KelabMama

“Alamak, lupa nak baca doa makan!” Mama Boleh Bacakan Doa Ringkas Ini

“Mama! Tadi cikgu kata doa makan boleh baca bila dapat mainan juga. Betul ke Mama? “ 

Kalau Mama berada dalam situasi tersebut, agak-agak nak balas apa dekat anak? Adakah Mama akan kata cikgu salah atau Mama akan meminta sedikit waktu dan kembali memberikan jawapan? 

Sebenarnya ada benar kata-kata si anak tadi. Doa sebelum makan yang kebiasaannya kita amalkan boleh dibaca dalam keadaan lain juga. Contohnya apabila Mama sedang mencari parkir kereta. Mama Siti teringat perkongsian Fedtri Yahya di Facebook miliknya lama dahulu tentang pengalaman beliau mudah mendapatkan tempat letak kereta setiap kali membaca doa ini. 

اَللّٰهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

‘Allahumma barik lanaa fiimaa razatanaa waqinaa ‘adzaa bannar’

“Ya Allah, berkatilah rezeki yang Engkau berikan kepada kami dan lindungilah kami dari azab api neraka.”

Di laman Twitter @_alhusnaasma ada memberitahu bahawa doa tersebut adalah untuk kita memohon keberkatan atas rezeki dan juga supaya dijauhkan dari azab api neraka. Ia tidak terhad kepada rezeki makanan sahaja kerana sebarang bentuk kemudahan dan kesenangan juga hendaklah kita mohon agar ia dapat memberikan manfaat kepada diri dan orang lain. 

DOA KETIKA HENDAK MAKAN 

Berdasarkan riwayat hadis yang sahih, doa makan yang betul cukup sekadar menyebut nama Allah iaitu dengan lafaz 

بسم الله

‘Bismillah’

“Dengan nama Allah.”

Daripada Umar bin Abi Salamah katanya:

“Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Rasulullah SAW tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Dalam riwayat lain pula ada menyebut tentang hal yang sama.

Daripada Aishah RA katanya:

“Rasulullah SAW menghadapi hidangan bersama 6 orang sahabat Baginda, tiba-tiba datang seorang Arab (badwi) lalu makan makanan tersebut dengan 2 kali suapan sahaja. Lalu Baginda bersabda, “Sekiranya orang itu membaca Bismillah sebelum ia makan nescaya makanan itu mencukupi untuk semua (ada keberkatannya pada makanan tersebut)” [Hadith Riwayat At-Tirmizi]

ADAB KETIKA MAKAN DAN MINUM

Secara tak langsung, dalam hadis di atas juga ada menceritakan tentang amalan sunnah ketika makan dan minum. Untuk melengkapkan lagi adab menikmati juadah, Mama Siti tambahkan juga beberapa tips untuk Mama sekalian.

ADAB SEBELUM MAKAN

Tips #1 Menggunakan tangan kanan

Rasulullah SAW berkata, “Apabila kamu hendak makan, hendaklah makan dengan tangan kanan, dan apabila hendak minum, minumlah dengan tangan kanan, kerana syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri.” (Hadis direkodkan oleh Muslim)

Tips #2 Ambil makanan yang hampir

Tips #3 Membaca Bismillah

Tips #4 Berpada-pada ketika makan. Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang

Tips #5 Tidak mencela makanan

Abu Hurairah RA berkata, “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun mencela makanan. Sekiranya baginda berselera, baginda makan, dan sekiranya baginda tidak suka, baginda tinggalkannya. (Hadis direkodkan oleh Abu Daud).

Jika ada ketika kita dihidangkan dengan makanan yang tak kena dengan selera, janganlah kita mencaci makanan tersebut. Jika keadaan memerlukan kita memberikan maklum balas tentang hidangan tadi, katakan dengan baik dan secara terhormat.

Alamak, terlupa baca doa makan!

Mama pernah lalui perkara macam ni? Mama Siti pun pernah. Sudah makan setengah pinggan, dah separuh gelas minum, baru teringat tadi belum baca doa. Aduhai, macam mana ni?

Jangan khuatir, sebab kalau kita lupa baca doa sebelum makan pun, kita masih boleh berdoa dengan ayat yang lain seperti ini. 

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia menyebutkan nama Allah SWT. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah SWT pada awalnya, hendaklah dia mengucapkan:

بِسْمِ اللّٰهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

‘Bismillahi awwalu wa akhirahu’

“Dengan nama Allah pada setiap permulaannya dan pengakhirannya.” [HR Abu Dawud]

Agama kita cukup sempurna dan sentiasa tenang dalam menghadapi sesuatu. Jika kita ada melakukan kekhilafan, beberapa kemudahan boleh diberikan. Namun ianya juga bergantung pada keadaan. Dalam ilmu yang kita tidak mahir, eloklah jika kita bertanyakan kepada yang sepatutnya seperti para alim ulama. 

ADAB SELEPAS MAKAN

Kerana Islam itu agama yang syumul iaitu bersifat menyeluruh, jadi elok kalau kita meneruskan nilai ajaran agama selepas makan pula. Kita boleh mulakan dengan satu sunnah dahulu, apabila sudah terbiasa, barulah tambahkan amalan lain pula. Ini kerana menjadi istiqamah itu lebih baik dan dituntut agama. 

Dari Aisyah RA bahawa pada suatu malam Nabi SAW mengambil tikar yang diperbuat daripada pelepah dan daun tamar untuk dijadikan dinding tempat baginda bersolat di waktu malam dan di waktu siang, baginda menghamparkan tikar daun tamar itu dan duduk di atasnya, orangpun datang berkumpul kepada Rasulullah lalu solat sepertinya sehingga ramai yang mengikutinya, Rasulullah datang dan menemui mereka lalu bersabda: “Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian merasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit.” [HR Bukhari]

Tips #1 Mengucapkan syukur

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِيْنَ

‘Alhamdulillaahil ladzii ath’amanaa wa saqoonaa wa ja’alnaa muslimiin’

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum serta menjadikan kami di kalangan orang islam.”

Ini adalah berdasarkan riwayat sahih dari Anas Bin Malik r.a. katanya, Nabi SAW bersabda; “Allah sangat suka kepada hambaNya yang mengucapkan tahmid (Alhamdulillah) sesudah makan dan minum.” [HR. Muslim]

Tips  #2 Membasuh tangan hingga bersih

Tips #3 Membersihkan tempat makan

Tips #4 Menjilat jari dengan sopan

Sabda Rasulullah SAW, “Apabila seseorang daripada kalian makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana dia tidak tahu di bahagian jari manakah keberkatan itu berada.” [HR Muslim]

Bukan sekadar ikutan semata, amalan ini telah diperakui oleh kajian sains. Di jari manusia itu sendiri terdapat enzim RNase. Enzim ini membantu metabolisme badan dan nanti akan memudahkan proses pencernaan.

Doa makan tidak perlu panjang tetapi memadai dengan sebutan ringkas sahaja. Sama juga apabila sudah selesai makan, kita hanya perlu membaca alhamdulillah. Seperti yang Mama Siti nyatakan diatas, kalau mahu memulakan sesuatu sunnah, bersederhanalah. Sikap tamak dan tergesa-gesa itu selalunya mendatangkan keburukan. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk Mama sekalian.