ingatlah, laknat Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim” (Surah Hud: 18)

Manakala baginda Nabi SAW ada bersabda;

المسلم أخو المسلم، لا يظلمه، ولا يسلمه

“Seorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh menelantarkannya” (HR Muslim)

Doa Orang Teraniaya Dimakbulkan Allah

Bagaimanakah Allah melayani doa-doa orang teraniaya? Yang pertama Mama perlu tetapkan dalam hati ialah bersangka baik dengan Allah. Allah tidak mendatangkan sesuatu kepada kita dengan sia-sia. 

Boleh jadi kejadian tersebut sebagai cara Allah menaikan darjat seseorang. Boleh jadi juga ianya sebagai penebusan dosa atas kesalahan kita yang lampau. Lalu Allah datangkan ujian agar kita kembali ingat kepadaNya.

Ketahuilah bahawa rintihan doa orang yang teraniaya adalah antara yang dimakbulkan Allah.

Dari Abu Hurairah beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: 

“Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa musafir, dan doa orang tua untuk anaknya”

(HR Tirmizi)

Oleh itu, bacakanlah doa-doa ini ketika dizalimi orang lain. 

Doa Ketika Teraniaya

Kredit gambar: Freepik

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

‘Robbanaa Afrigh ‘Alainaa Shobron wa Tsabbit Aqdaamanaa wanshurnaa ‘Alal Qoumil Kafirin’

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran atas diri kami, dan teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.

 (Surah Al Baqarah: 250)

Doa Agar Tidak Dianiaya dan Diperbodohkan

Kredit gambar: airdone/shutterstock

Daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah, nama sebenarnya ialah Hindun binti Abu Umayyah, Huzaifah al-Makhzumiyah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila keluar dari rumahnya, baginda membaca:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ، أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ، أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ، أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ

‘Bismillâhi tawakkaltu ‘alallâhi, allâhumma innî a‘ûdzu bika an adlilla au udlalla, au azilla au uzalla, au adzlima au udzlama, au ajhala au yujhala ‘alayya’

Maksudnya : “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu, dari tersesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, berbuat aniaya atau dianiayakan, bertindak bodoh atau dianggap bodoh oleh orang lain atas diriku” 

(HR Tirmidzi)

Doa ini Mama Siti ambil dari perkongsian Ustazah Asma` Harun di laman Facebook beliau. Kata beliau, doa ini sangat baik diamalkan sebagai perlindungan dari penganiayaan orang lain. 

Selain itu, doa ini juga sebagai benteng agar Allah selamatkan kita dari menjadi orang yang menganiaya orang lain. Nauzubillah, semoga dijauhkan.

Doa Ketika Menghadapi Kesulitan Akibat Penganiayaan Orang Lain

Kredit gambar: enciktat/ Shutterstock

حَسْبِيَ اللهُ لِدِيْنِيْ حَسْبِيَ اللهُ لِدُنْيَايَ حَسْبِيَ اللهُ لِمَا اَهَمَّنِيْ حَسْبِيَ اللهُ لِمَنْ بَغَاعَلَيَّ حَسْبِيَ اللهُ لِمَنْ كَادَنِيْ بِسُوْءٍ وَلَاحَوْلَ وَلَاقُوَّةَ اِلَّابِاللهِ

‘Hasbiyallahu lidiini hasbiyallahu lidun yaaya hasbiyallahu lima ahammanii hasbiyallahu limam baghoo ‘alayya hasbiyallahu liman kaadanii bisuuin walaa haula walaa quwwata illaa billaah’

Maksudnya: Cukuplah Allah bagi agamaku, cukuplah Allah bagi duniaku, Allah mencukupi bagi apa yang menyusahkanku, Allah mencukupi bagi yang menganiaya aku, Allah mencukupi bagi yang berniat jahat kepadaku, tidak ada daya upaya dan tidak ada tenaga melainkan pertolongan Allah

Doa ini ialah pengharapan kita kepada Allah ketika menghadapi kesusahan kerana perbuatan jahat orang. Kita meletakkan sepenuh keyakinan bahawasanya Allah berkuasa memberikan pertolongan kepada diri saat ini. 

Akhir sekali, kita mulai faham sesungguhnya tuhan tidak memandang enteng perihal perasaan manusia. Lihatlah bagaimana Allah menjanjikan doa-doa orang yang dizalimi ini akan dimustajabkan. 

Maka, kita sebagai umat manusia hendaklah sentiasa berjaga-jaga. Jangan sampai ada hati yang terluka dek kerana sifat zalim. Mama Siti harap kita semua sentiasa diberikan perlindungan agar tidak menjadi golongan yang menganiaya orang lain.  Ayuh cuba amalkan doa pembuka rezeki pula!


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.


Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mama mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mama di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!