KelabMama

Kecik-kecik Dah Rongak. 4 Cara Mak-mak Kita Jaga Gigi Anak Bawah Usia 2 Tahun

Pada usia dua tahun, Mama boleh mengharapkan anak Mama mempunyai 20 batang gigi susu di dalam mulut kecil mereka. Proses tumbuh gigi biasanya akan lengkap sepenuhnya pada umur 2 1/2 hingga umur 3 tahun, iaitu bila gigi geraham akan tumbuh.

Antara umur 1-2 tahun, biasanya ia cukup untuk bersihkan setiap gigi dan gusi anak Mama dengan kain yang lembut dan bersih. Tetapi bila sudah bertambah bilangan gigi anak-anak, pastikan mereka sudah mula memberus gigi ya Mama.

Jom lihat penjagaan gigi yang betul untuk anak-anak kecil seperti di bawah.

Penjagaan Gigi Yang Betul Untuk Anak Bawah 2 tahun

Kebersihan mulut ni penting sebab mulut adalah pintu masuk ke saluran penghadaman dan pernafasan kita. Mulut kita juga mengandungi banyak mikroorganisma ataupun bakteria. Bakteria ini boleh pergi ke bahagian lain pada badan kita tau!

Menurut Dr Najib Daud dari Klinik Pergigian DentaLevant, pastikan badan dan mulut kita dalam keadaan bersih supaya kita boleh kurangkan pembiakan bakteria dan seterusnya menghalang jangkitan ke bahagian lain di dalam badan.

4 Tips Biasakan Anak Menggosok Gigi Dari Kecil

1. Terangkan Kenapa Gosok Gigi Penting

Mama mungkin dah perasan yang anak Mama ni suka sangat perhatikan Mama dan Papa. Dan dari situ lah mereka belajar. Oleh itu, kita kena menjadi contoh yang baik buat mereka. Antara tips yang mudah ialah untuk tunjuk pada mereka tentang amalan kebersihan mulut yang baik.

2. Kecik-kecik Pun Kena Flos Gigi Tau!

Bila ada masa sikit tu, luangkan masa dengan memastikan mereka memberus dan menggunakan flos gigi setiap hari. Jadikan ia satu kewajipan! Terangkan kenapa kena cuci gigi ni setiap hari.

Mama dan Papa pula harus membeli produk penjagaan mulut yang khas untuk kanak-kanak. Mungkin Mama rasa,

“Sama sahajakan dengan produk dewasa? Bersih juga gigi tu kan?”

Sebenarnya, ia tak sama. Pastikan Mama dapat produk yang khas untuk anak-anak. Saiznya juga memainkan peranan. Jika terlalu besar mungkin boleh mencederakan gigi anak-anak. Bulu berus gigi pun memainkan peranan. Mama perlu pilih bulu lembut dengan saiz yang sesuai, mengikut umur mereka.

3. Hadkan Gula Untuk Elakkan Pembentukan Kaviti

Elakkan anak Mama minum minuman manis seperti jus dan air bergas untuk kurangkan pengambilan gula mereka. Bila gula terlebih, kaviti terbentuk dan bakteria mulut akan memakan gula dan mengeluarkan asid.

Akhirnya, ia akan merosakkan gigi. Pastikan mereka minum atau bilas dengan air suam selepas makan atau minum makanan dan minuman manis. Ini dapat mengurangkan risiko gigi berlubang.

4. Jumpa Doktor Gigi Pediatrik Setiap Enam Bulan

Jika Mama belum bawa anak-anak Mama berjumpa dengan doktor gigi, sekarang adalah masa yang terbaik. Doktor sebenarnya mengesyorkan agar anak Mama berjumpa doktor gigi bermula usia 1 tahun, atau setiap kali gigi pertama mereka tumbuh.

Dengan berjumpa dengan doktor gigi, ia dapat membantu gigi anak Mama sihat dan lebih tahu tentang penjagaan gigi anak-anak.

Mama dan Papa ada tanggungjawab yang penting untuk memastikan mereka memberus gigi dan pastikan cara-cara yang diajar adalah menyeronokkan!

Didik Anak Cara Menjaga Kebersihan Oral

Menurut Dr Najib, sebenarnya, mulut bukan sekadar gigi. Ia mengenai gigi, gusi, lidah, pipi dan lain-lain. Sebab itu kita ada amalan memberus gigi, flos dan juga berkumur.

Mengapa kita perlu melakukan semua ni? Sebab dalam mulut kita ada bakteria. Jadi, kita kena pastikan bakteria dalam mulut kita terkawal. Dengan menjaga mulut kita dalam keadaan baik, kita dapat memastikan bahawa bakteria terkawal. Mempunyai mulut yang bersih dan sihat adalah kunci keyakinan diri kita.

Banyak kita dapat belajar tentang penjagaan dan kebersihan mulut ni. Dari makanan juga ia memberi kita penyakit, oleh itu perlulah kita berwaspada dan peka dengan apa yang kita beri pada anak-anak kita.

Yang penting, sentiasa bawa mereka untuk check-up dan cuci gigi di klinik gigi berdekatan anda. Selamat menjaga gigi anak-anak Mama!


Dapatkan lebih banyak tips penjagaan dan kesihatan gigi di SINI!