KelabMama

DILEMA MEMILIH HOSPITAL BERSALIN?

Bila disahkan mengandung, banyak perkara yang akan difikirkan oleh bakal ibu. Antara yang menjadi fokus utama ibu mengandung termasuklah lokasi bersalin. Perkara ini seringkali menjadi satu dilema kepada para ibu. Begitu juga ketika pemeriksaan bulanan diklinik, jururawat atau doktor pasti ingin mengetahui jawapan dimana lokasi anda ingin melahirkan anak kelak. Maka, mahu tidak mahu anda perlu ada jawapan itu, meskipun anda sendiri tidak pasti dimana ingin melahirkan anak. Jangan risau, anda boleh lihat kriteria di bawah pasti membantu anda membuat keputusan.

 

Bajet
Bukan semua wanita yang bekerja mempunyai perlindungan insurans atau majikan yang membayar kos rawatan bersalin. Jadi, anda perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan bersalin. Kita sedia maklum tentang kos bersalin yang mencecah ribuan ringgit sekiranya memilih bersalin di hospital swasta. Sebenarnya tidak salah untuk memilih perkhidmatan di hospital swasta jika anda mempunyai peruntukan bajet yang berlebihan. Bagaimanapun pastikan, anda mendapatkan maklumat lengkap mengenai pakej bersalin di hospital yang dipilih.

 

Lokasi
Lokasi hospital terbaik seharusnya berhampiran dengan kediaman anda. Pastikan lokasi bersalin pilihan tidak terletak di kawasan yang terkenal sesak. Ini kerana jika berlaku komplikasi atau kecemasan, anda boleh segera sampai ke hospital tanpa halangan.

Sejarah kesihatan
Pemilihan tempat bersalin berkait rapat dengan faktor kesihatan anda sendiri dan kandungan juga. Sekiranya anda tergolong dalam kategori ibu hamil berisiko, lebih baik pilih hospital yang berpengalaman, mempunyai kemudahan dan peralatan perubatan lengkap agar tidak timbul masalah sepanjang proses bersalin kelak.

Kemudahan
Kemudahan utama yang mesti ada di hospital bersalin termasuklah wad bersalin, bilik bayi, unit rawatan rapi untuk ibu dan bayi, peralatan perubatan jika berlaku saat kecemasan. Selain itu periksa juga sama ada hospital ada atau tidak kemudahan rawatan dan alat sokongan yang lengkap jika bayi dilahirkan pramatang atau lemas sewaktu bersalin. Begitu juga dengan bank darah dan perkhidmatan doktor pakar bius bila-bila masa diperlukan. Aspek ini penting kerana kita tidak menjangkakan apa jua komplikasi yang mungkin berlaku.

Kepakaran doktor & Kakitangan Terlatih
Ini kriteria penting yang mesti diberi perhatian! Pastikan anda tahu tentang keupayaan doktor pakar di hopital pilihan. Doktor yang bertugas seharusnya mempunyai kepakaran yang diiktiraf. Aspek ini penting dititikberatkan agar dia mampu mengendalikan proses kelahiran dengan segera jika bayi yang dikandung berhadapan dengan komplikasi tidak dijangka. Pastikan jururawat atau pembantu doktor di hospital pilihan adalah terlatih dan mempunyai sijil kerana mereka dapat berbuat sesuatu jika berlaku kecemasan semasa ketiadaan doktor.

 

Prosedur
Perlu diketahui juga sama ada hospital pilihan anda membenarkan suami menemankan isteri di bilik bersalin atau tidak. Ia amat penting suami berada di sisi isteri sepanjang proses bersalin. Jika boleh pilihlah hospital yang memberi keizinan tersebut.

Hospital Rakan Bayi
Sebaiknya pilihlah Hospital Rakan Bayi (HRB). Ia adalah hospital yang menyokong dan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk penyusuan susu ibu.