KelabMama

BAGAIMANA UNTUK DIDIK ANAK-ANAK ZAMAN MILENIAL DENGAN BERKESAN?

Anak-anak muda zaman sekarang dan yang bakal lahir tu dikategorikan dalam Generasi Milenial dan Generasi Z. Mereka disebut sebagai generasi Milenial kerana telah melepasi generasi Y sejak pertama kali teori ini dikemukakan oleh Karl Mannheim pada 1923. Secara ringkas, anak-anak milenial ini dilahirkan pada zaman teknologi yang maju dan semakin berkembang pesat – zaman internet, zaman smartphone dan semuanya hanya dihujung jari sahaja.

Nak ajar anak-anak sekarang pun jadi lebih sukar berbanding zaman kita dahulu bukan? Mama boleh cuba tips dibawah agar anak-anak menjadi lebih berdisiplin dan dihormati. Tapi, bukan anak-anak je tau yang perlu diajar. Ibu Bapa pun harus belajar cara yang betul sebelum anak-anak dididik dengan betul 😉

Sikap-sikap yang harus dimiliki Ibu Bapa

  1. Jadi contoh yang terbaik untuk anak-anak, baik dalam hal pekerjaan, perhubungan, pembelajaran dan sebagainya.
  2. Ibu bapa harus sentiasa berusaha untuk menyimbangkan masa bekerja serta aktiviti bersama keluarga.
  3. Didik anak-anak dengan menggunakan cara pembelajaran yang berunsur kesan emosi yang positif, penggunaan kata-kata yang baik dan bukannya kekerasan atau makian.
  4. Sentiasa tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak dalam bentuk fizikal seperti peluk, cium, sentuhan lembut di kepala dan lain-lain.
  5. Ibu bapa harus sentiasa cuba untuk berkomunikasi secara positif agar anak-anak merasa dihargai, difahami dan sentiasa disayangi.
  6. Ibu bapa harus memahami dan melakukan kedua-dua fardhu kifayah dan fardhu ain, kemudian memberi tunjuk ajar kepada anak-anak.
  7. Yang paling best, jadi ibu bapa yang ‘sporting’ atau ‘playful’ dengan mengetahui aktiviti kesukaan anak-anak, hobinya, dan apa sahaja yang mereka minat. Barulah anak-anak rasa lagi seronok nak luangkan masa bersama keluarga berbanding gajet mereka!

Itu sikap yang harus diterapkan dalam ibu bapa. Di bawah ini pula merupakan sikap-sikap yang harus diajar kepada anak-anak.

Sikap yang harus diajarkan kepada anak-anak Milenial:

  1. Tanamkan nilai-nilai positif dalam anak-anak dengan berusaha untuk mengubah cara mereka berfikir secara kreatif dan kritis.
  2. Hargai setiap idea dan pendapat anak-anak. Kadang-kadang ada betul juga apa yang mereka katakan itu. Walaupun kita mungkin lebih ‘makan garam’ daripada mereka, tapi ada perkara yang tidak sama seperti semasa zaman kita. Jadi, cuba dengar pendapat anak-anak ya.
  3. Latih anak-anak supaya bersikap terbuka dan berkeyakinan tinggi sejak mereka kecil. Mereka akan mudah untuk berhadapan dengan orang dan lebih berdikari apabila sudah besar nanti.
  4. Ajar anak-anak untuk memikirkan keputusan dan tindakan yang harus dilakukan agar mereka memahami rasa tanggungjawab.
  5. Terapkan nilai-nilai moral dan keagamaan dalam anak-anak sebagai rutin harian.
  6. Bantu dan berikan sokongan pada minat dan bakat anak-anak. Jika minat mereka itu bukanlah sesuatu yang positif, jangan terus halang mereka. Tetapi, cuba dedahkan mereka dengan minat yang lebih positif dan memberi kebaikan kepada dirinya dan juga keluarga.
  7. Ajar anak-anak untuk menghargai diri sendiri, orang sekeliling dan mereka yang dihormati.
  8. Untuk hal penggunaan gajet, apa kata Mama dan Papa cuba berbincang dengan anak-anak. Bincangkan mengenai tempoh masa penggunaan, laman web yang sesuai, dan etika yang betul di laman sesawang. Pastikan bahawa anak-anak faham dan anda sendiri harus tegas mengenai hal ini.
  9. Ajar anak-anak apa yang boleh dan tidak boleh untuk dikongsikan di media sosial, seperti data peribadi, foto-foto peribadi, masalah keluarga dan sebagainya.
  10. Jika perlu, tetapkan aplikasi apa yang boleh digunakan untuk anak-anak sahaja dan tukar ‘setting’ supaya anak-anak tidak dapat akses ke perkara-perkara negatif.

Walaupun keadaan mungkin menjadi sukar dari hari ke hari, Mama jangan cepat mengalah ya. Teruskan mencuba untuk mendidik anak-anak menjadi seorang yang positif, soleh/solehah dan berguna di masa hadapan. Mama boleh!Â