KelabMama

Step by Step! 26 Checklist 12 Bulan Sebelum Hari Perkahwinan

Dalam 12 bulan sebelum majlis perkahwinan berlangsung, macam-macam perlu diuruskan. Bermula dari lokasi majlis, katering, baju pengantin, baju tema keluarga sampailah para jemputan. Sebab tu penting untuk bakal pengantin sediakan checklist kahwin yang lengkap agar lebih teratur planning kita.

Lagi menarik dan memudahkan, jika bakal-bakal pengantin boleh mendapatkan checklist kahwin atau senarai semak majlis perkahwinan dari 12 bulan sebelumnya. Taklah kita kelam kabut nanti.

Kalau semuanya disimpan dalam kepala, risau nanti ada yang tertinggal. Kan sayang tu. kita jadi raja sehari bukan selalu kan. 

Marilah Mama Siti tunjukkan 26 checklist kahwin yang lengkap dari 12 bulan sebelum majlis berlangsung. Semoga membantu!

Checklist Kahwin 12 Bulan Menuju Hari Yang Bermakna

Kredit gambar: Warm Karoo

#1. Lokasi Majlis

Buat tinjauan lokasi acara nikah dan majlis persandingan nanti. Tambahkan tempat untuk majlis berinai kalau berkenaan. 

Kelewatan mencari dan memutuskan lokasi perkahwinan mungkin mengakibatkan pengantin perlu mencari tempat lain. Jadi, lepas dapat tarikh perkahwinan terus sahaja survey hotel, dewan dan ruang acara (event space).

#2. Tema

Pemilihan tema ialah perkara yang menentukan banyak hal lain. Dari tema lah kita boleh kembangkan idea baju pengantin. Memandangkan masih banyak masa, pengantin boleh buat penyesuaian pakaian untuk majlis-majlis yang berlangsung nanti. 

#3. Ekspo Pengantin

Kredit gambar: miszrockers.com

Tujuan menghadiri ekspo pengantin agar pengantin dapat buat tinjauan dan mencari idea untuk majlis perkahwinan. 

Di tempat ini, kita boleh buat perbandingan perkhidmatan yang sesuai dengan tema dan bajet. Mungkin kita ada pakej yang baik untuk untuk dirunding bagi merealisasikan majlis perkahwinan idaman kita kan. 

Checklist Kahwin 9 Bulan Menuju Hari Bahagia

#4. Food Sampling

Sesi merasa lauk pauk untuk tetamu dan pengantin ini tak kurang pentingnya. Selain kesedapannya, kita juga perlu mengambil kira samada katering menyediakan menu vegetarian. Terutamanya untuk tetamu yang pelbagai bangsa dan agama. 

#5. Bayar Duit Pendahuluan

Dah tak ada masa nak bertangguh lagi. Terus bayar duit pendahuluan sebagai tanda kita betul-betul serius nak gunakan servis mereka pada masa dan lokasi yang telah dipersetujui.

#6. Baju Kahwin & Baju Keluarga

Kredit gambar: PengantinBaru.com.my

Lagi awal sebenarnya lagi bagus. Bukan apa, baju kahwin ialah yang paling penting buat pasangan pengantin. Kena betul-betul cari yang selesa dan cantik. 

Buat baru atau sewa, kedua-duanya perlu dititikberatkan. Semasa sesi fitting, pastikan bakal pengantin periksa keselesaan setiap inci pakaian. Buat latihan berjalan, duduk dan pergerakkan untuk sesi bergambar nanti.

Checklist Kahwin 6 Bulan Je Lagi!

#7. Kursus Kahwin

Kursus kahwin tak ada tarikh luput. Sijil yang diperolehi pada tahun sebelumnya pun masih boleh digunakan. 

Asalkan bakal pengantin masih ingat apa yang dipelajari iaitu tanggungjawab di dalam perkahwinan.

#8. Ujian HIV & Talasemia

Mama Siti agak bakal pengantin dah tanya siap-siap dekat pasangan sebelum buat keputusan berkahwin. 

Pasangan yang ada penyakit talasemia berkemungkinan besar merisikokan zuriat mereka nanti. Jika ada pembawa dari salah satu pasangan, anak yang dilahirkan akan menghadapi komplikasi kesihatan dengan kos rawatan yang tinggi.

#9. Barang Hantaran

Kredit gambar: azhafizah.com

Ada berbaki enam bulan lagi sebelum hari perkahwinan. Hantaran yang tidak berasaskan makanan mudah rosak boleh mula disediakan sekarang. 

Dalam tempoh masa ini, mula cari perkhidmatan dulang hantaran. Manakala jika ingin menyediakannya sendiri kumpulkan barang yang diperlukan. 

Okay, Lagi 3 Bulan. Apa Lagi Eh?

#10. Sediakan Borang Penting

Hanya tiga kurang dari 100 hari sehingga hari perkahwinan. Pastikan borang berikut telah siap diisi.

#11. Temu janji Jurunikah, Wali & Saksi

Hubungi individu penting yang terlibat. Khabarkan kepada mereka tentang hari pernikahan kalian. Mereka perlu uruskan jadual masing-masing agar tidak bertembung dengan acara lain. 

Selain itu, tujuan kita menghubungi mereka adalah untuk mengingatkan mereka tentang tarikh dan masa.

