KelabMama

Segar Macam Baru Beli! 5 Cara Simpan Ikan Tahan Lama

Bila dah jadi ibu, kita nak kena bijak mengatur tenaga dan masa tetapi dalam masa yang sama masih menjaga kualiti ikan yang ingin dimasak.

Mama Siti suka nak kongsikan lima cara simpan ikan supaya tahan lama dalam peti ais. Dengan adanya kaedah penyimpanan macam ini, ikan kekal segar dan teksturnya pun kekal tidak berubah.

Ayuh, kita lihat cara simpan ikan yang betul.

Senarai Cara Simpan Ikan Agar Tahan Lama

#1 Cara Simpan Ikan Dengan Hirisan Lemon

Kredit gambar: Facebook/ Sharifah Azma

Kaedah ini dapat menjimatkan masa dan tenaga buat ibu-ibu bekerjaya dan suri rumah ketika ingin memasak nanti. 

Tambahan pula, tips simpan ikan ini boleh mengekalkan kualiti dan kesegaran ikan dalam jangka masa lama. 

  1. Pertama sekali, Mama dan Papa perlu proses ikan iaitu siang ikan seperti biasa dan bilas dengan air bersih. 
  2. Selepas itu, sediakan bekas bersih dan susun ikan dalam bekas tersebut. Mama Siti cadangkan untuk bahagikan bilangan ikan untuk satu kali masakan untuk menjaga kualiti ikan. 
  3. Tidak dilupakan untuk letakkan beberapa hirisan lemon di atas ikan itu tadi sebelum ditutup dengan penutup bekas. 
  4. Bagi memudahkan proses memasak nanti, Mama boleh juga labelkan siap-siap jenis ikan dalam bekas simpanan. 
  5. Kemudian, terus masukkan ke dalam peti sejuk beku. 
  6. Ikan tersebut boleh terus di masak. Caranya adalah dengan perahkan lemon pada ikan-ikan itu sebelum mula memasak. 

#2 Cara Simpan Ikan Tanpa Bilas

“Eh, tak hanyir ke Mama Siti?”

Walaupun masih terdapat darah pada ikan, ianya tidak akan membuatkan peti ais Mama berbau hanyir. Syaratnya ialah Mama perlu pastikan plastik dan bekas simpanan tertutup rapat. 

Kaedah simpan ikan ini dapat buatkan ikan tahan lama dan kekalkan bau serta kesegarannya juga. 

  1. Macam biasa, kita akan bersihkan ikan terlebih dahulu dengan memisahkan bahagian perut dan najis serta sirip dan insangnya juga. 
  2. Tanpa perlu bilas, Mama terus masukkan ikan ke dalam bekas atau plastik simpanan. 
  3. Mama Siti cadangkan untuk asingkan ikan mengikut jenis dan bilangan yang mencukupi untuk satu hidangan. 

#3 Simpan Ikan Dalam Bekas Kedap Udara

Kredit gambar: Facebook/ MyViets Malaysia

Bagi menjamin kualiti dan tekstur ikan, simpan ikan dalam plastik dan bekas simpan dengan fungsi kedap udara. 

Selain itu, Mama juga boleh balut ikan dalam aluminium foil sebelum disimpan ke dalam peti ais.

Dua cara simpan ikan ini adalah untuk memastikan tiada pencemaran terhadap ikan dan makanan-makanan lain. 

#4 Ikan Tahan Lama Dengan Asam Jawa

Kredit gambar: Periuk.my

Lagi satu tips nak ikan tahan lama dalam peti ais adalah dengan basuh ikan dengan asam jawa. Jangan lupa untuk bilas dengan air bersih dan terus simpan dalam peti ais dalam bekas dan plastik yang sesuai.   

#5 Rendam Dalam Air

Kredit gambar: Facebook/ Normah Bahari

Kalau selalu Mama Siti nampak cara rendam air ni hanya untuk simpan udang, rupanya boleh juga gunakan tip yang sama supaya ikan tahan lama. 

Caranya adalah dengan letakkan ikan dalam bekas dan isi air hingga semua bahagian ikan tenggelam. Mama perlu pastikan ikan telah pun dicuci bersih sebelum disimpan. 

Tips Cepat ‘Defrost’ Ikan

Kredit gambar: Blibli.com

Katakan Mama nak masak ikan pada esok hari, jadi malam sebelumnya Mama boleh pindahkan ikan dari bahagian sejuk beku ke bahagian ‘chiller’. Ikan akan mencair secara perlahan-lahan dalam suhu terkawal. 

Paling menarik sekali, tips simpan ikan yang Mama Siti kongsikan ini dapat jimatkan masa dan bajet barang basah setiap bulan.

Sekarang, Mama boleh tarik nafas lega sedikit dan fokus ke perkara lain.


Belajar cara siang haiwan laut yang lain dan tips semasa di dapur di SINI.