KelabMama

Cara Sendawakan Bayi Dengan Betul

Masih segar dalam ingatan Mama Siti waktu pertama kali bergelar mama ialah kekalutan yang Mama Siti hadapi kerana tak tahu cara nak sendawakan bayi dengan betul.  Panik Mama Siti dibuatnya bila mak sendiri mula bertanya, “anak dah sendawa ke?”

Jadi meh Mama Siti kongsikan tentang bayi dan cara sendawakan bayi dengan betul. Kenapa kita perlu pastikan bayi sendawa atau tak selepas menyusu?

Kenapa perlu sendawakan bayi? 

Kebanyakan bayi cenderung untuk tertelan udara ketika mereka menyusu. Bagi kanak-kanak yang dah berumur dan orang dewasa, itu mungkin sesuatu yang biasa. Tapi, bagi bayi yang baru lahir, tertelan udara ini boleh menyebabkan udara terperangkap di dalam perut. 

Bila udara terperangkap di dalam perut ia boleh mengakibatkan rasa kurang selesa dan senak perut kepada bayi. Senang cerita inilah antara punca bayi kembung perut. Sebab tu bayi resah-gelisah dan merengek je. Udara yang terperangkap ni boleh dikeluarkan dengan teknik sendawa bayi yang betul. 

Selain dari itu, tabiat sendawakan bayi setiap kali dia selesai menyusu dan makan dapat mengurangkan masalah bayi kembung dan sakit perut.

Cara Sendawakan Bayi Dengan Betul, Mudah dan Selamat

Ada banyak cara dan petua untuk sendawakan bayi ni. Mama Siti sarankan mama semua ikut langkah-langkah berikut untuk sendawakan bayi dengan betul, mudah dan selamat:

#1 Posisikan bayi dengan betul

Letakkan sehelai kain di bahu Mama. Kemudian, letakkan bayi di atas bahu yang berlapik itu. Urut-urut belakang bayi menggunakan telapak tangan dengan perlahan-lahan.

Kredit Newborn Baby Blogger

#2 Bayi sendawa tanda lega

Bayi akan mengeluarkan sedikit bunyi lega atau angin keluar dari mulutnya tanda dia lega dan sendawa. Itu bermakna angin di dalam badan yang masuk dengan susunya tadi dah pun dikeluarkan. Kebiasaannya, bayi akan muntah sedikit atau sekurang-kurangnya mengeluarkan air liurnya semasa sendawa. Jadi, bertabahlah ye Mama.

Kredit Newborn Hub

#3 Posisi sendawa bayi yang lain

Ada beberapa posisi sendawa bayi yang lain yang boleh mama cuba mengikut keselesaan Mama dan bayi. Antaranya termasuklah:

  1. Dudukkan bayi di dalam posisi menegak di atas pangkuan. Urut perlahan-lahan dengan membuka tapak tangan seluasnya. Kadang-kala, ada juga orang-orang tua yang akan menepuk-nepuk belakang bayi. Mama kenalah berhati-hati kalau hendak menggunakan teknik tepukan ni ya. Bayi kita sangat lembut dan tulang-tulang badannya masih belum keras sepenuhnya untuk diperlakukan dengan lasak. Risau musibah lain pula yang datang nanti. 
Kredit First Time Parenting
  1. Posisi yang lain pula ialah dengan meletakkan bayi di lengan dalam posisi meniarap. Muka bayi akan menghadap ke bawah atau tepi dan disokong dengan tangan atau peha Mama atau Papa. Gosok perlahan-lahan hingga bayi sendawa. 
Kredit: Smart Parenting

Waktu terbaik sendawakan bayi

Kebanyakkan bayi akan rasa tak selesa semasa dan selepas penyusuan atau makan hinggalah mereka disendawakan. Kadang-kadang, sendawakan bayi ketika dia sedang menyusu atau makan tak menjadi kesalahan, malah boleh melegakan peredaran udara di dalam badan dan memudahkan untuk bayi menikmati susuan dan makanan mereka. 

Bilakah waktu terbaik untuk sendawakan bayi itu sebenarnya berbeza mengikut bayi itu sendiri. Tapi sebagai panduan, Mama boleh amalkan sendawakan bayi setiap kali Mama menukar payudara semasa satu sesi susuan ataupun setelah memberi bayi minum susu setiap 2 hingga 3 oz. 

Jika bayi masih juga tak sendawa selepas beberapa minit, tukarkan posisi bayi dan Mama. Kalau tengah dalam penyusuan, teruskan penyusuan dan boleh cuba sendawakan bayi selang beberapa lama kemudian. Selain itu, mama juga boleh cuba memakai barut untuk bayi, terutamanya kepada bayi baru lahir.

Kenapa bayi tak sendawa?

Tak semestinya setiap sesi sendawa, bayi akan sendawa. Ianya bergantung pada kondisi bayi itu sendiri. Ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan bayi sukar atau tak sendawa. Antaranya termasuklah:

i. Bayi mama mungkin terlalu keletihan sehingga tertidur dan tak sempat untuk disendawakan. Jika dia masih lapar, dia akan terjaga sendiri dan memberi tanda-tanda yang mahu lagi menyusu. Jadi, Mama tak perlu panik bila bayi tertidur sebaik je selepas penyusuan dan tak sempat disendawakan.

ii. Posisi penyusuan. Kadang-kadang, posisi penyusuan yang kurang tepat juga antara faktor bayi sukar untuk sendawa. Ini adalah kerana semasa penyusuan dan posisi yang tak tepat membuatkan angin terus masuk ke dalam perut bayi dan berkumpul dengan banyaknya sehingga bayi menyalurkan terus melalui pembuangan angin ke dubur. Ini juga akan menyebabkan bayi tak sendawa.

 iii. Bayi colic atau kembung. Seringkali juga Mama risau bayi menangis tanpa henti kerana tak sendawa selepas penyusuan. Kadang-kadang, ini bukanlah masalahnya. Ada kemungkinan bayi kembung disebabkan colic dan memerlukan nasihat pakar kanak-kanak.

Kesimpulannya, bagaimana cara pun untuk sendawakan bayi taklah hanya terbatas pada satu posisi je. Yang terbaik adalah mengikut keselesaan Mama dan bayi. Ada juga bayi yang tetap resah dan merengek walaupun dah banyak kali mama sendawakan dan jika ini berlaku sebaiknya Mama dapatkan rawatan pakar dengan segera. Mungkin si manja mama tak sihat atau demam.

Semoga membantu!

BACA JUGA BAYI TIDAK BERAK. MAMA JANGAN TERUS PANIK!


Pesan Mama Siti

Bagi yang baru bergelar Mama Papa pasti kekok nak sendawakan si manja tapi lama-lama nanti pasti Mama Papa akan terbiasa. Lepas Mama Papa ikut cara sendawakan bayi yang Mama Siti sharekan ni insyaAllah Mama Papa pasti boleh.