KelabMama

Yay Balik Kampung! Ini ‘Checklist’ Wajib Bawa, Tak Boleh Tinggal

Checklist balik kampung ni bukan Mama Siti nak kongsikan begitu sahaja tau. Ia adalah supaya dapat membantu Mama Papa daripada tertinggal barang yang wajib bawa pulang ke kampung. Takkan nak uturn balik sebab nak ambil barang je kan.

Kekadang ada juga Mama yang blur nak mula kemas dari mana bila dah ada family ni. Barang ni wajib ke bawa balik sebab sudah ada di kampung cuma kena berkongsi dengan yang lain.

Sebab itu, Mama Siti nak tolong Mama dengan sediakan checklist balik kampung ini supaya Mama tak tertinggal barang yang wajib dibawa bersama sebelum pulang beraya di kampung.

9 Barang Wajib Bawa Balik Kampung

1. Selimut, Toto dan Bantal

Kredit Gambar: Carousell

Kalau pulang ke kampung, mesti timbul masalah nak tidur macam mana bukan? Selimut bantal tak cukup lah, toto pula ada dua tiga je – macam mana nak cukup lagi-lagi bila masing-masing sudah berkeluarga.

Siapa je nak volunteer tidur tidak beralas kan. Atas lantai pula tu. Rumah dekat kampung ni malam-malam sejuk nanti ada pula yang jadi ‘beku’.

Untuk elakkan dari berebut, Mama bawalah toto, selimut dan bantal dari rumah sendiri. Keluarga kecil Mama pun selesa untuk tidur nanti. Tak adalah time nak tidur je ada aksi berebut-rebut nanti.

2. Extension Plug, Charger & Powerbank

Ini barang yang paling penting kalau nak balik kampung. Selalunya kalau berkumpul ramai-ramai ni memang tak cukuplah extension yang sedia ada dekat kampung tu. Maklumlah time ramai je berebut nak guna benda alah ni.

Kalau semua extension plug penuh, boleh mati kutu jawabnya. Nak kena tunggu turn pula kalau nak guna.

Bukan nak guna untuk cas handphone je, nak guna untuk iron lah kipas lah confirm berebut oi! Itu belum lagi ada yang potong queue. Boleh bergegar rumah nanti terpekik-pekik tanya siapa potong queue.

Sebab tu extension ni ada dalam checklist balik kampung ni.

Oh ye! Ini pun jangan lupa bawa ye Mama. Kalau bawa extension je tapi kalau charger handphone tak bawa nak cas macam mana pula.

Kalau Mama ada powerbank bawalah sekali. Nanti takda lah Mama tumpang cas handphone dekat rumah orang pula kalau pergi rumah sanak-saudara. Lagipun ada powerbank ni kan senang nak bawa dan guna.

3. Medical Kit dan Ubat-ubatan Yang Penting

Medical Kit ni penting kalau nak guna waktu-waktu kecemasan. Kebanyakan farmasi atau kedai yang menjual ubatan akan tutup semasa minggu pertama raya.

Kalau Mama dah sediakan medical kit yang dibekalkan dengan ubat luka, plaster dan paracetamol, mudah untuk sesiapa sahaja menggunakannya sekiranya ada kes kecemasan yang kecil.

Bagi ahli keluarga yang perlu mengambil ubat secara konsisten, Mama jangan lupa untuk sediakan bekas khas untuk letak ubat-ubat tersebut. Pastikan Mama bawa ubat mereka mengikut hari yang anda bakal berada di kampung.

4. Tuala Mandi

Kredit Gambar: My Weekend Plan

Selain bantal, toto dan selimut, tuala pun boleh jadi punca ‘gaduh’ ketika ramai-ramai di kampung. Bila dalam satu rumah tu ada ramai mesti stok tuala tak cukup.

Maklumlah, rumah atuk nenek bukan kedai jual tuala jadi kalau nak cukupkan untuk anak cucu tu memang tak bolehlah.

