KelabMama

12 Dekorasi Bilik Air Yang Moden, Eksklusif & Terkini

Hiasan dalam bilik air memerlukan kebijaksaan dalam susun atur, pemilihan warna serta perkakasnya. Pertama sekali, Mama perlu buat keputusan dekorasi yang bagaimanakah yang paling Mama sukai. Kemudian, barulah kita boleh mula menghias.

Setiap dekorasi bilik air ada ciri-ciri tertentu yang memberikan keunikan setiap satunya. Ciri-ciri yang membezakan nilai estetik bilik air termasuklah dengan tekstur dinding, bahan perkakasan dan gabungan warna-warnanya.

Juga, ketahui lima tips dekorasi bilik air sebagai panduan Mama menghias bilik air idaman di masa hadapan yang Mama Siti kongsikan pada bahagian akhir artikel ini. Ayuh kita lihat idea dekorasi bilik air terkini yang eksklusif dan mewah.

12 Dekorasi Bilik Air Terkini

#1 Moden

Kredit gambar: Pinterest

Bilik air yang moden mengetengahkan elemen elegan dan anggun. Penggunaan warnanya dikekalkan pada kadar minimum. Tambahan pula, dekorasi bilik air moden dilengkapi dengan gajet seperti paip sensor dan pancuran air panas. 

#2 Retro

Kredit gambar: Red Magazine

Bilik air yang diinspirasikan dari tema retro mempunyai gabungan warna pop beserta dengan lekapan (fixture) klasik. Dekorasi bilik air retro tidak lengkap tanpa bahagian permukaan lantai dan singki bercorak. 

Bagi menaikkan nilai vintaj, warna yang dicadangkan ialah dari kelompok warna-warna pastel seperti biru dan merah jambu.

#3 Terrazzo

Kredit gambar: Qanvast

Dekorasi bilik air terrazo pada asalnya hanya terkenal di eropah. Terrazzo ialah permukaan komposit yang dihasilkan daripada serpihan batu marmar dan batu agregat ke dalam simen. 

Selalunya hiasan terrazo akan diletakkan di dinding atau di lantai sama ada di sesetengah bahagian atau keseluruhan ruangan.

#4 Gaya Industri (Industrial style)

Kredit gambar: Atap.co

Kunci untuk mendapatkan bilik air gaya industri adalah dengan menggabungkan perkakasan bilik mandi dengan bahan yang kuat dan tahan lasak. Contohnya dengan memilih lekapan (fixture) logam, dinding batu-bata serta ruang lantai yang terbuka. 

Cetusan idea boleh bermula dengan rak tuala yang diperbuat daripada keluli ditambah dengan kemasan berwarna emas. 

#5 Tropika Mewah (Luxurious tropical)

Kredit gambar: Pinterest

Pencinta alam semula jadi pasti sukakan dekorasi bilik air yang satu ini. Dekorasi bilik air tropika mewah berjaya mengambil tempat di hati individu ‘nature people’ yang masih ingin mengekalkan suasana mewah. 

Oh ya, dekorasi bilik air gaya tropika mewah mementingkan warna-warna alam seperti kelabu, coklat gelap dan coklat lembut. Penggunaan kayu dan batu sungai juga diambil kira dalam dekorasi bilik air tropika mewah. 

#6 Mewah Elegan

Kredit gambar: Pinterest

Rahsia bilik air kelihatan mewah ialah dari segi pencahayaan dan kemasan dinding dan lantai. ‘Built-in rack’ ialah salah satu cara untuk menampakkan bilik air Mama kelihatan mewah. Selain itu, penggunaan pintu kaca juga memainkan peranan dalam menampakkan bilik air kelihatan lebih luas.

#7 Minimalis

Kredit gambar: Creative Lab

Tema minimalis mementingkan kekemasan pada setiap masa. Jadi bagi memastikan bilik air sentiasa kelihatan rapi, pilih storan tersembunyi seperti kabinet berpintu. 

Dekorasi minimalis memfokuskan kepada fungsi berbanding nilai kosmetik. Alatan yang tidak memberikan fungsi secara maksimal harus dielakkan.

#8 Rustic

Kredit gambar: Pinterest

Masih ingat filem fantasi Spiderwick yang pernah ditayangkan pada tahun 2008 dahulu? 

