KelabMama

“Tahap Kesegaran Bendi Ada 5” Cara Pilih Bendi Muda dan Kurangkan Lendir Bendi

Dalam entri ini, Mama Siti akan kongsikan cara nak tahu tahap kesegaran dan cara pilih bendi dengan melihat kepada lubang udara pada tangkainya. 

Mama Siti pun suka nak kongsikan tiga cara kurangkan lendir bendi dengan menggunakan cuka, garam dan asam jawa. Tapi sebelum tu nak kena tahu dulu apa kesalahan lazim semasa pilih bendi. 

Cara Salah Pilih Bendi

Kredit gambar: CARI Infonet

“Kena patahkan ekornya dulu!”

Mama Siti pun ada mendengar beberapa petua yang dikongsikan orang ramai tentang memilih bendi yang segar ni. 

Katanya, kalau senang dipatahkan maksudnya masih muda ataupun segar. Kalau yang melentur dan sukar dipatahkan bermakna bendi sudah lama dipetik dan ataupun tua. 

Tapi kesian lah tuan kedai, habis rosak barang jualannya. Cara ini masih boleh digunapakai jika ianya dituai dari kebun sendiri dan bukan ketika kita membeli barang dapur di pasar.  

Mama Siti jumpa satu kaedah pilih bendi yang segar dan muda tanpa perlu patahkan hujungnya. Hanya lihat dari pangkalnya sahaja.  

Cara Pilih Bendi Yang Betul!

Kredit gambar: Facebook / Azuan Abdullah

Walaupun kiriman di laman Facebook dari Azuan Abdullah telah diterbitkan sejak dari 2019, namun apa yang dikatakan masih relevan untuk diaplikasikan dalam kehidupan kita hari ini. 

“Jadi, bagaimana cara yang betul pilih bendi ni Mama Siti?”

Bendi yang sudah layak dituai dibahagikan kepada lima kategori iaitu:

  1. Sangat muda
  2. Muda
  3. Tua
  4. Sangat tua
  5. Tua bangka 

Bendi yang enak dimakan berada dalam kategori sangat muda dan muda mengikut jenis menu masakan

Sangat Muda

Untuk mengenali bendi yang sangat muda, didapati tiada ruang udara pada tangkainya seperti gambar bendi nombor satu. 

Memandangkan rasanya masih manis dan tak perlukan rempah tambahan, jadinya jenis masakan yang sesuai ialah celur atau rebus lalu dicecah dengan sambal tempoyak, budu ataupun memadai dengan sambal belacan. 

Muda

Perhatikan lubang pada tangkainya, Mama akan perasan ada lubang udara yang kecil yang berdiameter seperti jarum. Kalau tak percaya, cuba tengok bendi yang nombor dua. 

Tips menu masakan pula, bendi muda sesuai dijadikan lauk tambahan dalam masakan kari, singgang atau asam pedas. 

Tua

Ramai yang ‘tercyduk’ dengan bendi tua. Ya lah, warna seakan sama dengan bendi muda dan masih keliru nak bezakan saiz ruang udara pada tangkai bendi. 

Buah bendi yang tua kalau dimasak akan menjadi liat dan susah dikunyah. Jika Mama nampak lubang udaranya bersaiz mata pen, itu tanda bendi dah tua dan dah tak sedap dimakan lagi. 

Sangat Tua

Rujuk gambar bendi yang keempat pula, saiz lubang udaranya lebih ketara dan besar seperti lidi sate. Tekstur bendi mulai keras dan berkayu. 

Kalau makan pun, dah tak ada rasa bendi. Mungkin terasa hambar di hujung lidah. 

Tua Bangka

Mama Siti tak sematkan gambar bendi yang dah tua bangka kerana ianya sangat mudah dikenalpasti. Bendi tidak lagi berwarna hijau namun telah berubah menjadi warna coklat dan tekstur kulitnya menjadi kering. 

Bendi yang sudah tua bangka, boleh disimpan biji benihnya untuk proses penanaman yang seterusnya. 

Tips Kurangkan Lendir Bendi

#1 Rendam Air Cuka

Kredit gambar: Shopee

Nak kurangkan lendir bendi salah satunya adalah dengan teknik rendaman air cuka. Caranya, potong-potong bendi mengikut citarasa.

Kemudian, rendam ke dalam bekas yang diisi air bersama-sama dua sudu cuka makan dan tunggu selama lima minit. 

Selepas itu, buang air rendaman cuka dan isikan pula dengan air biasa untuk bilasan. Ramas-ramas bendi dan buang lendir yang masih ada. 

Akhir sekali, barulah kita tos dan bilas buat kali terakhir sebelum dimasukkan ke dalam masakan. 

#2 Gaul Dengan Garam

Kredit gambar: Pura Indonesia

Dah siap-siap potong bendi kecil-kecil, Mama boleh teruskan dengan cuci dengan air seperti biasa. Buang air cucian dan tabur sedikit garam untuk digaul bersama-sama bendi

Biarkan untuk seketika untuk lendir dari bendi keluar. Selepas itu, cuci sekali lagi dengan air bersih di samping membuang lendir yang tersisa. 

#3 Basuh Dengan Asam Jawa

Pertama sekali, potong bendi mengikut saiz yang dikehendaki. Selesai memotong, basuh bendi dengan air dan asam jawa. 

Untuk hasil yang lebih baik, Mama boleh juga rendam bendi sekejap dalam air asam itu untuk hilangkan lebih banyak lendir bendi.

Tanpa perlu dibilas, Mama pun boleh terus masak bendi. Tapi kalau nak cuci dengan air bersih pun apa salahnya. 

Kredit gambar: Azie Kitchen

Ada lima cara nak tahu sama ada bendi masih muda atau sudah tua. Kaedah ini memberi manfaat kepada Mama dan peniaga sayuran. 

Dengan adanya tips kurangkan lendir, Mama boleh sediakan lauk bendi dengan lebih aman selepas ini. 


Dapatkan lebih banyak tips di dapur dan rumah tangga di SINI!