Jadi, Mama bawa sendiri tuala mandi untuk keguaan keluarga kecil Mama. Ini secara tidak langsung, boleh mengelakkan daripada berkongsi tuala dengan yang lain.

5. Pakaian Yang Mencukupi

Kredit Gambar: Mingguan Wanita

Kalau balik seminggu, takkan lah Mama nak bawa baju dua tiga helai sahaja kan, mestilah kena bawa extra. Kalau tak cukup baju nanti takkan nak pinjam baju orang lain pula.

Memang boleh basuh, tapi kalau dah ramai nak guna mesin basuh nanti susah juga. Musim cuaca tak menentu ni Mama Siti risau jemur baju tak kering je nanti.

Itu belum kena tunggu turn juga nak basuh baju – bukan dekat rumah je ye di kedai dobi pun sama. Bawa baju lebih takpe Mama jangan tak cukup baju sudah.

Kredit Gambar: Sirap Limau

Haa baju anak-anak pun sama. Lagi-lagi kalau Mama ada baby, bajunya mesti kena standy lebih. Ini untuk memudahkan Mama juga.

6. Barang Peribadi

Barang mandian seperti pencuci muka, sabun, ubat gigi dan syampu antara yang wajib di packing sekali. Mungkin boleh guna yang orang lain punya, tetapi takkan sepanjang berada di kampung nak guna yang orang punya kan.

Jadi better Mama bawa sendiri je. Letak dalam satu beg mandian lagi senang. Nak mandi nanti bawa je beg tu. Papa dan anak-anak pun takda lah tanya Mama sabun, syampu, itu ini.

Lagi satu, untuk kita yang perempuan ni, beg make up pun perlu dibawah tau! Kalau lupa bawa pulang ke kampung, boleh hilang mood Mama nak cantik-cantik nanti.

7. Penyangkut Baju

Kredit Gambar: iDECO MALAYSIA

Kalau dah siap gosok baju nak letak mana ye? Takkan nak letak atas katil, sofa atau atas lantai je? Kalau ada yang terduduk ke terpijak macam mana? Takkan Mama nak kena gosok semula kan. Dah membazir masa Mama.

Jadi, penyangkut baju ni lah yang akan jadi hero buat Mama di kampung nanti tau. Lepas gosok boleh sangkut dalam bilik terus. Mama pun tak perlu nak digosok semula.

8. Seterika

Kredit Gambar: Harvey Norman

Selalunya malam raya dah mula riuh-rendah berebut nak guna iron. Kalau lambat-lambat ambil turn nanti maunya pagi raya baru Mama dapat iron baju.

Nanti pagi raya ada yang bermasam muka sebab lambat nak gosok baju. Mana nak pergi solat raya lagi, nak hidangkan makanan lagi. Jadi Mama bawalah iron sendiri. Nak guna bila-bila pun boleh tak perlu nak ‘ambil giliran’ dah.

Lagipun, sekarang kan sudah ada portable iron untuk travel, jadi senanglah Mama nak bawa. Saiznya juga kecil dan ringan sahaja. Nak simpan letak dalam luggage pun senang.

9. Laundry Beg

Kredit Gambar: Fruugo

Seronok nak balik kampung pun Mama jangan lupa bawa sekali dengan laundry bag. Nanti taklah Mama pening nak letak mana baju kotor Mama sekeluarga.

Lagipun takkan nak campur sekali dengan baju bersih kan. Kalau Mama nak pergi dobi nanti pun senang bawa je terus laundry beg. Tak perlulah Mama nak kena asingkan baju lagi.

Kredit Gambar: Oh Bulan

Mama kalau dah ikut checklist balik kampung ni jangan lupa buat double check ye. Bukan apa, Mama Siti risau kalau ada barang yang Mama belum pack sekali.

Semoga senarai ini membantu dan selamat pulang ke kampung semua!


Nak tahu apa lagi tips shopping dan travel? Klik di SINI.