KelabMama

Panduan Lengkap Doa Nabi Musa Untuk Diamalkan Dalam Kehidupan Seharian

Terdapat beberapa pilihan doa Nabi Musa a.s yang sangat baik untuk diamalkan dalam kehidupan kita yang penuh dengan ujian dan rintangan hidup. Doa-doa ini juga sering dipanjatkan oleh Nabi Musa a.s ketika beliau menghadapi segala ujian dan rintangan di sepanjang hidupnya.

Kenali Nabi Musa A.S

Nabi Musa a.s termasuk di dalam 25 orang para nabi dan rasul yang wajib kita ketahui dan merupakan seorang nabi Ulul Azmi iaitu Rasul pilihan yang memiliki sifat istimewa kerana keteguhan hati, kegigihan yang luar biasa dalam berjuang dan sangat tinggi nilai kesabarannya dalam menghadapi pelbagai rintangan dan cubaan juga cabaran ketika menyampaikan seruan dalam berdakwah.

Nabi Musa adalah Nabi yang diutuskan dan diperintahkan oleh Allah SWT untuk Bani Israel dan untuk berdakwah kepada Raja Firaun yang terkenal kerana sifat kejamannya. Selain Nabi Musa a.s, empat Ulul Azmi Nabi lainnya iaitu Nabi Nuh, Ibrahim, Isa dan Muhammad SAW.

Beliau menerima Kitab Taurat dari Allah SWT dan dikenali Kalimullah (كليم الله) yang ertinya orang yang diajak bicara oleh Allah. Dalam Al-Quran, nama Nabi Musa a.s disebut sebanyak 136 kali.

Beliau lahir disaat terjadinya penindasan Firaun terhadap Bani Israel. Nabi Musa a.s ditimpa ujian daripada sewaktu dari kelahirannya lagi, untuk mengelakkan Musa dari dibunuh oleh Firaun, ibunya terpaksa melepaskan Musa ke sungai.

Kemudian baginda diselamatkan oleh Asiah, isteri Firaun dan Musa dibesarkan oleh Firaun yang menganggap dan mendakwa dirinya sebagai Tuhan.

Pelbagai cabaran ditempuhi oleh Musa dan kisah-kisah baginda diceritakan di dalam al-Quran. Nasab beliau disambung sampai kepada Nabi Ibrahim iaitu Musa bin Imran bin Fahis bin ‘Azir bin Lawi bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim.

Kerana sikap Nabi Musa a.s yang berani, tidak mudah menyerah, dan penuh kesabaran dalam melaksanakan dakwahnya, Nabi Musa sentiasa berdoa kepada Yang Maha Kuasa ketika menghadapi pelbagai cubaan dan rintangan dengan berdoa dan berserah diri kepada Allah SWT.

Kisah kehidupan Nabi Musa dapat dijadikan sebagai iktibar dan pelajaran bagi kaum muslim. Selain itu, amalan doa nabi Musa juga sangat bermanfaat bagi kehidupan kita sehari-hari.

Pilihan Doa Nabi Musa Untuk Diamalkan

Kredit gambar: www.bareksa.com

Berikut beberapa doa Nabi Musa As yang boleh kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian.

1) Doa minta memudahkan urusan dan ucapan

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

Robbis rohlii shodrii, wa yassirlii amrii, wahlul uqdatam mil lisaani yafqohu qoulii

Maksudnya:

“Ya rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”.

(Surah Thoha: 25-28)

Doa ini biasanya diamalkan setelah solat wajib atau solat sunat. Ia boleh diamalkan ketika ingin memberikan ucapan agar lancar dalam berkata-kata. Selain itu ketika sedang berhadapan dengan masalah, maka bacalah doa ini.

Nabi Musa sendiri membaca doa ini setelah baginda di minta untuk memakan bara api oleh Firaun. Setelah menelan bara api tersebut, Nabi Musa risau jika tidak dapat berdakwah dengan baik kerana pelat.

Namun dengan kuasa Allah dan juga melalui doa ini, Allah memberikan kemudahan untuk Nabi Musa untuk terus berdakwah dengan mengutuskan Nabi Harun As untuk membantu baginda berdakwah. Walaupun dikhabarkan telah mempunyai kelambanan untuk bercakap namun tidak menjejaskan usaha baginda dalam menyampaikan ayat Allah dengan jelas.

2) Doa memohon keampunan

رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Robbi innii zholamatu nafsii faghfir lii fa ghofaro lah, innahuu huwal-ghofuurur-rohiim

Maksudnya:

“Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”

(Surah Al-Qasas: 16)

Kita sebagai manusia tidak pernah luput dari melakukan kesalahan dan dosa. Doa ini sangat bagus diamalkan untuk memohon keampunan di atas penyesalan dosa kita kerana ianya menjadi doa sebagai penghapus dosa.

