KelabMama

Doa Akhir Tahun Dan Doa Awal Tahun Serta Hukum Membacanya

Kredit gambar: istockphoto

Amalan bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun telah menjadi satu kebiasaan umat Islam. Setiap kali nak masuk 1 Muharram, orang Islam akan bersedia apabila masuknya waktu Asar hari terakhir bulan Zulhijjah untuk berdoa dengan doa akhir tahun.

Bila dah masuk waktu Maghrib, doa diteruskan dengan bacaan doa awal tahun pula. Harapannya adalah untuk mendapatkan redha dan perlindungan Allah S.W.T. Moga-moga tahun itu akan diberkahi dengan limpah rahmat dan kasih sayangNya.

Hukum Bacaan Doa Akhir Tahun Dan Doa Awal Tahun

Walaupun ia telah menjadi satu amalan, masih ramai yang keliru dan mempersoalkan kebaikan dan hukumnya.

Terdapat beberapa soalan berkaitan dengan hukum amalan bacaan doa akhir dan doa awal tahun yang telah ditanyakan kepada Jabatan Mufti Negeri Perak:

Soalan:

Apakah pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak berhubung sambutan Maal Hijrah yang dilaksanakan dengan bacaan doa akhir tahun dan disusuli selepas itu dengan doa awal tahun sepertimana yang diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia pada masa ini?

Jawapan:

Jabatan Mufti Negeri Perak setelah meneliti pelbagai pendapat, maka berpandangan bahawa kendatipun amalan seumpama ini tidak diamalkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat mahupun golongan Tabi‘in, namun ia merupakan amalan yang mempunyai tujuan kebaikan serta mendatangkan maslahah terhadap umat Islam. Bagi menjelaskan pandangan ini, terdapat kaedah fiqh yang menyebutkan:
Bermaksud: “Al-Tark tidak menatijahkan hukum (sama ada makruh atau haram).”
Bermaksud: “Al-Tark tidak semestinya menunjukkan keharamannya.”
Oleh itu, dapat difahami bahawa mana-mana amalan sama ada yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW atau yang tidak pernah diamalkan oleh Baginda SAW secara mutlak selama mana tiada qarinah pengharamannya, maka tidak diertikan sebagai perkara yang haram atau makruh serta termasuk dalam amalan bid‘ah yang sesat. Sekiranya sesuatu amalan itu memberikan maksud kebaikan atau manfaat yang boleh diambil oleh umat Islam, maka ia termasuk dalam nas umum al-Quran yang menggalakkan berbuat kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 77:
Bermaksud: “Serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Soalan:

Apakah pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak berkenaan amalan tradisi yang diamalkan oleh umat Islam di Negeri Perak khususnya seperti doa awal dan akhir tahun?

Jawapan:

Berkenaan amalan yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia apabila menyambut tahun baru Hijrah, maka terdapat doa-doa yang dibacakan oleh para imam menjelang masuknya waktu Maghrib iaitu doa akhir tahun dan disusuli dengan doa awal tahun selepas alunan azan. Menurut catatan daripada Dar al-Ifta’ al-Misriyyah bahawa doa-doa ini sebenarnya telah pun diamalkan oleh segolongan ulama dari aliran mazhab Hanbali lebih kurang 1000 tahun yang lalu. Malah, mereka turut mengajarkan doa-doa tersebut serta mewasiatkannya kepada para ulama yang sealiran dengan mereka yang antaranya termasuklah al-Syeikh al-Imam al-Waliyy al-Soleh Abu ‘Umar al-Maqdisiyy Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah al-Hanbaliyy yang juga merupakan saudara kandung kepada al-Imam al-‘Allamah al-Muwaffiq bin Qudamah, pengarang kitab al-Mughniyy dalam mazhab Hanbali.

Dengan penjelasan yang jelas terhadap pertanyaan-pertanyaan berkenaan hukum amalan bacaan doa akhir dan awal tahun ini, Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengakhirinya dengan pandangan:

Selama mana tiada dalil khusus yang mengharamkannya, maka kekal keharusannya untuk dilaksanakan.

Doa Akhir Tahun Dan Doa Awal Tahun

Berikut adalah doa akhir tahun dan doa awal tahun yang dipetik daripada Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Doa Akhir Tahun:

Kredit gambar: muftins.gov.my/wp-content/uploads/2020/08/Risalah-hijriyyah.pdf

Maksudnya: Ya Allah, apa-apa tegahan dan larangan-Mu yang kami lakukan sepanjang tahun ini dan kami belum bertaubat daripadanya sedangkan Engkau tidak lupa dan tidak meredhainya, Engkau juga telah berlemah-lembut kepada kami sedangkan Engkau berkuasa memaksa kami bertaubat daripada perbuatan maksiat yang sengaja kami lakukan, maka sesungguhnya kami memohon keampunan-Mu. Apa-apa perbuatan kami sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dengan pemberian pahala yang Engkau janjikan, maka dengan kemuliaan dan kebesaran-Mu, kami memohon dan berharap menerimanya, dan janganlah Engkau hampakan harapan kami kepada-Mu. Amin ya Rabbal ‘alamin.

Doa Awal Tahun:

Kredit gambar: muftins.gov.my/wp-content/uploads/2020/08/Risalah-hijriyyah.pdf

Maksudnya: Ya Allah Yang Kekal Abadi, dengan limpah kurnia dan kemurahan-Mu pada tahun baharu yang menjelang tiba ini, kami memohon pemeliharaan dan perlindunganMu daripada syaitan yang direjam dan semua pengikut serta pembantu-pembantunya. Kami memohon pertolongan-Mu mengatasi nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan, dan bantulah kami melakukan segala perkara yang memungkinkan kami mendampingi-Mu. Ya Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa mengubah segala keadaan, dengan kekuasaan-Mu Yang Maha Agung, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan. Amin ya Rabbal ‘alamin.

Jika nak berdoa untuk diri sendiri, bolehlah baca doa akhir dan awal tahun daripada Jakim ini ya:

Kredit gambar: https://twitter.com/MyJAKIM
Kredit gambar: https://twitter.com/MyJAKIM

Moga Tahun Baru Yang Mendatang Membawa Beribu Keberkahan

Antara amalan yang baik selain daripada berdoa ketika masuknya tahun baru hijrah adalah berazam untuk berubah ke arah yang lebih baik iaitu meninggalkan segala larangan Allah dan mentaati segala perintahNya.

Moga tahun baru yang mendatang membawa beribu keberkahan dari Ilahi.