KelabMama

Cuma 4 bulan, Nishka Pergi Setelah Derita Bertarung Kanser Otak

Cuma 4 bulan, Nishka Pergi Setelah Derita Bertarung Kanser Otak

Empat bulan lamanya bayi kecil ni bertarung nyawa melawan penyakit kanser otak (Medullablastoma) dan buah pinggang, akhirnya Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Berita sedih ini turut dikongsikan oleh seorang usahawan selebriti, Mawar Karim yang mengikuti perkembangan adik Nishka dengan mengucapkan takziah di laman Instagram miliknya.

Pengusaha tudung jenama Fareeda ini berkongsi kisah perjalanannya dalam salah satu entri di laman Instagram miliknya, dimana dia sanggup menjelajah ke Kelantan bagi melawat bayi berusia empat bulan, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham.

Mawar turut meluahkan rasa sayu apabila bayi kecil itu terpaksa menanggung derita kesakitan dan memohon agar orang ramai membantu Nishka sebelum bayi itu pergi buat selama-lamanya.

Al- Fatihah. Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Baby Nishka berehat lah di syurga menanti awak di sana. Setelah berjuang bertarung nyawa. Allah lebih sayang kan baby Nishka. Ibu bapa baby Nishka akan tunggu di syurga ya anak.

Kami sayang baby Nishka. Mari kita sedekah Al Fatihah dan doa kan baby Nishka.

Menerima panggilan dari ibu baby Nishka mengatakan baby Nishka dah meninggal dunia. Sejujurnya memang tidak mampu untuk saya melihat anak syurga ini tabah bertarung nyawa.

Nishka menderita kanser otak tahap empat sehingga hilang penglihatan dan tidak mampu bersuara.

Keluarga redha dengan pemergian Nishka

Difahamkan bahawa keluarga Nishka juga sudah bersedia dengan segala kemungkinana yang akan terjadi pada anak bongsunya. Pasangan ini juga turut redha dengan pemergian Nishka saat bayi itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Sejak semalam Nishka tenat dan tidak memberi sebarang maklum balas. Memang kami sekeluarga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.”

Walaupun sedih, ini semua takdir Allah dan bersyukur pemergian Nishka dipermudahkan.

Keluarga Nishka mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah anaknya itu serta kakitangan HUSM yang banyak berjasa kepada keluarganya. Jenazah Nishka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Marak, Bachok.

Nishka kritikal dan tenat

Sebelum ini, Khairiah Kamarudin pernah berkongsi tentang keadaan anaknya yang kritikal dan tenat serta memohon agar orang ramai mendoakan kesihatan Nishka.

Katanya, Nishka menderita kanser otak tahap empat sehingga hilang penglihatannya dan dia tidak lagi mampu bersuara. Bayi kecil tersebut disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia 21 hari, selepas kepalanya didapati agak besar daripada bayi normal.

Retak hati kedua suami isteri apabila Nishka juga disahkan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu, yang menyebabkan keadaannya tidak aktif dan terpaksa menggunakan alat bantuan untuk pernafasan.

Sumber: ohbulan, Berita Harian

BACA JUGA BUAH PINGGANG SI COMEL 16 BULAN TERPAKSA DIBUANG AKIBAT WILMS TUMOR

Pesan Mama Siti:

AlFatihah. Semoga rohmu ditempatkan di syurga firdaus wahai anak. 4 bulan, masa yang cukup singkat. Tak sempat bersama dengan si manja, tengok si manja senyum, jalan, panggil mama papa, Allah SWT dah tarik balik baby Nishka dari kedua ibubapanya. Semoga ibubapa Nishka kuat hadapi dugaan ni. InshaAllah, pasti ada hikmah di sebalik takdir Allah ni. Takziah sekali lagi Mama Siti ucapkan kepada keluarga Nishka.