KelabMama

Tips Didik Anak Memilih Kawan Yang Betul, Agar Tidak Terjebak Dengan Pengaruh Negatif

‘Berkawan biar beribu, bercinta biar satu’. Betul ke begitu? Awas Mama Papa, tidak semua situasi sesuai untuk digunakan perumpamaan ini.

Terutama bagi isu memilih rakan dalam kalangan anak-anak. Mama Siti lebih gemar menggunakan peribahasa Inggeris berbunyi ‘if you lie down with dogs, you will get up with fleas’.

Ya, isu berkawan bagi anak-anak bukan hal yang boleh dipandang remeh. Silap memilih kawan, boleh rosak masa depan anak kita.

Justeru, itulah pentingnya Mama dan Papa untuk meneliti sikap dan personaliti kawan-kawan mereka bagi memastikan generasi anda tidak terjebak dengan perkara buruk.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman, ketika diwawancara akhbar Kosmo berkata, kemenjadian seseorang anak muda amat berkait rapat dengan siapa yang ada di sekeliling mereka.

Katanya, kebiasaan anak-anak muda terutama pelajar sekolah dan remaja lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan seusia dan berkongsi apa sahaja sesama mereka.

Seseorang anak muda itu tidak kira pelajar mahupun sebaliknya, mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan sebaya berbanding keluarga sendiri.

Namun, bagaimana kaedah terbaik untuk memastikan anak-anak kita berkawan dengan individu positif dan pada masa sama membendung mereka daripada terjebak dengan pengaruh rakan yang negatif? Jom baca perkongsian tips daripada Mama Siti!

#Sentiasa Mengingatkan Anak-anak

Jangan pernah jemu untuk sentiasa ingatkan anak-anak agar memilih rakan yang baik. Mama dan Papa mungkin boleh mula beri nasihat tentang kepentingan memilih kawan yang baik sejak usia anak-anak memasuki alam persekolahan.

Bagi pendapat Mama Siti, anda dah boleh bagi peringatan tentang hal ini sebaik anak-anak mulai memasuki sekolah rendah kerana ketika itu mereka mula faham sikap perbezaan sikap manusia di sekelilingnya.

Jika beri nasihat terlalu awal ketika mereka di taska dan sebagainya, anak-anak masa itu masih dalam fasa belajar berkawan.

Mereka tak akan tahu tentang kepentingan persahabatan kerana kebergantungan anak-anak masih tinggi pada ibu bapa.

Kalau nak beri nasihat terlalu awal pun tak ada salahnya, cuma penerangan Mama dan Papa berkaitan memilih kawan ini perlu seringkas yang boleh untuk anak-anak faham dan terima nasihat itu.

Namun, apabila melangkah ke sekolah rendah, hal ini perlu diberikan perhatian serius sebab anak-anak mulai rasa kebergantungan hidup dengan rakan baik setiap kali berada di sekolah.

Ketika ini, kalau kawannya ajar benda tak elok, kita akan dapati anak-anak tak berani nak menolak atau adukan pada guru.

Masa inilah peranan Mama dan Papa sangat besar untuk pastikan anak tak terjebak. Sentiasa ingatkan anak mengenai persahabatan, supaya dia faham siapa yang patut dijadikan kawan baik dan siapa sebaliknya.

#Tunjukkan Kesannya Jika Silap Memilih Kawan

Usaha Mama dan Papa memberikan nasihat sejak di sekolah rendah bagaimanapun jangan terhenti setakat itu. Teruskan menasihati mereka sehingga ke alam dewasa sekalipun.

Namun kaedah nasihat haruslah berbeza ikut kesesuaian umur. Apabila anak-anak dah mula tahu bagaimana membezakan rakan yang baik dan buruk, Mama dan Papa ambil peluang untuk tunjukkan pada mereka kesan sekiranya salah memilih rakan.