Doa ini telah dibaca oleh Nabi Musa As ketika secara tidak sengaja telah membunuh. Ketika itu Nabi Musa bertemu dengan dua orang yang sedang bertengkar, iaitu orang dari kaum Bani Israil dan dari kaum bangsa Firaun.

Lelaki dari kaum Bani Israil tersebut lalu meminta bantuan kepada nabi Musa untuk membantunya. Nabi Musa kemudian menghalang mereka dari bertengkar dengan meninju lelaki kaum Firaun dan membuatnya meninggal.

Setelah kejadian tersebut Nabi Musa dengan penuh rasa penyesalan dan tak henti-henti memohon keampunan dari Allah SWT. Doa ini juga menjadi amalan Nabi Musa a.s ketika berhadapan dengan tekanan.

3) Doa menghindarkan diri dari fitnah.

فَقَالُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلْكَٰفِرِينَ

Fa qooluu álallohi tawakkalnaa, robbanaa laa tajálnaa fitnatal lil-qoumizh-zhoolomiin. Wa najjinaa birohmatika minal-qoumil-kaafiriin

Maksudnya:

“Kepada Allah lah kami bertawakal. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum zalim, dan selamatkanlah kami dengan rahmat Engkau dari (tipu daya) orang-orang yang kafir”.

(Surah Yunus: 85-86)

Nabi Musa a.s mengamalkan doa ini untuk menghindari fitnah dan menjaga dirinya dari tipu daya kaum Firaun. Kita juga digalakkan mengamalkan doa ini ketika menghadapi segala kesulitan dalam menghadapi ujian hidup.

Doa ini dibacakan oleh baginda ketika para pengikut Nabi Musa a.s merasa ketakutan kerana Firaun menfitnah dan menzalimi mereka. Firaun mengancam dan menekan rakyatnya untuk mengingkari kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa, ini sangat meresahkan orang orang yang beriman.

Di tengah kegelisahan pengikutnya Nabi Musa membacakan doa ini untuk menghindarkan diri baginda dan umatnya daripada diserang fitnah yang dilontarkan oleh kaum firaun yang zalim.

4) Doa Memohon kebaikan

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Robbi innuu limaaa angzalta ilayya min khoiring faqiir

Maksudnya:

“Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

(Surah Al-Qasas: 24)

Doa ini boleh diamalkan ketika ingin meminta pertolongan dari Allah SWT. Nabi Musa sendiri mendapat kebaikan dari doa ini disaat baginda sedang melakukan pelarian.

Semasa Nabi Musa As melarikan diri kerana dikejar oleh kaum Firaun yang zalim, baginda bertemu dengan dua orang penggembala wanita yang menghadapi kesulitan untuk memberi minum kepada binatang ternakannya.

Kemudian, Nabi Musa berdoa dan memberikan bantuan kepada dua orang penggembala tersebut. Kebaikan Nabi Musa mendapat balasan dari ayah dua orang penggembala wanita tersebut dengan menumpangkan Nabi Musa yang sedang dalam pelarian.

5) Doa Nabi Musa untuk memohon petunjuk Allah

رَبِّ نَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
عَسَىٰ رَبِّي أَنْ يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ

Robbi najjinii minal-qoumizh-zhoolimin. Asaa robbiii ay yahdiyanii sawaaa as-sabiil

Maksudnya:

“Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari orang-orang yang zalim itu. Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar”.

(Surah AL-Qasas: 21-22)

Doa ini boleh diamalkan untuk meminta petunjuk dari Allah SWT ketika sedang menghadapi kesulitan dan ketika kita tidak tahu atau didalam dilema untuk membuat pilihan.

Nabi Musa memanjatkan doa ini ketika baginda dalam pelarian setelah peristiwa pembunuhan. Baginda meminta petunjuk daripada Allah SWT bagaimana harus melanjutkan perjalanan seterusnya.

Kredit gambar: firanda.com

Sebagai seorang muslim kita digalakkan untuk mengamalkan kebaikan dan sentiasa memohon doa dan berserah diri kepada Allah SWT dalam kehidupan seharian.

Ketika Nabi Musa menuturkan doa-doa untuk dipanjatkan kepada Allah SWT, Baginda sentiasa berada dalam keadaan yang memerlukan dan merendah diri. Maka Allah telah mengangkat cara doa Nabi Musa untuk dirakam dalam Quran untuk kita mempelajari sesuatu.

Sebagai hambaNya yang kerdil, peliharalah adab kita apabila berdepan dengan Allah Yang Maha Kaya lagi Maha Hebat. Berserah diri dan bersungguh sungguh memohon doa padaNya.

Semoga doa kita dipekenankan okehNya dan kita digolongkan dikalangan orang orang yang beriman dan diredhai Allah.


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.