KelabMama

Columbia Asia Extended Care Hospital Shah Alam Menekankan Kepentingan Rehabilitasi dalam Proses Pemulihan Pesakit

Columbia Asia Extended Care Hospital Shah Alam (CAECHSA)

Bagi sesetengah pesakit, mencapai kestabilan selepas mengalami strok, penyakit serius, kecederaan atau menjalani pembedahan hanyalah satu daripada beberapa peringkat dalam proses pemulihan. Cabaran seterusnya adalah untuk mendapatkan semula keupayaan berjalan dengan selamat, berkomunikasi, menguruskan keperluan diri serta kembali menjalani kehidupan seharian dengan lebih berdikari.

Columbia Asia Extended Care Hospital Shah Alam (CAECHSA) mengetengahkan tahap penjagaan  yang kurang diberi perhatian ini menerusi sebuah sesi meja bulat media yang memberi tumpuan  kepada proses rehabilitasi dan pemulihan selepas rawatan akut. 

Berbeza daripada rumah jagaan atau pusat penjagaan kediaman jangka panjang, CAECHSA  merupakan sebuah hospital yang memberi tumpuan kepada rehabilitasi bagi pesakit yang tidak lagi  memerlukan rawatan akut, tetapi masih memerlukan rehabilitasi berstruktur, pemantauan perubatan  serta penjagaan kejururawatan dalam usaha untuk kembali ke rumah. 

“Sempena ulang tahun ke-30 Columbia Asia di Malaysia, kita dapat melihat bagaimana keperluan  pesakit turut berkembang seiring dengan perjalanan kami. Penjagaan kesihatan yang baik bukan  sekadar menyediakan rawatan yang tepat ketika seseorang mengalami masalah kesihatan, tetapi juga  memastikan pesakit mendapat tahap penjagaan yang sesuai pada setiap peringkat pemulihan,” kata  Ketua Pegawai Komersial Kumpulan, Asia OneHealthcare Group dan Ketua Pegawai Eksekutif  Serantau Columbia Asia, Encik Anwar Anis. 

“CAECH Shah Alam memainkan peranan penting dalam kesinambungan penjagaan ini. Dengan  melengkapi hospital-hospital kami melalui rehabilitasi khusus selepas rawatan akut, kami dapat  menyokong perjalanan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh, daripada rawatan dan penstabilan  keadaan pesakit sehinggalah proses pemulihan dan kepulangan mereka ke rumah.” 

Daripada Pemulihan Perubatan kepada Keupayaan Menjalani Kehidupan Seharian 

Pesakit yang dimasukkan ke CAECHSA untuk menjalani pemulihan akan menjalani penilaian  menyeluruh bagi menetapkan matlamat pemulihan yang boleh dicapai berdasarkan keadaan dan  potensi pemulihan mereka. Anggota pasukan multidisiplin yang bersesuaian kemudiannya akan terlibat  mengikut keperluan individu setiap pesakit. 

Pasukan penjaga bekerjasama dengan pesakit untuk membina semula keupayaan yang penting dalam  kehidupan seharian dan menyokong tahap kemandirian mereka, termasuk berjalan dan bergerak,  berpindah dari satu tempat ke tempat lain, memakai pakaian, menjaga diri, makan, berkomunikasi serta  aktiviti harian asas (dalam bidang perubatan, ini dipanggil Activities of Daily Living atau ADL). 

Peningkatan keupayaan setiap pesakit boleh dilihat dalam pelbagai bentuk – daripada mula mengambil  bahagian dalam sesuatu aktiviti, melakukannya dengan bantuan, seterusnya di bawah pengawasan,  dan jika keadaan mengizinkan, melakukannya secara sendiri.

“Proses pemulihan kelihatan berbeza bagi setiap pesakit. Bagi seseorang, dapat berjalan semula tanpa  bantuan mungkin merupakan satu pencapaian besar. Bagi pesakit lain, ia mungkin bermakna dapat  berpindah dari katil ke kerusi dengan selamat, makan sendiri atau berkomunikasi untuk menyatakan  keperluan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Extended Care Hospital Shah  Alam, Puan Bavani Thavarajah. 

“Pencapaian ini mungkin kelihatan seperti langkah kecil, tetapi ia boleh memberi kesan besar terhadap  keyakinan diri, maruah serta keupayaan pesakit untuk kembali menjalani kehidupan seharian. Matlamat  kami adalah untuk membantu setiap pesakit mencapai tahap keupayaan terbaik berdasarkan potensi  pemulihan individu mereka.” 

