KelabMama

CARA MENGAJAR ANAK TIDUR DI KATILNYA SENDIRI

Pengasingan bilik tidur antara ibu bapa dan anak-anak perlu dipraktiskan sejak mereka kecil lagi.  Persoalannya, apabila kita sudah merasakan anak kita cukup besar untuk tidur berasingan dengan kita, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengajarnya? Pastilah tidak semudah dengan hanya sekadar menyuruhnya tidur di tempat lain apabila dia sudah terbiasa tidur berteman, bukan? Sekiranya anak kecil anda mempunyai adik beradik yang lebih besar, perkara ini mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi bagaimana sekiranya dia merupakan anak tunggal, atau anak pertama? Pasti sukar bukan? Ikuti langkah ini:

 

Sebelum memulakan proses mengajarnya tidur di katil sendiri, pastikan anda mengambil masa beberapa ketika dan bercerita berkenaan biliknya sendiri. Sebagai contoh, sebulan sebelum waktu yang dirancang, ambil kesempatan untuk bercerita pada si manja anda berkenaan biliknya dan katilnya sendiri. Memperkenalkan anak anda terlebih dahulu dengan perubahan tempat tidurnya adalah sangat penting.

 

Semestinya, hampir semua kanak-kanak akan lebih tertarik dan bersemangat untuk melakukan sesuatu sekiranya diberi ganjaran. Namun, awas! Ganjaran tersebut biarlah berpada. Jangan sampai si anak terlalu bergantung pada ganjaran sehingga tidak mahu melakukan apa-apa sehingga ganjaran diberikan. Tekniknya, anda perlu memberi ganjaran atas pencapaiannya. Ganjaran juga bukan sahaja boleh diberikan dalam bentuk material atau memerlukan kos yang banyak. Anda boleh membuat sticker chart, dan lekatkan pelekat berwarna-warni untuk setiap hari yang anak anda tidur dibiliknya sendiri. Si manja anda pasti bersemangat untuk memastikan setiap hari dia mendapat pelekat yang terbanyak.

 

Anda hanya menemani, Bukan tidur bersama-sama disebelah mereka. Tidur disebelah anak anda dikhuatiri akan menyebabkan mereka terlalu bergantung pada anda untuk menemani mereka setiap kali tidur. Apabila anak anda sudah terbiasa untuk tidur sendiri, pastikan anda datang menjenguk setiap kali mereka mahu tidur dan kucup dahi mereka. Dengan cara ini, anak anda akan tahu ibu bapanya akan sentiasa ada bersamanya dan menyayanginya. Mereka akan merasa lebih selamat dan dapat tidur dengan tenang.

 

Tutup pintu, bukan bermakna mengunci pintu. Cukuplah sekadar anda merapatkan pintu bilik anak anda apabila dia mahu tidur. Namun, cara ini bergantung pada kesesuaian anak anda. Jangan sesekali memaksa sekiranya mereka tidak selesa. Terdapat sesetengah kanak-kanak sukar untuk tidur lebih-lebih lagi apabila suasana diluar bilik masih terang dengan cahaya dan bising dengan bunyi televisyen. Oleh itu, merapatkan pintu bilik merupakan cara terbaik untuk membantu anak anda mudah melelapkan mata. Namun, ada juga sesetengah kanak-kanak lebih sukar untuk tidur apabila pintu bilik dirapatkan. Mereka akan merasa tidak selamat dan berasa bagaikan terkurung. Oleh itu, kenalpasti keselesaan anak anda. Anda mungkin boleh merapatkan sedikit pintu bilik, ataupun memasang lampu tidur supaya anak anda dapat tidur dengan selesa.

 

Diperingkat awal, si manja anda pasti akan kerap datang kembali ke katil anda apabila dia terjaga diwaktu malam. Letakkan mereka kembali di katil mereka sendiri serta-merta dan temani mereka sehingga mereka terlena. Ulang tabiat ini dengan istiqamah sehingga mereka faham. Jangan memaksa, apatah lagi memarahi mereka sepanjang proses tersebut. Lama kelamaan, mereka akan faham tempat tidur mereka bukanlah dikatil anda.

 

 

 

Sumber: Internet