KelabMama

Tak Susah Pun Mama Papa! Ini Cara Mengajar Anak Solat Yang Berkesan

Solat merupakan tiang agama dan sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, Papa dan Mama perlulah mendidik mereka dengan cara mengajar anak solat yang sesuai dan bertepatan.

Mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak perlu dilakukan sejak dari kecil lagi terutamanya berkaitan dengan ibadah utama umat islam iaitu solat. Tanpa didikan dan pendedahan dari awal, akan mendatangkan impak yang besar bagi kehidupan mereka di alam dewasa nanti.

Solat menjadi penghubung antara manusia dengan Allah, dan hubungan yang terjalin sejak dari kecil mampu membuatkan hidup anak-anak meletakkan Allah di tempat teratas dalam kehidupan mereka.

Mama Siti faham, bila tiba masanya, kita akan didik anak-anak untuk solat. Ikuti perkongsian ini untuk mengetahui cara mengajar anak solat yang berkesan.

Cara Mengajar Anak Solat Dengan Teknik Berkesan

Berikut merupakan beberapa cara yang Papa dan Mama boleh praktikkan iaitu:

#1. Biasakan Anak Mendengar Laungan Azan

Setiap kali memasuki waktu solat dan azan berkumandangan sama ada melalui corong-corong radio, televisyen dan sebagainya, beritahu kepada anak-anak apakah bunyi tersebut.

Pada waktu itu juga, beritahu kepada mereka untuk diam dan mendengar alunan azan yang berkumandang. Hentikan segala perbualan atau aktiviti yang dilakukan untuk menghormati dan menghayati azan.

#2. Ajar Doa Selepas Azan

Setelah selesai azan, ajak anak untuk sama-sama berdoa selepas azan seperti yang dikongsikan dalam artikel ini.

#3. Tanya Soalan dan Ulang Jawapan

Setelah selesai azan dan berdoa, tanya semula kepada anak apakah bunyi sebentar tadi. Lihat reaksi yang diberikan.

Sekiranya mereka masih tidak mengetahui atau memahami apa yang anda terangkan sebentar tadi, ulang keterangan mengenai azan dan doa selepas azan. Lakukannya setiap kali tibanya waktu azan.

#4. Ajak Anak Ambil Wuduk dan Solat

Kemudian, ajak anak-anak untuk mengambil wuduk mengikut rukun wajib dan dirikan solat. Terangkan lagi kepada mereka apa fungsi azan tersebut.

#5. Ajar Cara Ambil Wuduk

Kredit gambar : kumparan.com

Semasa mengambil wuduk, selit maksud dan tunjukkan cara untuk melakukannya. Ajar niat mengambil wuduk. Anak-anak akan mudah terikut dengan setiap perbuatan kita.

#6. Bersiap Untuk Solat

Langkah seterusnya ialah memakai kelengkapan untuk solat – sejadah, kopiah dan pakaian yang menutup aurat untuk anak lelaki dan telekung untuk anak perempuan.

Sediakan segala kelengkapan untuk mereka. Lebih baik sekiranya anda membiarkan mereka melakukannya sendiri. Jika sukar, bantulah apa yang patut dan arahkan dengan lembut supaya mereka mengikuti pergerakan anda.

#7. Beri Kebebasan

Ketika solat, mungkin ia akan mencabar mental dan tumpuan anda. Tetapi sebolehnya kuatkan hati dan kekal fokus untuk khusyuk dalam solat. Anak-anak mungkin akan berlaku sedikit nakal dan membuat perangai, tapi Papa dan Mama boleh biarkan sahaja ya.

#8. Lengkapkan solat

Lakukan solat sebenar-benar solat dan bukannya acah-acah. Ini adalah kerana solat yang betul dapat memimpin hati ke arah kebaikan dan melembutkannya. Lama-kelamaan, anak-anak secara automatik akan mengikuti setiap rukun solat.

#9. Salam dan Kucup Dahi

Setelah selesai, pastikan anak-anak salam dan mencium tangan, pipi Papa dan Mama dan anda pula kucup dahi mereka sambil menitipkan doa supaya mereka tidak meninggalkan solat walau dalam apa keadaan sekali pun.

#10. Ajar Bacaan Dalam Solat

Kemudian, ajar anak-anak surah lazim sehingga mereka berjaya menghafalnya baharulah ditukar ke surah yang lain pula.

#11. Ulang

Ulang langkah-langkah ini setiap kali masuknya waktu solat.

#12. Sapu Air Wuduk

Setiap kali selesai mengambil wuduk, ambil air wuduk yang tersisa di muka anda lalu sapukannya di ubun-ubun anak dan doakan di dalam hati agar mereka menjadi anak soleh dan hamba Allah yang taat serta rajin solat.

#13. Solat Berjemaah

Lebih baik sekiranya setiap hari jika dapat solat secara berjemaah satu keluarga yang lengkap.

#14. Beri Pujian

Sentiasa puji dengan apa yang anak telah lakukan ketika mereka solat.

#15. Tegur Dengan Senyuman

Jika ada kesalahan yang dilakukan, minta mereka lakukan semula di hadapan anda dan tunjukkan pula cara betul untuk melakukannya. Tetapi pastikan dengan nada lembut dan senyuman manis. Akhiri dengan pujian untuk perbuatan lain yang betul.

Semoga perkongsian ini dapat membantu Papa dan Mama mendidik anak agar solat! Papa dan Mama juga boleh ajarkan doa selepas solat fardhu ini kepada si manja!