Pemulihan Bukan Sekadar di Bilik Terapi 

Antara komponen penting dalam pendekatan CAECHSA ialah kejururawatan berfokuskan rehabilitasi, di mana proses pemulihan diteruskan walaupun sesi terapi yang dijadualkan selesai. 

Jururawat rehabilitasi bekerjasama rapat dengan doktor dan ahli terapi sepanjang tempoh penjagaan  pesakit, dengan menerapkan matlamat pemulihan dalam aktiviti harian seperti bangun dari katil,  berpindah tempat, berjalan, makan dan menguruskan keperluan diri. 

Persediaan penjaga turut menjadi sebahagian daripada program rehabilitasi. Ahli keluarga diberikan  latihan secara berstruktur untuk membantu mereka memahami keupayaan pesakit dengan lebih baik, sokongan yang masih diperlukan serta cara memberikan bantuan bagi memastikan peralihan pulang  ke rumah dapat dilakukan dengan lebih selamat dan yakin. 

Perjalanan Pemulihan Pesakit Strok Menuju Kemandirian 

Susulan strok, seorang pesakit, Encik Abdul Wahid, telah dimasukkan ke CAECHSA dan pada awalnya  memerlukan bantuan untuk berdiri dan berjalan, serta bergantung kepada orang lain dalam  kebanyakan aktiviti harian.

Dengan sokongan daripada pasukan perubatan, rehabilitasi dan jururawat,  beliau menunjukkan perkembangan sehingga mencapai keupayaan untuk melakukan pemindahan  secara kendiri, berjalan sehingga 180 meter dengan alat bantuan berjalan di bawah pengawasan, serta  menaiki tangga dengan pengawasan rapi menggunakan susur tangan.

Isterinya, yang merupakan  penjaga utama beliau, turut menyokong proses pemulihan beliau ketika meneruskan rehabilitasi di  rumah. 

Menyoroti Perjalanan Pemulihan Pesakit 

Sesi meja bulat media yang bertemakan “Melangkaui Discaj: Memulihkan Kemandirian Melalui  Penjagaan Berterusan” menghimpunkan pandangan daripada golongan profesional dalam bidang  perubatan, rehabilitasi, kejururawatan dan penjaga peribadi , selain turut menampilkan seorang pesakit  rehabilitasi neurologi bersama penjaganya. 

Perbincangan tersebut memberi gambaran tentang bagaimana matlamat rehabilitasi ditetapkan,  peranan pekerja kesihatan dalam menyokong kemajuan pesakit serta kepentingan penglibatan pesakit  dan penjaga dalam usaha mencapai tahap kemandirian yang lebih baik. 

Selepas sesi perbincangan, pihak media dibawa melawat wad pesakit, Gim Fisioterapi, Bilik Terapi  Carakerja dan Bilik Terapi Pertuturan bagi melihat bagaimana pelbagai aspek rehabilitasi digabungkan  untuk menyokong perjalanan pemulihan pesakit. 

Pihak media turut berpeluang mencuba sendiri beberapa aktiviti rehabilitasi terpilih, termasuk  penggunaan alat bantu komunikasi, alat bantuan berjalan serta peralatan sokongan bagi menjalankan aktiviti harian asas (ADL). Pengalaman secara langsung ini memberi gambaran yang lebih dekat  tentang cabaran praktikal yang dihadapi pesakit, serta bagaimana rehabilitasi membantu mereka  membina semula keupayaan dan kemandirian secara berperingkat. 

Sempena 30 tahun Columbia Asia di Malaysia, CAECHSA mencerminkan peranan penting Kumpulan  ini dalam menyediakan kesinambungan penjagaan kesihatan yang menyeluruh – bukan sahaja melalui  diagnosis dan rawatan, tetapi juga dengan menyokong proses pemulihan yang menyusul selepas itu. 

Sepanjang tiga dekad, Columbia Asia terus berkembang seiring dengan perubahan keperluan komuniti  setempat. Menerusi penjagaan lanjutan dan rehabilitasi, komitmen ini diteruskan dengan memberi  sokongan kepada pesakit selepas rawatan akut, membolehkan mereka kembali ke rumah, meneruskan  kehidupan seharian dan mendapatkan semula tahap kemandirian yang lebih baik. 


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.