KelabMama

Dekorasi Rumah Tak Perlu Belanja Banyak. Hanya Pandai Pilih Hiasan dan Warna Dinding Sahaja

Dekorasi atau deco rumah merujuk kepada komponen estetik bertujuan menampakkan rumah lebih menarik. Hiasan rumah termasuklah perabot, karya seni, aksesori, susun atur perabot dan warna sesebuah ruangan ialah elemen penting dalam proses mendekorasi rumah.

Idea dekorasi dalaman rumah selalu dipilih berdasarkan minat penghuni itu sendiri. Macam Mama sendiri, mesti Mama pun ada minat, inspirasi dan idaman dekorasi rumah yang tersendiri kan?

Antara konsep dekorasi rumah yang trendy hari ini dan sesuai sepanjang zaman ialah minimalis, berwarna putih, bersama pokok hiasan dalam rumah, pampas, dan mempunyai unsur alam semula jadi.

Kali ini, Mama Siti teringin nak kongsikan dengan Mama semua beberapa idea dekorasi rumah yang ringkas tetapi memberi impak ketara dalam rumah. Seperti biasa, Mama Siti akan sertakan sekali ciri-ciri, kelebihan dan kekurangan dan juga gambar.

Idea Dekorasi Rumah Yang Trendy

1) Dinding Pastel

Kredit gambar: Elle Decor

Pemilihan warna terang untuk dinding Mama, terutamanya warna ‘pastel’ menjadikan ruang kelihatan lebih luas. Selain itu, ia mewujudkan suasana berseri dan ceria

Kebanyakan orang memilih warna putih memandangkan ianya merupakan satu pilihan selamat oleh kerana mudah untuk memadankan dengan perabot dan langsir. Namun begitu, kadang kala warna putih menjadi agak membosankan.

Bagi menggantikan penggunaan warna putih Mama boleh cuba warna krim, kelabu muda, warna kuning terang dan merah jambu.

2) Memaksimumkan Penggunaan Cermin

Kredit gambar: desainrumahid.com

Cermin memberikan kesan ruangan nampak lebih luas pada sesuatu tempat. Tambahan pula, aksesori ini  menjadikan ruang kelihatan lebih eksklusif. 

Apa yang lebih penting bagi seorang wanita, cermin bukan setakat aksesori rumahan semata-mata kerana sebenarnya kita sangat memerlukannya di kebanyakkan waktu.

Merapikan tudung, menggayakan rambut, merias wajah dan menangkap gambar ‘outfit of the day’ (OOTD) semuanya menggunakan cermin.

Jadi, penting tak cermin di ruang rumah Mama? Sangat penting dan praktikal.

3) Langsir Sebagai Hiasan Rumah

Kredit gambar: Shopee

Langsir menambah dimensi pada rekaan dalaman rumah Mama. Pemilihan warna mestilah bersesuaian dengan aksesori dan perabot yang sudah tersedia di suatu ruangan.

Elakkan kesilapan ketika memilih langsir dan Mama perlu sentiasa menitikberatkan bahannya. Langsir yang lebih nipis dan ringan membolehkan angin masuk dalam rumah sekaligus menyamankan ruangan rumah.

Selain itu, lebih tinggi langsir digantung maka lebih tinggi siling Mama akan kelihatan. Tips tambahan, Mama boleh gantungkan langsir beberapa inci melebihi tingkap untuk mendapatkan kesan siling lebih tinggi. 

4) Memanfaatkan Permaidani 

Kredit gambar: Aqsa Online Store

Permaidani boleh digunakan sebagai hiasan rumah dan bilik. Pemilihan permaidani yang tepat bukan sahaja menonjolkankeindahan corak dan warnanya, tetapi juga antara cara terbaik untuk mendapatkan suasana baru di dalam rumah atau bilik.

Pemilihan permaidani yang bersesuaian melengkapkan tona warna agar sepadan dengan dekorasi dalam sesebuah ruangan. 

Mari Mama Siti kongsikan antara tips pemilihan motif permaidani.

Pertama sekali ialah corak geometri. Sebaiknya pilih warna kontra dan ‘bold’ serta berbeza dengan warna di dinding. Pemilihan tempat letak permaidani juga penting tau.

5) Unsur Alam Semulajadi 

Kredit gambar: iProperty

Penggunaan warna natural penting dalam menentukan nuansa di rumah. Caranya adalah dengan menggantung tumbuhan palsu di dinding atau meletakkan tumbuhan palsu di sudut ruang tamu

Tumbuhan palsu berwarna hijau antara alternatif terbaik dalam membantu memberikan mood tenang di setiap sudut ruangan rumah.

6) Karya Seni

Kredit gambar: InformaZone

Hasil seni dari anak-anak mahupun Mama sendiri boleh diletakkan di ruangan rumah. Contohnya di ruang tamu, dalam bilik tidur dan di dapur. Penggunaan hasil seni yang bersesuaian memberikan kesan realistik serta penambah warna dan corak agar menjadi lebih estetik.

7) Warna Siling Rumah

Mama harus mengambil kira berkenaan siling rumah. Siling dengan warna yang lebih terang berbanding dinding menampakkan dinding atau siling seakan lebih tinggi dari ketinggian asal manakala siling yang berwarna gelap menyebabkan siling kelihatan lebih rendah.

Siling putih selalu menjadi menjadi pilihan di tangga teratas kerana kesan menarik pada dinding dan perabot. Selain mengambil kira faktor memudahkan padanan perabot dan aksesori hiasan.

Tips Deco Rumah

1. Pasang langsir tinggi di atas tingkap 
Lebih dekat pemasangan langsir dengan siling, bilik akan terasa lebih besar.

2. Gantungkan karya seni tepat pada paras mata
Gantungan lukisan pada 57 inci dari tanah supaya dapat menikmati hasil seni itu tadi. 

3. Letakkan perabot dua inci jauh dari dinding
Bilik Mama akan berasa lebih berangin kerana angin akan lebih masuk ke dalam ruangan apabila terdapat jarak antara dinding dan perabot.

Minat kecenderungan penghuni rumah bukan lah satu masalah tetapi yang paling penting ialah pemilihan perabot, karya seni, aksesori, susun atur dan warna dinding.

Kadang kala kita tidak perlukan idea rekaan dalam rumah yang sofistikated tetapi sudah memadai jika memilih beberapa elemen yang bersesuaian dan sepadan. Jadi kerana itulah Mama perlu ikuti cara dan tips dekorasi rumah seperti yang Mama Siti kongsikan di atas tadi. 

Harap-harap perkongsian kali ini membantu Mama memikirkan idea nak deco rumah. Kita jumpa lagi dalam artikel seterusnya ya.