#12. Tempahan Kad Jemputan

Kredit gambar: Otosection

Perincian dalam kad jemputan hendaklah dipastikan tepat. Periksa beberapa kali. Kalau boleh minta ahli keluarga semak maklumat dalam surat jemputan. 

Kesilapan dalam mencetak kad kahwin mengakibatkan kerugian duit dan masalah kepada tetamu yang ingin hadir ke majlis.

#13. Doorgift

Sekarang ialah masa yang tepat menempah buah tangan untuk tetamu. Jika bercadang untuk DIY, beli barang-barang yang diperlukan. Dua, tiga hari sebelum majlis boleh mula membungkus.

#14. Banner & Bunting

Orang nak datang acara kita, baik kita mudahkan. Gantungkan bunting di lokasi berhampiran majlis perkahwinan. Setidaknya ada panduan untuk tetamu sampai ke tempat kita

Kalau ada banyak majlis sekaligus di lokasi yang sama, mereka boleh rujuk di bunting berkenaan. 

#15. Beli Cincin

Kredit gambar: Beritagar

Tak lengkaplah hari pernikahan tanpa cincin. Walaupun cuma adat, elok kalau kita teruskan. Beli bersama-sama pasangan. Pilih saiz dan rekaan yang diminati. Jangan lupa sesuaikan dengan bajet masing-masing ya. 

OMG! Lagi 1 Bulan Menuju Hari Perkahwinan!

#16. Agihan Jemputan

Tinggal satu bulan sebelum majlis berlangsung. Kad jemputan dah boleh mula diagihkan kepada tetamu. Pastikan saudara-mara dan sahabat handai dijemput.

#17. Penginapan Keluarga Pengantin

Tak dilupakan tempat beristirehat keluarga pengantin. Bagi majlis yang diadakan di resort, keluarga pengantin boleh menginap di bilik-bilik yang tersedia. 

Manakala di tempat lain, boleh mula tempah homestay untuk keluarga pengantin berehat.

#18. Rilekskan Diri

Perasan tak dari awal sampai akhir, kita asyik siapkan barang dan tempat sahaja. Jangan lupa mempelai pun perlu dimanjakan. 

Dalam dua minggu sebelum majlis, rehatkan diri bakal pengantin di spa. Bukan hanya pengantin perempuan ya, pengantin lelaki pun perlu sama tenangkan diri.

Aaa Lagi 2 Minggu Nak Kahwin!

#19. Follow Up Vendor

Sama seperti kita menghubungi juru nikah. Tujuannya supaya mereka telah bersedia untuk majlis kita. Tanyakan juga tentang pesanan atau kemaskini  yang telah dibuat. 

Dub…dab…dub…dab. ESOK Nak Kahwin!

#20. Baju Pengantin dan Aksesori

Semua orang mulai sibuk dengan tugas masing-masing. Tugas pengapit atau bridesmaid disini ialah memastikan semua kelengkapan pengantin lengkap dan siap untuk dipakai. 

#21. Berinai

Kredit gambar: Gerbang Cinta Production

Satu hari sebelum majlis ialah waktu paling tepat memakai inai. Sebabnya, inai masih merah ketika majlis berlangsung. Tambahan pula, ia sangat membantu mencantikkan lagi sesi bergambar.

#22. Kehadiran Vendor

Risau rasanya kalau-kalau ada yang tarik diri di saat akhir. Tak sempat nak cari yang lain. Pastikan vendor dibawah siap susun barang pada hari tersebut.

#23. Tidur Awal

Kredit gambar: jatim.liputan6.com

Buat pasangan pengantin, masuk tidur lebih awal. Kita tak mahu mata sembab dan muka lesu keesokkan harinya. Banyak tenaga diperlukan untuk melayani tetamu dan sesi bergambar.

Akhirnya, Ketika Hari Perkahwinan: Semoga Dipermudahkan.

#24. Sarapan

Bagi yang biasa makan sarapan, lebih baik jangan tinggalkan sarapan. Kalau perut kosong, risau kalau-kalau pengsan nanti. Makanan buatkan kita lebih bertenaga dan bermaya.

#25. Bertenang

Tarik nafas dan lepas. Ulang beberapa kali. Terutamanya untuk pengantin lelaki yang selalu ditakutkan ketika majlis akad nikah. Bertenang dan rileks. Tak ada apa yang perlu ditakutkan. Anda hanya melalui satu sesi normal. Sama seperti orang lain.

#26. Siap Awal 

Tidur awal, bangun awal dan boleh bersiap awal. Bergerak ke lokasi majlis 30 minit lebih awal. Biasanya pengantin datang bersama pengiring. Kita mahukan majlis berjalan seperti dalam tentatif. 

Kredit gambar: Harian Post

Majlis perkahwinan memerlukan perancangan rapi. Oleh itu, peranan checklist dan template diperlukan supaya majlis kita lebih terurus. 

Persediaan perkahwinan hendaklah dilakukan setahun sebelum hari perkahwinan. Ambil perhatian pada tempahan lokasi, borang-borang penting dan katering. Kesemuanya memastikan majlis perkahwinan berjalan lancar.

Mama Siti doakan hari perkahwinan anda terlaksana dengan bantuan perkongsian pada kali ini.  Kepada sesiapa yang tengah mencari idea hadiah kahwin, boleh baca artikel ini.