Ambil contoh yang disiarkan dalam laporan televisyen atau isu semasa yang berlaku di sekeliling anda untuk dijadikan pengajaran kepada anak-anak.

Contoh jika paparan berita tentang individu positif dadah dihukum ke tali gantung, masa ini Mama dan Papa ambil kesempatan untuk terangkan pada anak-anak bahaya jika salah memilih rakan yang mana mereka juga boleh terjebak dengan pengambilan najis dadah itu.

Sentiasa ingatkan mereka bahawa tidak perlu takut untuk memutuskan kawan yang beri pengaruh buruk dalam hidup kerana kesannya lebih bahaya jika anak-anak kita terjerumus.

#Kerap Bertanyakan Anak-anak Perihal Rakan Mereka

Ini antara point penting ya Mama Papa! Selain menasihati dan memberitahu kesan daripada pengaruh rakan yang buruk, Mama Papa jangan lupa untuk sentiasa ambil tahu dengan siapa anak-anak anda berkawan.

Kerap berbual dengan mereka sambil bertanya perjalanan hari mereka pada ketika itu. Mesti anak-anak akan cerita dan sebut nama rakannya yang sama-sama berada dengannya.

Mama dan Papa tanyakan lebih lanjut tentang latar belakang rakannya, sikap individu itu dan sebagainya. Pendek kata, pastikan anak-anak juga tahu mengenai perkara asas tentang rakannya itu.

Mama Papa perlu terangkan kepada anak-anak bahawa anda sedia mendengar kisah rakan baik mereka. Walaupun kelihatan remeh, namun ia penting ya?

Selain mengeratkan bonding kekeluargaan, ini juga untuk memastikan jika sesuatu yang buruk berlaku, Mama Papa tahu dimana nak cari kawan-kawannya terlebih dahulu.

#Beritahu Mereka Ciri-ciri Rakan Yang Perlu Dielakkan

Selain memberikan nasihat, Mama Papa harus senaraikan contoh sikap rakan yang perlu dielakkan. Terangkan kepada mereka mengapa sikap sedemikian tidak wajar diikuti supaya anak-anak faham dengan tindakan ibu bapanya yang sentiasa mengambil berat.

#Pastikan Hubungan Anda dan Anak Sentiasa Harmoni

Ini point paling utama dalam memastikan anak-anak tidak mudah terjebak dengan rakan yang memberi pengaruh buruk.

Mama Papa perlu pastikan hubungan anda dan anak-anak sentiasa harmoni dan penuh dengan kasih sayang tak kira berapa pun usia mereka.

Buatkan anak-anak menganggap anda seperti rakan baik yang mana ketika gembira atau sedih, Mama Papa adalah orang pertama yang mereka akan kongsi terlebih dahulu.

Anda perlu sentiasa ingatkan anak-anak agar sayangi ibu bapanya dengan tidak membuat sesuatu yang memalukan parents mereka.

Pesan pada anak-anak bahawa kalau nak buat sesuatu yang buruk, ingatlah wajah ibu bapa yang berusaha memberi didikan dan kasih sayang terbaik untuk mereka.

Fikir buruk dan baik atas setiap tindakan dan yang paling utama, ingatlah kepada agama dan kedua orang tua sebelum melakukan sebarang perkara.

Harus sentiasa beritahu anak-anak bahawa anda sangat menyayangi mereka dan jangan sia-siakan hidupnya kerana terikut kawan.

Bila bonding ibu bapa dan anak-anak utuh, sekurang-kurangnya mereka akan sentiasa merasakan nasihat Mama dan Papa itu sangat dekat dalam hati mereka.

Dan akhir sekali, Mama dan Papa jangan pernah putus untuk mendoakan kebaikan anak-anak anda tak kira dimana pun mereka berada. Semoga tips dari Mama Siti ini memberikan manfaat.


Dapatkan tips keibubapaan untuk menambahkan ilmu Mama Papa di SINI.