KelabMama

CARA SUPAYA ANAK TIDUR LENA

Apabila sudah mempunyai anak, si ibu pasti tidak akan cukup tidur. Itu fenomena biasa dialami hampir semua ibu dan kadangkala mendatangkan masalah buat ibu terutama bagi mereka yang bekerja. Pelbagai cara dilakukan bagi memastikan si anak tidur nyenyak. Berikut antara yang boleh diamalkan bagi memastikan si kecil tidur lena setiap malam.

 

Jangan Menggesa Mereka Tidur

Memaksa anak tidur bukan jalan penyelesaian. Cara ini membuatkan anak akan menangis dan memberontak. Ini akan memburukkan lagi keadaan. Harus diingat, anak akan mengambil masa yang agak lama untuk tidur berbanding orang dewasa kerana kitaran tidur mereka berbeza. Jadi, anak harus bersabar dengan mereka.

 

Rancang Rutin Masa Tidur Si Manja

Sebagai ibu bapa, anda boleh merancang rutin tidurnya. Seperti sebelum tidur mandi dahulu, menukar pakaian dan mendodoi mereka atau membacakan buku cerita kepadanya. Ulang rutin ini setiap hari dan anak anda akan mudah tertidur.

 

Tidurkan Dia Apabila Penat

Apabila anak sudah mula menggosok mata, menarik telinga atau tidak dapat duduk diam, itu mungkin bermakna dia sudah berasa penat dan inilah masa yang sesuai untuk anda tidurkannya. Bagi memastikan dia penat, galakkan dia untuk bermain pelbagai aktiviti dan pastinya dia akan tidur nyenyak selepas itu.

 

Cuba Kurangkan Aktivitinya

Apabila menjelang senja, kurangkan aktiviti bermain si manja supaya dia dapat membezakan antara siang dan malam. Ini secara tidak langsung mengajar mereka mengenai masa berjaga dan waktu tidur.

 

Malapkan Atau Tutup Lampu Sewaktu Tidur

Elakkan memasang lampu sewaktu ingin menidurkan anak anda. Ini kerana, keadaan yang malap atau suram mencetuskan penghasilan hormon tidur yang dinamakan melatonin untuk membantu si anak tidur dengan mudah dan lebih lena.