KelabMama

Doa Nabi Ayub AS Ketika Menderita Sakit Kulit, Serta Doa Dari Rasulullah SAW

Selama 18 tahun menanggung derita sakit, Nabi Ayub AS tidak henti-henti berdoa agar diberikan kesembuhan penyakit yang dihadapi ketika itu. 

Mengambil hikmah dari peristiwa baginda yang diuji dengan penyakit kulit itu, Mama Siti kongsikan lima doa dari Nabi Ayub AS dan Nabi Muhammad SAW. 

Semoga doa-doa yang dipanjatkan diperkenankan Allah SWT. 

Doa Nabi Ayub AS

Kredit gambar: Tafsir Al Quran

#1 Doa Dari Al-Quran (Ketika Sakit Kulit) 

Surah Al-Anbiya ayat 83; 

وَأَيُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Anni masanniyad dhurru wa anta ar-hamar rahimin

Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihi daripada segala (yang lain) yang mengasihi.”

Doa Tambahan: Sunah dari Rasulullah SAW 

Kredit gambar: Kashoorga

#2 Doa Rasulullah Kepada Keluarganya  

 Diriwayatkan dari Aisyah RA;

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقْمًا

Allāhumma rabban nāsi, adzhibil ba’sa. Isyfi. Antas syāfi. Lā syāfiya illā anta syifā’an lā yughādiru saqaman.

Maksudnya: “Tuhanku, Tuhan manusia, hilangkanlah penyakit. Berikanlah kesembuhan kerana Engkau adalah penyembuh. Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecualiMu dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan”.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

#3 Dibacakan Untuk Orang Sakit 

Kredit gambar: Kosmo Digital

Abu Dawud dan At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menganjurkan baca doa ini sebanyak tujuh kali di hadapan orang yang sakit tidak kira jenis penyakitnya.

أَسْأَلُ اللهَ العَظِيْمَ رَبَ العَرْشِ العَظِيْمِ أَنْ يَشْفِيَك

As’alullāhal azhīma rabbal ‘arsyil ‘azhīmi an yasyfiyaka.

Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah yang agung, Tuhan arasy yang megah agar menyembuhkanmu,”

#4 Doa Rasulullah SAW Kepada Sahabat

Berikut ialah doa yang dibacakan baginda kepada sahabat bernama Sa‘ad bin Abi Waqqash ketika menjenguk beliau yang sedang sakit. 

Cara mengamalkan doa ini ialah dengan menggantikan nama Saad kepada nama orang yang sakit. Boleh juga diamalkan untuk diri sendiri.  

اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا، اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا، اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا

Allāhummasyfi Sa‘dan. Allāhummasyfi Sa‘dan. Allāhummasyfi Sa‘dan.

Maksudnya: “Tuhanku, sembuhkan Sa‘ad. Tuhanku, sembuhkan Sa‘ad. Tuhanku, sembuhkan Sa‘ad,”

Hadis riwayat Imam Muslim

#5 Doa Rasulullah SAW

Kredit gambar: AMUST

Doa ini dibacakan baginda ketika menziarahi seorang penduduk Arab Badwi yang sedang demam. Sebagaimana yang direkodkan dalam riwayat Imam Bukhari dan Ibnu Abbas RA. 

لَا بَأْسَ طَهُوْرٌ إِنْ شَاءَ الله

Lā ba’sa thahūrun insyā’allāhu.

Maksudnya: “(Semoga) tidak apa-apa (sakit), semoga suci dengan kehendak Allah,”

Hadis riwayat Imam Bukhari dari Ibnu Abbas RA.

Adab Ketika Ditimpa Musibah Penyakit

Hal-hal buruk yang menimpa diri kita boleh jadi sesuatu yang sangat baik disisi Allah SWT. oleh itu walaupun sedang sakit, kita masih perlu menjaga adab ketika ditimpa musibah. 

Perkara penting setiap muslim perlu lakukan ketika ditimpa musibah penyakit ialah bersangka baik dengan kejadian tersebut. 

“Tapi sakit saya ni buatkan saya tak dapat bekerja Mama Siti” 

Izinkan Mama Siti ingatkan tentang ilmu manusia itu terbatas tidak seperti pengetahuan Allah SWT yang melangkaui masa. 

Dalam masa yang sama, banyakkan memohon ampun terhadap ilahi kerana sesungguhnya antara sebab diturunkan penyakit kepada seseorang adalah sebagai kifarah atau penghapus dosa-dosa lalu. 

Tidak dilupakan untuk tidak berputus asa merawat diri sehingga benar-benar sembuh. Teruskan makan ubat doktor dan boleh juga berikhtiar melalui makanan; lebih-lebih lagi makanan sunah. 

Kredit gambar: godandidotblog

Amalan berdoa dengan doa Nabi Ayub AS ini wajar kita jadikan sebagai teladan untuk diri sendiri dan orang lain. Semoga dengan penyakit itu, kita bermuhasabah diri dan diampunkan dosa-dosa lampau.  


Dapatkan lebih banyak tips, cerita dan panduan keagamaan di SINI.