KelabMama

Menjemput Keberkatan Rezeki Dengan Rutin Doa Sebelum Mula Bekerja

Kerja ialah tuntutan umum kepada umat Islam. Hukumya berbeza-beza mengikut keadaan dan peranan seseorang. 

Selain kita bekerja kerana ingin meneruskan kehidupan, mencari nafkah juga salah satu dari cabang ibadah dan Allah memberikan kebaikan daripadanya.

“Sesungguhnya Allah menyukai hamba yang bekerja dan terampil. Siapa yang bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya maka ia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Hayatilah kisah yang diceritakan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid tentang Khalifah Saidina Umar Al-Khattab RA dengan seseorang yang asyik beriktikaf di masjid.

Tidak dinafikan dalam mencari rezeki yang halal, kita akan didatangkan dengan bermacam-macam jenis dugaan. Hanya kepada Allah lah kita memohon agar urusan pekerjaan dan perniagaan kita dipermudahkan..

Disebabkan itu, Mama Siti rasakan penting untuk kita amalkan doa sebelum mula kerja. Setakat ini, Mama Siti hanya senaraikan tiga doa sebelum bekerja. 

Kalau Mama jumpa doa-doa yang lain dengan makna yang baik, apa salahnya bacakan sekali.

Doa-Doa Sebelum Memulakan Pekerjaan dan Perniagaan

Doa-doa ini sebaiknya diamalkan setiap hari. Jadikan sebagai rutin setiap kali kita sampai di pejabat atau di tempat kerja. 

#1 Doa Mula Kerja

Kredit gambar: Freepik

اَللهُمَّ اغْفِرْلِى ذَنْبِيْ وَوَسِّعْ خُلُقِيْ وَطَيِّبْ لِيْ كَسَبِيْ وَقَنِّعْنِيْ بِمَا رَزَقْتَنِيْ وَلاَتَذْهَبْ قَلْبِيْ إِلَى شَيْئٍ صَرَّفْتَهُ عَنِّيْ

‘Allaahummaghfir lii zambi, wa wassi’ khuluqii, wa thayyib lii kasabii, wa qanni’nii bimaa razaqtanii, wa laa tadz-hab qalbii ilaa syai-in sharraftahu ‘annii’

Maksudnya:

“Ya Allah, ampunilah dosaku, perluaslah (muliakanlah) akhlakku, berilah untuk ku pekerjaan yang baik, jadikanlah aku puas menerima apapun yang Engkau kurniakan kepadaku dan janganlah Engkau buat hatiku mengingat apapun yang telah Engkau palingkan dariku.”

#2 Doa Mula Kerja

Kredit gambar: Freepik

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلىَ اللهِ وَاعْتَصَمْتُ بِااللهِ وَفَوَّضْتُ أَمْرِى إِلَى اللهِ حَسْبِىَ اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَةَإِلَّابِاللهِ اْلعَلِىِّ اْلعَظِيْمِ

Bismillaahi tawakkaltu ‘alallaahi wa tashamtu billaahi wa faw-wazhtu amri ilallaahi hasbiyallaahu wani’mal wakiilu walaa haula wallaa quwwata illaa billaahil ‘aliyyil ‘adhiim.

Maksudnya:

“Dengan nama Allah, aku mulai dan aku bertawakal kepada Allah, aku berpegang teguh kepada Allah, dan aku menyerahkan kepada Allah, cukup Allah tempatku berpegang dan bertawakal, tidak ada yang lebih kuat dan kuasa, hanya Allah yang Maha Tinggi dan Maha Esa.”

#3 Doa Mula Kerja

Kredit gambar: Freepik

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

‘Allahumma inni as aluka i’lman nafi’a, warizqon toiyyiba, wa amalan mutaqabbala’

“Ya Allah, sungguh aku memohon kepadaMu ilmu yang manfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima.”

(Hadis Riwayat Ibnu As-Sunni dan Ibnu Majah)

Kerja Yang Berkat

(Adab dan Integriti)

Paling penting sekali, jangan sesekali kita abaikan ibadah wajib kerana alasan sibuk bekerja. Contohnya, meninggalkan solat kerana bimbang tugasan tidak dapat diselesaikan dalam waktu yang ditetapkan. Contoh yang lain ialah tidak berpuasa kerana bekerja di bawah matahari terik. 

Kredit gambar: Freepik

Seterusnya, ketika bekerja kita hendaklah jujur dan amanah sebagaimana sifat Rasulullah SAW iaitu siddiq dan amanah. 

Apabila diberikan tanggungjawab, jalankan lah dengan jujur. Begitulah juga dengan amanah yang diberikan. Kita perlu menyelesaikan tugasan dengan intergriti dan dipercayai. 

Kredit gambar: Freepik

Perkara yang mungkin sesetengah dari kita memandang ringan ialah tentang masa. Waktu mula bekerja dan selesai waktu bekerja tidak boleh dipandang enteng. Soal masa mungkin menjadi asbab rezeki seseorang itu tidak berkat. 

Kredit gambar: Wan Fahmy Redzuan / Shutterstock.com

Kita disarankan untuk bekerja keras. Namun perkara yang perlu diperhatikan adalah supaya kita selalu mensyukuri rezeki yang diberikan. Keadaan ini sangat dekat terutamanya buat para peniaga.

Kredit gambar: Freepik

Akhir sekali, bertawakal. Sebagai pejuang nafkah buat diri sendiri dan ahli keluarga, tiada apa yang lebih kita harapkan selain bantuan dari Allah SWT.

Tawakal ialah keyakinan bahwa Allah akan mengurniakan rezeki di atas usaha yang telah dilakukan.

Umar al-Khattab RA berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh kalau kamu sekalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sungguh-sungguh, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.”  

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Kesimpulannya, 

Bekerja ialah suatu keperluan untuk meneruskan kehidupan. Tambahan pula ianya salah satu ibadah di sisi Allah. 

Oleh kerana alam pekerjaan penuh dengan dugaan yang tidak terjangkau, jadi rutin membaca doa sebelum mula kerja amat disarankan. 

Doa-doa yang Mama Siti senaraikan tadi sebaiknya diamalkan setiap kali hendak mula bekerja. Di samping itu, dalam kita mengharapkan kelancaran dalam urusan pekerjaan, janganlah pula mengabaikan adab dan integriti ketika bekerja. 

Kelima-lima adab yang Mama Siti kongsikan merangkumi tentang ibadah, kejujuran, kesyukuran, masa dan tawakkal kepada Allah SWT. 

Semoga artikel kali ini dapat dijadikan panduan buat Mama dan Papa yang gigih mencari rezeki buat ahli keluarga. Insya allah jika kita bekerja dengan baik dan mendahulukan tuhan, Allah akan memudahkan banyak hal dalam kehidupan. 

Mama Siti doakan agar Mama dan Papa terus diberikan kekuatan menyara keluarga tercinta. 


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.