KelabMama

Difteria Mengancam Nyawa | 5 Lagi Kanak-kanak Positif Difteria di Johor

difteria

Kecoh baru-baru ini mengenai seorang kanak-kanak berumur 2 tahun 1 bulan meninggal dunia akibat Difteria. Difahamkan, kejadian yang berlaku di Johor Bahru pada 21 Februari 2019 lepas adalah kerana kanak-kanak terbabit tidak pernah mendapatkan sebarang imunisasi sejak lahir. Terbaru, 5 lagi kanak-kanak di Johor turut positif dijangkiti difteria; yang mana salah seorangnya merupakan kakak kepada kanak-kanak yang telah meninggal dunia berkenaan. Allahu

5 lagi kanak-kanak positif difteria termasuk kakak kepada mangsa, telah dimasukkan di wad berasingan di Hospital Sultanah Aminah, Johor.
Sumber: Bernama

5 Kanak-kanak Pernah Berhubungan/Bertemu Mangsa 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal  ketika sidang media bersama Harian Metro berkata, kesemua 5 orang kanak-kanak berusia bawah 4 tahun itu pernah berhubungan atau bertemu mangsa. Mereka  juga merupakan antara 52 orang yang dikesan hasil saringan dilakukan Jabatan Kesihatan Johor.

“Mereka semua dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam untuk pengasingan wad selepas mempunyai simptom penyakit berkenaan,”

Dr Sahruddin Jamal

Semua kanak-kanak terbabit telah diberikan rawatan antibiotik selama 14 hari. Sekiranya pemberian ubat itu berkesan, 3 pesakit (dua kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki) akan dibenarkan keluar wad dan pulang ke rumah. Namun, dua lagi pesakit iaitu kakak kepada pesakit yang telah meninggal dunia dan seorang lagi kanak-kanak lelaki masih dikuarantin. 

“Ini kerana semua kanak-kanak itu sudah mendapatkan rawatan sejak 19 Februari lalu, (dan) selepas lebih 48 jam dirawat, penyakit itu tidak aktif kepada populasi,”

Dr Sahruddin Jamal

Difahamkan juga, 4 daripada kanak-kanak tersebut telah divaksin, kecuali kakak kepada kanak-kanak yang telah meninggal dunia. 

Kronologi Kanak-kanak Meninggal Dunia Akibat Difteria

Menurut kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kanak-kanak tersebut mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari 2019. Kemudiannya pada 18 Februari, kes telah dibawa ke unit kecemasan hospital dalam keadaan lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria. Ujar beliau lagi, 

“Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari 2019 dengan sebab kematian Severe Diphtheria with multiorgan failure. Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria.”

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Tahukah Mama bahawa pada tahun 2018 sahaja, terdapat sebanyak 18 kes dengan lima (5) kematian dilaporkan di Malaysia di mana empat (4) daripada lima (5) kematian ini tiada menerima imunisasi! Kesemua kematian difteria bagi tahun 2018 melibatkan kanak-kanak di bawah 10 tahun.

Apa itu Difteria?

Untuk pengetahuan Mama, penyakit difteria boleh tersebar melalui air liur dan peluh yang mempunyai hubungan secara langsung dengan pesakit. Menurut Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, penyakit ini adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis (infeksi pada jantung).

Bahayanya difteria ini, jika tidak dirawat dengan segera, ianya boleh menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut.

Simptom-simptom Difteria

Kenapa Pentingnya Imunisasi?

Pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai terutamanya ibu bapa agar MENGAMBIL vaksin mengikut jadual, untuk anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Pengambilan imunisasi merupakan cara terbaik untuk mencegah pelbagai penyakit dengan berkesan dan selamat. Jika Mama masih ragu-ragu untuk memberikan imunisasi pada anak-anak, Mama harus tahu bahawa ianya akan mendedahkan anak Mama kepada jangkitan kuman serta membahayakan nyawa kanak-kanak yang lain.