Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kisah tragis enam sekeluarga yang ditemui meninggal dunia selepas kereta mereka jatuh ke dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah. Bayangkan, satu keluarga yang ceria kini pergi buat selamanya dalam sekelip mata.
Kita mungkin tak mampu undurkan masa, tapi kita masih mampu belajar dan bersedia. Sebab tu penting untuk Mama Papa tahu kejadian kereta terjunam ke dalam air bukan lagi benda yang ‘jarang berlaku’ atau ‘untuk orang lain saja’. Ia boleh jadi pada sesiapa, bila-bila masa.
Bila berdepan situasi cemas macam ni, jangan panik ya Mama Papa. Tenang itu kunci utama. Ada beberapa langkah penting yang boleh bantu Mama Papa belajar cara selamatkan diri bila kereta tenggelam.
Jom kita baca dan bersedia sebelum perkara tak diingini berlaku.
Langkah-Langkah Selamatkan Diri dalam Kereta Tenggelam
1. Jangan Panik, Cepat Bertindak
Sebaik saja kereta mula tenggelam, jangan panik, fokus untuk selamatkan diri. Gunakan 30–60 saat pertama sebelum sistem elektrik rosak masa inilah tingkap masih boleh dibuka.
Cepat-cepat buka seatbelt, bantu anak-anak, dan abaikan telefon atau beg tangan. Nyawa lebih bernilai dari segalanya.
Tenangkan anak dan tarik mereka untuk keluar dari kereta. Saat inilah yang Mama Papa perlu gunakan tenaga yang kuat untuk menarik anak-anak keluar kereta.
2. Pecahkan Tingkap, Bukan Pintu
Ramai orang silap bila cuba buka pintu. Bila kereta mula tenggelam, pintu bukanlah penyelamat tekanan air dari luar buatkan ia hampir mustahil untuk dibuka. Sebaliknya, tingkap adalah jalan keluar utama.
Kalau tingkap masih boleh dibuka, lakukan segera tanpa ragu. Kalau tersekat, pecahkan tingkap sisi, bukan cermin depan yang jauh lebih tebal dan susah dipecahkan.
Sediakan alat pemecah cermin (glass breaker) dan pemotong tali pinggang di tempat yang mudah dicapai. Waktu cemas, tak sempat nak mencari. Jadi pastikan letak di tempat yang senang dicapai.
3. Selamatkan Anak-anak
Dalam saat nyawa jadi taruhan, ketenangan Mama Papa adalah penyelamat sebenar. Naluri nak selamatkan anak memang kuat, tapi Mama Papa kena bertenang untuk bertindak bijak.
Kalau si kecil masih dalam car seat, tak ada masa nak buka satu-satu terus guna pemotong tali pinggang dan bebaskan mereka. Bila tingkap dah terbuka, utamakan anak keluar dulu.
4. Bila Tingkap Tak Dapat Dibuka – Tunggu Tekanan Air Seimbang
Kalau tingkap tak boleh buka dan cermin pun tak sempat nak pecahkan ini langkah terakhir yang Mama Papa perlu lakukan.
Tunggu sampai air penuh dalam kereta. Memang seram, tapi bila air dah sama paras luar dan dalam, baru pintu boleh ditolak dengan lebih mudah.
Ambil nafas paling dalam sebelum air penuh, dan bila tiba saatnya, tolak pintu sekuat hati dan keluar cepat-cepat. Inilah detik terakhir, Mama Papa tenang, fokus dan yakin, nyawa Mama Papa dan anak-anak masih boleh diselamatkan.
5. Berenang Keluar dari Kereta
Lepas berjaya keluar dari kereta, jangan tunggu lama-lama terus berenang jauh. Kereta yang tenggelam boleh buat pusaran kecil yang tarik kita ke bawah, bahaya kalau dekat-dekat.
Kalau mereka belum pandai berenang, peluk erat dan bawa terus ke permukaan. Untuk anak yang dah besar, ajar dari awal: “Berenang ke atas untuk selamatkan diri.”
Cuba cari arah cahaya atau renang ke arah tebing yang paling dekat. Bila sampai ke permukaan air, tarik nafas perlahan dan bertenang. Mama Papa kena kekal kuat, sebab anak-anak perlukan kita untuk terus terapung dan bergerak ke tempat selamat.
Langkah Pencegahan yang Boleh Selamatkan Nyawa
Kadang-kadang kita rasa, “Air tu tak dalam pun…” tapi itulah perangkap sebenar. Elakkan redah jalan yang dinaiki air, walaupun nampak cetek.
Jangan memandu laju, terutama di kawasan sempit, berbukit atau dekat sungai, bahaya boleh datang sekelip mata.
Waktu hujan lebat atau malam, pilih jalan yang lebih selamat, walaupun terpaksa pusing jauh sikit. Nyawa lebih penting dari masa.
Dan paling penting, ajar anak-anak ilmu keselamatan dalam kereta dari kecil. Bila mereka tahu apa nak buat, peluang untuk selamat pun lebih tinggi.
Tragedi 6 beranak di Jitra bukan sekadar berita ia satu peringatan untuk kita semua. Ia mengingatkan betapa pentingnya tahu cara selamatkan diri bila kereta tenggelam, terutamanya bila bersama anak-anak dalam kenderaan.
Ilmu ni mungkin nampak kecil, tapi dalam situasi genting, ia boleh jadi penyelamat nyawa. Jadi Mama Papa, jangan tunggu kejadian berlaku baru nak ambil tahu. Bersedia dari sekarang, demi keselamatan keluarga tercinta.
Untuk ketahui lebih banyak ilmu keibubapaan dan tip keselamatan, klik di SINI!