Ya, dekorasi bilik air rustic serupa seperti dalam filem tersebut. Bahan binaan dan hiasannya diperbuat daripada sumber kayu atau perkakasan yang seakan-akan warna kayu. Dekorasi bilik air rustic diinspirasikan dari rumah-rumah desa di barat.

#9 Ala Bali

Kredit gambar: Pinterest

Bilik air ala Bali mempunyai hubungan terus dengan dunia luar. Maksudnya disini, inspirasi bilik air Bali terdapat bukaan bebas terhadap langit dan ruang di bahagian luar rumah. 

Dekorasi bilik air inspirasi dari provinsi Indonesia itu boleh juga dipelbagaikan dengan tanaman hijau sebagai hiasan tambahan.

#10 Scandinavian

Kredit gambar: Pinterest

Ciri-ciri bilik air yang berkonsepkan scandinavian menampilkan aspek kesederhanaan dan kecantikan. Ia boleh diaplikasikan untuk ruang yang luas dan kecil kerana elemen penting dalam menjayakan konsep scandinavian ialah white and wood

Warna putih dan kemasan kayu ialah kunci kejayaan tema scandinavian. Untuk kelihatan lebih menarik, letakkan cermin bersaiz besar serta mozek bercorak monokrom. 

#11 Merah Jambu Millennial 

Kredit gambar: Hunker

Merah jambu sangat sinonim dengan gaya feminin. Warna lembut itu juga kini diminati oleh golongan lelaki. 

Cat dinding dan lantai berwarna kelabu gelap atau hitam agar bilik air merah jambu millennial kelihatan lebih maskulin. Mama boleh gantikan tub mandian dan singki yang kebiasaannya berwarna putih kepada warna merah jambu. 

#12 Hitam dan Putih

Kredit gambar: Yuubath

Bilik air yang memainkan warna hitam dan putih sebenarnya memperolehi dua kelebihan. Pada satu masa, ia boleh terlihat klasik. Manakala, waktu yang lain pula ia boleh kelihatan kontemporari. 

Dekorasi bilik air monokrom ini ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. Ia masih tetap relevan sepanjang zaman. 

Tips Dekorasi Bilik Air

  1. Ruang Selesa

Susunan perabot, perkakas dan lekapan perlu dirancang rapi. Terlalu banyak barang dalam bilik air mungkin buatkan Mama sukar bergerak. Jika ruang bilik air terhad, pertimbangkan untuk menggunakan alatan yang mudah dipasang atau dialihkan. 

  1. Pencahayaan

Faktor pencahayaan menjadi salah satu dari tiga perkara penting yang menyerlahkan lagi bilik air rumah Mama. Mungkin, Mama boleh pertimbangkan untuk memasang lebih dari satu sumber cahaya agar bilik air menjadi lebih nyaman. 

  1. Pemilihan Warna

Kesilapan memilih warna bilik air boleh buat Mama menyesal di kemudian hari. Warna memainkan peranan dalam memberikan nuansa sesuatu ruangan. 

Warna cerah atau gelap terserah pada Mama. Paling penting Mama tidak mengabaikan faktor cahaya semulajadi dalam bilik air.

  1. Akses

Faktor kebolehcapaian perlu diambil kira agar bilik air sesuai dan selamat digunakan di masa hadapan. Bukanlah bermaksud kita minta sebarang keadaan buruk berlaku tetapi ianya sekadar persediaan kalau-kalau ada ahli keluarga yang kurang upaya ingin menggunakan bilik air nanti. 

  1. Bajet

Sebenarnya berbelanja besar bukanlah satu-satunya cara untuk mula mendekorasi bilik air idaman Mama tetapi ianya tentang bagaimana Mama bijak mengatur bajet yang ada dan membelanjakannya. 

Ubah suai bilik air idaman menjadi seperti yang diidamkan memerlukan kebijaksaan dalam susun atur dan pemilihan perkakas. Selain itu, warna dan hiasannya juga memaikan peranan dalam menonjolkan keunikan setiap dekorasi.

Namun begitu, Mama Siti suka untuk berpesan agar Mama tidak terlalu gopoh-gapah ketika menghias bilik air idaman. Sebaiknya ikuti lima tips dekorasi bilik air supaya Mama berjaya mendapatkan hasil maksimal.

Diharap artikel kali ini berjaya mencetuskan idea Mama mengubah suai bilik air yang ekslusif dan mewah.


Dapatkan lebih banyak info tentang pokok hiasan dan dekorasi rumah di SINI.